Profil Bahagian

Latar Belakang
  1. Bahagian Perundangan (selepas ini disebut “Bahagian ini”) merupakan salah satu Bahagian di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (selepas ini disebut JKDM) yang diwujudkan hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Mengkaji Jawatan-Jawatan Tingkatan Tertinggi (“JKTT”) Bil. 2/2006 pada 18 April 2006.
  2. Pada awal penubuhan sehingga sekarang, kecuali kemudahan pejabat, peralatan pejabat dan anggota kakitangan sokongan yang disediakan oleh pihak Pengurusan JKDM, Pegawai yang ditempatkan di Bahagian ini adalah jawatan kader Jabatan Peguam Negara di mana Pegawai Undang-Undang yang memegang jawatan Timbalan Pendakwa Raya adalah dari Jabatan Peguam Negara, Kementerian-Kementerian dan juga Negeri-Negeri.
  3. Asas kewujudan Bahagian ini adalah untuk menjalankan pendakwaan kes-kes kastam termasuk kes-kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 yang disiasat oleh Pegawai Kastam. Pada awal kewujudan, Bahagian ini dianggotai oleh seorang Peguam Kanan Persekutuan dan seorang Timbalan Pendakwa Raya/Peguam Persekutuan dengan dibantu oleh beberapa kakitangan sokongan yang disediakan oleh pihak Pengurusan JKDM.
  4. Peranan Bahagian ini juga berkembang daripada hanya menjalankan pendakwaan kes-kes jenayah kepada mengendalikan kes-kes guaman sivil, bertindak sebagai penasihat dan penggubal kepada pindaan undang-undang dan peraturan-peraturan yang dibuat yang ada kaitan dengan semua akta yang dikuatkuasakan oleh JKDM.

Objektif Bahagian

  1. Memberi perlindungan kepada masyarakat dari aspek perundangan dengan membawa pesalah undang-undang ke muka pengadilan;
  2. Memastikan kutipan hasil, duti, cukai dan lain-lain bayaran dibayar kepada JKDM;
  3. Memastikan nasihat perundangan yang diberikan adalah berkualiti menurut kehendak undang-undang;
  4. Memastikan setiap perjanjian yang melibatkan JKDM dan Kerajaan dengan pihak tempatan atau di peringkat antarabangsa dibuat dengan memberi perlindungan kepada dan/atau memenuhi hasrat kerajaan dan menurut undang-undang, konvensyen/perjanjian dan undang-undang antarabangsa yang sedia ada dan yang diterima pakai oleh Kerajaan;
  5. Mempertahankan kebebasan asasi seseorang itu seperti hak kepada perbicaraan yang adil dan cara kutipan hasil cukai, duti dan apa-apa bayaran lain yang adil dan saksama menurut lunas undang-undang yang dibenarkan;
  6. Menyediakan pendidikan melalui hukuman dan penalti terhadap pesalah bagi kesalahan jenayah dan tuntutan hutang sivil kerajaan; dan
  7. Meningkatkan kutipan hasil kerajaan melalui penguatkuasaan undang-undang.

Keanggotaan Bahagian
  1. Pada awal kewujudannya, Bahagian ini hanya mempunyai 2 orang pegawai sahaja. Bilangan ini kemudiannya ditambah menjadi 4 orang pegawai hinggalah pada masa ini Bahagian ini telah mempunyai 17 orang pegawai berikutan penambahan kes-kes yang disiasat serta beban dan peranan Bahagian yang sudah berkembang.
  2. Bahagian ini diketuai oleh seorang Pegawai Undang-Undang JUSA C yang bergelar Pengarah dan terdiri daripada dua orang Pegawai Undang-Undang L52, empat orang Pegawai Undang-Undang L48, enam orang Pegawai Undang-Undang L44 dan empat orang Pegawai Undang-Undang L41.

Fungsi Bahagian

Fungsi Bahagian

  1. Mengendalikan kes-kes perbicaraan, rayuan dan semakan jenayah;
  2. Mengendalikan kes-kes perbicaran dan rayuan sivil di Mahkamah Tinggi seluruh Malaysia termasuk Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan;
  3. Mengendalikan Kertas Siasatan yang dikemukakan ke Bahagian ini untuk arahan, nasihat, izin untuk mendakwa dan izin untuk kompaun;
  4. Menyediakan dan/atau menyemak penyataan tuntutan, pembelaan, afidavit jawapan untuk tindakan di mahkamah;
  5. Menyemak dan meneliti perjanjian di antara JKDM dengan pihak tempatan dan perjanjian yang melibatkan JKDM mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa;
  6. Memberi nasihat dan pandangan perundangan yang berkualiti kepada JKDM;
  7. Meneliti dan mengkaji semua keputusan mahkamah kes sivil dan kes jenayah untuk tindakan sama ada perlu untuk membuat rayuan terhadap keputusan yang dibuat atau sebaliknya;
  8. Menyemak draf perundangan utama dan draf perundangan subsidiari sebelum pewartaan bagi memastikan selari dengan perundangan yang sedia ada; dan
  9. Menyampaikan ceramah kepada Pegawai Kastam berkaitan dengan perundangan.

Piagam Pelanggan

PIAGAM PELANGGAN BAHAGIAN PERUNDANGAN JKDM

  1. Menjalankan perbicaraan kes jenayah dan sivil, dan mengendalikan kes rayuan jenayah dan sivil di mahkamah-mahkamah seluruh Malaysia sehingga keputusan diperolehi.
  2. Memantau perkembangan siasatan kes-kes yang dikendalikan oleh pegawai Kastam, mengkaji Kertas Siasatan dan memberikan arahan sewajarnya dalam tempoh 14 hari dari tarikh diterima.
  3. Mengambil arahan dan mengendalikan sesuatu tindakan guaman bagi pihak atau terhadap Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan memastikan tindakan awalan dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi 4 minggu dari tarikh arahan diterima.
  4. Perundangan subsidiari disiapkan dalam masa 14 hari selepas semua isu perundangan dan dasar diselesaikan. Draf muktamad perundangan subsidiari yang dikemukakan kepada pelanggan bebas daripada kesilapan penggubalan.
  5. Menyiapkan draf warta kerajaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh diterima.
  6. Memberikan nasihat undang-undang berkualiti dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan dokumen dan maklumat yang lengkap.
  7. Menyemak dan menggubal instrumen dan dokumen antarabangsa seperti perjanjian dan memorandum persefahaman dalam tempoh 14 hari dan bagi instrumen dan dokumen antarabangsa yang lebih kompleks, dalam tempoh 1 bulan.