Content Editor

​​​​Eksport semula adalah suatu kemudahan yang diperuntukkan di bawah Akta Kastam 1967 dan Peraturan-Peraturan Kastam 1977 yang diberikan kepada pengimport yang membawa masuk barang-barang ke Malaysia melalui darat, laut atau udara dan terpaksa mengeksport semula melalui jalan yang sama atau berlainan mengikut kelulusan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan tanpa dikenakan duti/cukai. Kemudahan ini adalah mengikut kategori barangan seperti berikut :-

  • Barangan yang diimport dan diletak di bawah kawalan kastam tetapi masih belum diluluskan pelepasannya selaras dengan Seksyen 75(C) Akta Kastam 1967 dan tidak tertakluk kepada Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 atau Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2008 serta tidak terlibat dalam pemerhatian oleh Cawangan Risikan, dalam siasatan atau yang disyaki terlibat dengan penyelewengan atau penyeludupan.
  • Barangan yang telah diimport dan telah dibayar duti kastam/cukai kemudian dieksport semula menurut kemudahan tarik balik duti dan syarat-syaratnya di bawah Seksyen 93 Akta Kastam 1967.
  • Barangan yang diimport dan disimpan di dalam Gudang Berlesen yang menjalankan aktiviti perniagaan (entreport) selaras dengan Peraturan 31 Peraturan-Peraturan Kastam 1977 dan Peraturan-Peraturan Eksais 1977. Syarat-syarat dilampirkan.
  • Barangan yang diimport yang masih berada dalam Zon Perdagangan Bebas yang belum diluluskan pengimportannya oleh pihak kastam.

Syarat-syarat dilampirkan :-

Barangan hendaklah mempunyai permit import/eksport yang mana berkenaan dengan memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di bawah seksyen 93 Akta Kastam 1967. Pemohon hendaklah mengemukakan permohonan secara bertulis berserta dokumen-dokumen sokongan kepada Ketua Stesen Kastam di mana barangan diimport.

Peruntukan Akta dan Peraturan yang membolehkan pengeksportan semula adalah seperti berikut:-

  • Seksyen 75 (c) Akta Kastam 1967,
  • Seksyen 93 Akta Kastam 1967,
  • Peraturan 31 Peraturan-Peraturan Kastam 1977 dan
  • Peraturan 32 Peraturan-Peraturan Eksais 1977

Seksyen 75(C) Akta Kastam 1967

75. Pemindahan barang-barang berduti dari sesuatu gudang

Tiada apa-apa barang-barang berduti boleh dipindahkan daripada kawalan kastam kecuali -

(c) Di bawah apa-apa syarat sebagaimana yang dikenakan oleh Ketua Pengarah, bagi eksport semula dari Malaysia,

dan apa-apa barang-barang tidak boleh dalam apa-apa hal dipindahkan dari sesuatu gudang kastam atau mana-mana gudang lain yang diluluskan oleh Ketua Pengarah sehingga semua sewa gudang dan caj-caj lain yang kena dibayar berkenaan dengannya telah dibayar.

Seksyen 93 Akta Kastam 1967,

(1) Apabila apa-apa barang-barang, selain daripada barang-barang yang disentuh oleh seksyen 95 dan seksyen 96, yang ke atasnya duti kastam telah dibayar dieksport semula, sembilan per sepuluh daripada duti yang dikira mengikut subseksyen (2) boleh dibayar balik sebagai pulang balik jika -

(a) barang-barang itu dicamkan dengan memuaskan hati seorang pegawai kanan kastam di pelabuhan kastam atau lapangan terbang kastam di mana barang-barang itu dikapalkan atau dimuatkan bagi eksport semula, atau di tempat eksport semula;

(b) pulang balik yang dituntut berkenaan dengan mana-mana satu konsaiman barang-barang yang dieksport semula tidak kurang daripada lima puluh ringgit;

(c) barang-barang itu dieksport semula dalam masa dua belas bulan dari tarikh duti kastam dibayar;

