FAQ KETETAPAN KASTAM TEMPAT ASAL

1.        Apakah itu Ketetapan Kastam Tempat Asal?
 
​Ketetapan Kastam Tempat Asal merupakan keputusan berkaitan tempat asal barang berdasarkan pematuhan kepada Rules of Origin di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas yang berkuatkuasa sebelum sesuatu barang diimport ke Malaysia. Keputusan Ketetapan Kastam Tempat Asal boleh menambah kepastian dan kebolehramalan terhadap perdagangan antarabangsa serta membantu peniaga membuat keputusan perniagaan.
 
​Ketetapan Kastam Tempat Asal ialah keputusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ke atas permohonan bertulis oleh mana-mana orang yang mempunyai maklumat berkaitan proses, status tempat asal dan lain-lain maklumat berkaitan barang import. Satu (1) permohonan Ketetapan Kastam Tempat Asal adalah untuk satu (1) barang di bawah satu (1) skim Perjanjian Perdagangan Bebas. ​

2.        Apakah kelebihan Ketetapan Kastam Tempat Asal?
 
Kelebihan Ketetapan Kastam Tempat Asal:
a)        Memberikan kepastian mengenai kadar duti kastam iaitu kadar duti berkeutamaan yang boleh dinikmati oleh peniaga agar perancangan perniagaan dapat dibuat dengan lebih berkesan.
b)        Menggalakkan pematuhan melalui rangka kerja yang telus.
c)        Memudahkan perniagaan dalam bentuk fasilitasi perdagangan yang akan membawa kepada pergerakan dan pelepasan dagangan yang pantas.

3.        Adakah keputusan Ketetapan Kastam Tempat Asal mengecualikan pengimport dari mengemukakan dokumen tempat asal?
 
Keputusan Ketetapan Kastam Tempat Asal tidak mengecualikan pengimport dari mengemukakan Sijil Tempat Asal atau Pengikraran Tempat Asal pada masa barang diimport untuk menuntut layanan tarif berkeutamaan.

4.        Apakah dokumen yang perlu dikemukakan dalam permohonan Ketetapan Kastam Tempat Asal?
 
Pemohon perlu melengkapkan borang permohonan Ketetapan Kastam Tempat Asal mengikut format yang ditetapkan. Permohonan Ketetapan Kastam Tempat Asal yang telah lengkap perlu dikemukakan dengan dokumen sokongan seperti berikut:
(a)     Borang permohonan Ketetapan Kastam Tempat Asal.
(b)     Risalah / Katalog / Sampel / Lain-lain barang siap.
(c)     Carta aliran pengilangan barangan yang diimport.
(d)     Senarai bahan mentah termasuk maklumat tarif kod (6 digit), tempat asal bahan mentah dan/atau nilai.
(e)     Surat Penjenisan Negeri / Ketetapan Kastam Penjenisan Ibu Pejabat (jika ada).
(f)      Resit pengesahan bayaran.

5.       Di manakah pemohon boleh mengemukakan Permohonan Ketetapan Kastam Tempat Asal?
 
Permohonan Ketetapan Kastam Tempat Asal yang lengkap perlu dimajukan secara bertulis kepada Bahagian Perkastaman Negeri atau Bahagian Perkastaman Pejabat Kastam Daerah / Stesen Kastam di Sabah dan Sarawak.

6.      Berapa lamakah Ketetapan Kastam Tempat Asal akan dikeluarkan selepas permohonan dikemukakan?
 
Ketetapan Kastam Tempat Asal akan dikeluarkan dalam tempoh selewat-lewatnya sembilan puluh (90) hari selepas permohonan lengkap diterima dan penerimaan resit pembayaran.

7.      Bilakah Ketetapan Kastam Tempat Asal boleh digunakan?
 
Ketetapan Kastam Tempat Asal adalah terpakai untuk pengimportan menggunakan layanan tarif berkeutamaan di bawah sesuatu Perjanjian Perdagangan Bebas yang berkuatkuasa. Ia akan menjadi dokumen sokongan kepada Dokumen Tempat Asal yang dikemukakan bagi menuntut layanan tarif berkeutamaan semasa pengimportan.

​8.      Berapakah bayaran bagi setiap permohonan Ketetapan Kastam Tempat Asal?  
 
Fi bagi setiap permohonan Ketetapan Kastam Tempat Asal ialah sebanyak RM 200.00.

​​9.      Berapa lama kah tempoh sah sesuatu Ketetapan Kastam Tempat Asal?  
 
Sesuatu Ketetapan Kastam Tempat Asal adalah sah selama tiga (3) tahun dari tarikh Keputusan Ketetapan Kastam Tempat Asal dikeluarkan.
 
10.    Adakah Ketetapan Kastam Tempat Asal boleh diperbaharui?  
 
Ketetapan Kastam Tempat Asal tidak boleh diperbaharui selepas tamat tempoh sah laku dan pemohon perlu mengemukakan permohonan baharu.

​11.    Adakah keputusan Ketetapan Kastam Tempat Asal akan diumumkan dan adakah ia akan menjejaskan maklumat rahsia syarikat?
 
Keputusan Ketetapan Kastam Tempat Asal akan dipaparkan secara umum bagi tujuan ketelusan. Walau bagaimanapun, semua maklumat sulit akan dilindungi.

12.    Apakah keadaan yang membolehkan sesuatu Ketetapan Kastam Tempat Asal ditolak?
 
JKDM berhak menolak atau membatal Ketetapan Kastam Tempat Asal sekiranya:
a)        Maklumat yang diberikan tidak lengkap;
b)        Permohonan dibuat berdasarkan situasi hipotetikal;
c)         Permohonan terlibat dengan semakan semula atau rayuan di bawah Akta Kastam 1967;
d)        Barang yang diimport berbeza dengan ketetapan yang dikeluarkan;
e)        Tempoh sah ketetapan telah luput;
f)          Terdapat perubahan ke atas perundangan dan peraturan selepas ketetapan dikeluarkan;
g)        Ketetapan didasarkan atas sesuatu kesilapan fakta atau undang-undang; atau
h)        Terdapat perubahan pada fakta penting dalam permohonan.

13.    Adakah pemohon boleh membuat rayuan ke atas Ketetapan Kastam Tempat Asal yang telah dikeluarkan?
 
Seksyen 143 Akta Kastam 1967 membenarkan pemohon membuat rayuan ke atas keputusan Ketetapan Kastam Tempat Asal yang telah dikeluarkan.

(Nota: JKDM menawarkan khidmat nasihat berkaitan Ketetapan Tempat Asal secara percuma. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui emel kepada roo.hq@customs.gov.my. ​