​​​ ​​(Maklumat dikemaskini sehingga 01 Februari  2023)
​​
​1.Zon bebas diwujudkan bagi memberi kemudahan pengecualian dari pembayaran duti kastam, duti eksais dan cukai jualan ke atas barang-barang yang dibawa masuk, dikeluarkan atau dihasilkan dalam suatu zon bebas bertujuan untuk menggalakkan aktiviti pengilangan yang berorientasikan eksport serta aktiviti perdagangan seperti berniaga, memecah pukal, menggred, membungkus semula dan melabel semula.​​
2.​Merujuk kepada Seksyen 2 Akta Zon Bebas 1990, zon bebas ertinya "mana-mana bahagian Malaysia yang diisytiharkan di bawah peruntukan subseksyen 3(1) menjadi suatu zon perdagangan bebas atau zon perindustrian bebas."
​3.​Menurut subseksyen 2(1A) Akta Kastam 1967, zon bebas adalah disifatkan sebagai suatu tempat di luar KUK seperti berikut:
"Bagi maksud-maksud Akta ini, zon bebas hendaklah disifatkan sebagai suatu tempat di luar Kawasan Utama Kastam dan peruntukan seksyen 31 dan Bahagian IVA, V, VI dan VII akta ini juga terpakai di zon bebas."
​4.​Selaras dengan Seksyen 4 Akta Zon Bebas 1990, barang-barang yang dibawa masuk, dikeluarkan atau dihasilkan dalam suatu zon bebas tidak dikenakan bayaran duti kastam atau duti eksais.
​5.​Pengimportan barang-barang ke dalam zon bebas adalah dianggap sebagai pengimportan ke dalam Malaysia selaras dengan tafsiran zon bebas di bawah Seksyen 2 Akta Zon Bebas 1990.
​6.​Barang-barang yang dibawa keluar dari mana-mana bahagian KUK dan dibawa ke dalam zon bebas hendaklah disifatkan sebagai dieksport dari Malaysia manakala barang-barang yang dibawa keluar dari zon bebas dan dibawa ke dalam mana-mana bahagian KUK hendaklah disifatkan sebagai diimport ke dalam Malaysia.