(d) bayaran pulang balik ke atas barang-barang yang termasuk dalam kelas barang-barang yang akan dieksport semula, yang tidak dilarang oleh peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini;

(e) notis bertulis telah diberi kepada seorang pegawai kanan kastam ketika atau sebelum masa eksport semula bahawa suatu tuntutan untuk pulang balik akan dibuat, dan tuntutan itu dibuat dalam borang yang ditetapkan dan dibuktikan dengan memuaskan hati seorang pegawai kanan kastam dalam masa tiga bulan dari tarikh eksport semula; dan

(f) barang-barang itu telah tidak diguna selepas pengimportan.

(2) Amaun pulang balik yang dibenarkan hendaklah dikira pada kadar duti kastam yang dilevi pada masa import, atau pada kadar duti kastam yang boleh dilevi atas barang-barang daripada yang serupa pada masa eksport semula barang-barang itu, yang mana satu lebih rendah.

Peraturan 31 Peraturan-Peraturan Kastam 1977

31. Pemindahan untuk eksport

(1) Apabila pemunya barang-barang yang dikenakan duti di bawah Akta ini atau, di bawah Akta berhubungdengan eksais berkehendak memindahkan kesemua atau sebahagian dari suatu gudang kastam atau dari suatu gudang berlesen atau dari suatu gudang yang dilesenkan di bawah seksyen 65A Akta atau dari suatu kedai bebas cukai yang dilesenkan di bawah seksyen 65D Akta atau dari depot pelepsan pedalaman yang dilesenkan di bawah seksyen 65E untuk dieksport, pemunya itu hendaklah sama ada sendirinya atau melalui agennya-

(a) Mengemukakan kepada pegawai kastam yang hak di gudang di mana barang-barang itu disimpan suatu permohonan dalam boring Kastam No. 8 dalam Jadual Kedua untuk kebenaran memindahklan barang-barang itu;

(b) Mengemukakan kepada pegawai kastam yang hak, jika berkenaan, resit simpanan yang dikeluarkan di bawah peruntukan seksyen-kecil (1) seksyen 67 Akta;

(c) Mengikat suatu bon atau memberi apa-apa cagaran lain sebagaimana yang diluluskan oleh pegawai kastam yang hak terhadap pengeksportan semula barang-barang itu;

(d) Membayar semua caj yang kena dibayar atas barang-barang yang hendak dipindahkan itu.

(2) Pegawai kastam yang hak hendaklah dengan itu mengeluarkan suatu perintah membenarkan barang-barang itu dipindahkan dengan syarat-syarat bahawa dalam mengeluarkan perintah itu pegawai kastam yang hak boleh dengan catatan atas perintah itu mengenakan apa-apa syarat yang difikirkannya perlu untuk menjaga ekselamatan hasil.

(3) Tiada apa-apa barang berduti boleh dipindahkan mengikut darat kecuali dengan keretapi melalui kawasan utama kastam: Dengan syarat bahawa barang-barang berduti yang dipindahkan mengikut jalan hanya boleh dipindahkan dengan pengangkutan berlesen.

(4) Pemunya apa-apa barang yang dipindahkan di bawah peruntukan-peruntukan Peraturan ini atau agennya hendaklah mengemukakan keterangan yang dikehendaki oleh pegawai kastam yang hak bahawa barang-barang itu telah dieksport, jika tidak pemunya barang-barang itu atau agennya hendaklah membayar dengan serta-merta duti kastam yang dilevi atas kesemua atau apa-apa bahagian barang-barang itu yang tidak dikira dengan memuaskan hati pegawai kastam yang hak tanpa menyentuh apa-apa pembicaraan di bawah Akta.

(5) Walau apa pun seuperaturan (1), barang-barang dari kedai bebas cukai boleh dipindah dengan apa-apa cara yang ditentukan oleh Ketua Pengarah.

