Pre-Arrival Processing (PAP)
 (Maklumat dikemaskini sehingga 31 Januari 2021)
 
1.  PENDAHULUAN
Pemprosesan sebelum ketibaan barang Pre-arrival Processing (PAP) membolehkan pengimport membuat pengikraran import sebelum ketibaan barang dan barang dapat dilepaskan dari kawalan kastam sebelum ketibaan barang. Pelaksanaan PAP diharap dapat mempercepatkan proses pelepasan barang dan seterusnya meningkatkan fasilitasi perdagangan.
 
2.  SKOP
PAP terpakai bagi pengimportan barang melalui mod laut dan mod udara.
 
3. TATACARA PELAKSANAAN
(1) Bagi menikmati kemudahan ini, manifes perlulah dikemukakan sebelum ketibaan vesel/ pesawat udara tertakluk kepada Seksyen 52 dan Seksyen 56 Akta Kastam 1967 iaitu:
 
Nakhoda, pilot atau ejen bagi tiap-tiap vesel/pesawat udara yang tiba di mana-mana pelabuhan kastam/ lapangan terbang kastam hendaklah mengemukakan kepada pegawai kastam yang hak manifes yang lengkap dan betul mengikut tempoh yang ditetapkan seperti berikut:
                 i.       24 jam atau lebih sebelum ketibaan vesel atau apa-apa tempoh yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah Kastam bagi pelayaran yang kurang daripada 24 jam.
                ii.       2 jam atau lebih sebelum ketibaan pesawat udara atau apa-apa tempoh yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah Kastam bagi penerbangan yang kurang daripada 2 jam.
 
(2) Pengikraran K1 bagi pengimportan barang hendaklah dikemukakan kepada kastam sebelum ketibaan vesel/pesawat udara di pelabuhan/lapangan terbang. Ini adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 78B Akta Kastam 1967.
 
(3) Lesen/Permit/Kelulusan daripada lain-lain agensi juga hendaklah dikemukakan bersama jika telah diperolehi semasa pengikraran dibuat, sekiranya berkaitan.
 
(4) Pegawai kastam membuat taksiran dan semakan ke atas pengikraran yang dikemukakan dan memutuskan  kawalan kastam ke atas barang-barang yang diikrar seperti berikut:
 
                 i.      Pelepasan Segera
Pelepasan segera boleh diberikan kepada pengikraran barang yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
a.  Barang tidak memerlukan pemeriksaan fizikal;
b.  Lesen/Permit/Kelulusan daripada agensi lain yang berkaitan (sekiranya ada) telah dikemukakan semasa pengikraran.
 
                ii.      Pemeriksaan Fizikal
a.  Pengikraran kastam bagi barang yang telah dikenalpasti perlu melalui pemeriksaan fizikal tidak layak diberi kemudahan pelepasan segera.
b.  Arahan pemeriksaan fizikal dimasukkan ke dalam sistem untuk tindakan lanjut oleh pihak kastam dan ejen kastam.
c.  Pengikraran boleh diluluskan sekiranya pegawai penaksir berpuas hati setelah pemeriksaan fizikal dilakukan.
 
(5) Pembayaran Duti/Cukai
i.   Pengikraran barang berduti yang telah diluluskan boleh dibuat pembayaran duti/cukai sebelum ketibaan barang.
 
ii.  Kadar duti/cukai yang digunakan adalah kadar yang berkuatkuasa pada waktu pelepasan kastam selaras dengan peruntukan Seksyen 19 Akta Kastam 1967.
 
iii.  Tiada sebarang tuntutan pulang balik boleh dilakukan oleh pengimport bagi perbezaan kadar duti/cukai yang telah dibayar selepas pembayaran dan pelepasan barang atas alasan kadar duti adalah berbeza pada waktu barang dilepaskan secara fizikal dari pelabuhan/lapangan terbang.
 
iv. Pembayaran duti/cukai sebelum ketibaan tidak boleh dilakukan bagi barang yang memerlukan pemeriksaan fizikal
 
 
PERTANYAAN
Sebarang pertanyaaan atau keterangan lanjut mengenai panduan ini sila berhubung dengan:
 
Bahagian Perkastaman
Jabatan Kastam Diraja Malaysia
Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Aras 4 Utara,
Kompleks Kementerian Kewangan No. 3, Persiaran Perdana, Presint 2,
62596, Putrajaya
Tel: 03 - 8882 2873/2384