Peraturan 32 Peraturan-Peraturan Eksais 1977

32. Pemindahan barang-barang berduti untuk dieksport

(1) Apabila pemunya barang-barang berduti hendak memindahkan barang-barang itu atau mana-mana bahagiannya dari suatu gudang eksais awam, suatu gudang berlesen atau suatu tempat yang lessen di bawah seksyen 20 Akta untu dieksport, ia hendaklah mengemukakan kepada pegawai yang hak suatu permohonan dalam boring yang ditetapkan sebagai Eksais No. 8 dalam Jadual Pertama kepada Peraturan-Peraturan ini, dan pegawai yang hak itu hendaklah dengan itu membenarkan barang-barang itu dipindahkan tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya perlu dan yang mana hendaklah dicatitkan dalam surat kebenaran itu bagi maksud menjaga keselamatan hasil Persekutuan.

(2) Pemunya apa-apa barang yang dipindahkan di bawah peraturan ini atau agennya hendaklah, jika dikehendaki oleh pegawai yang hak, mengemukakan keterangan bahawa barang-barang itu telah dieksport dan, jika pemunya atau agen tersebut tidak mengemukakan keterangan dalam suatu tempoh yang menasabah, ianya hendaklah, jika tidak ada bukti sebaliknya, dianggap sebagai telah memindahkan barang-barang itu dengan menyalahi undang-undang dan, tanpa menyentuh apa-apa langkah pembicaraan yang mungkin dibawa terhadapnya di bawah Akta, membayar dengan sertamerta, apabila diminta oleh pegawai yang hak, duti yang dilevi atas barang-barang itu.

Syarat-Syarat Bagi Aktiviti Perniagaan Entreport

i. Barangan yang diimport dan disimpan di dalam gudang berlesen yang menjalankan aktiviti perniagaan (entreport):

(a) Aktiviti perniagaan adalah selaras dengan Peraturan 31 Peraturan-Peraturan Kastam 1977 dan Peraturan 32 Peraturan-Peraturan Eksais 1977;

(b) Mengemukakan suatu bon atau memberi apa-apa cagaran lain sebagaimana yang diluluskan oleh pegawai kastam yang hak terhadap pengeksportan semula barang-barang itu;

(c) Membayar semua caj yang kena dibayar atas barang-barang yang hendak dipindahkan itu;

(d) Tiada apa-apa barang berduti boleh dipindahkan mengikut darat kecuali dengan keretapi melalui kawasan utama kastam dengan syarat bahawa barang-barang berduti yang dipindahkan mengikut jalan hanya boleh dipindahkan dengan pengangkutan berlesen.

Syarat-syarat Bagi Barangan Yang Berada Di Dalam Zon Perdagangan Bebas

i. Bagi barangan yang diimport yang masih berada dalam zon perdagangan bebas yang belum diluluskan pengimportannya:

(a) Barangan tidak tertakluk kepada Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 atau Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2008 dan tidak terlibat dalam kes penyelewengan atau penyeludupan;

(b) Barangan dieksport semula atas sebab-sebab berikut:

  • Mesin-mesin/alat-ganti/komponen bagi tujuan dibaiki, tentukuran dan kemudiannya diimport semula;
  • Dieksport semula kepada pembekal kerana masalah kualiti barang yang terbukti tidak menepati spesifikasi pesanan;
  • Bahan mentah/komponen/barang separa siap untuk digunakan oleh Zon Perindustrian Bebas di negeri lain;
  • Bekas/kontena kosong atau bahan mentah kepada pembekal untuk diisi (refill), kitar semula dan kemudiannya diimport semula; dan
  • Barangan yang tersalah hantar yang disokong oleh bukti-bukti yang diterima oleh Kastam sebagai sahih.

Dokumen-dokumen sokongan yang lengkap seperti berikut hendaklah dikemukakan;

  • Salinan Borang Kastam No.1,
  • Salinan Shipping Note
  • Salinan Inbois
  • Bill of Lading/Airwaybill
  • Pengesahan kualiti barangan (untuk barangan yang dikembalikan kepada pembekal kerana kualiti tidak menepati spesifikasi pesenan.)
​​​