KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS DUTA BESAR MALAYSIA KE BELGIUM
Oleh: PPK Zureen Sofia Zakaria, Setiausaha Pertama Pejabat Penasihat Kastam Brussels.
BRUSSELS, 17 FEBRUARI 2025 – Duta Besar Malaysia, TYT Dato’ Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak telah menerima kunjungan hormat daripada Puan Nor Hafizah binti Mohamad Sepidi, Penasihat Kedutaan (Hal Ehwal Kastam) dan Tuan Hazwan bin Ismail, Setiausaha Pertama (Hal Ehwal Kastam) di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia hari ini.
Kedua-dua pegawai masing-masing menggantikan Puan Aslina binti Abu Kasim dan Tuan Ahmad Yasir bin Khiri yang telah menamatkan tempoh penempatan di luar negara. Dalam pertemuan tersebut TYT Duta Besar juga berharap agar kerjasama yang lebih erat dapat dijalinkan antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi-agensi lain yang bernaung di Kedutaan ini.
TYT Duta Besar turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Puan Aslina dan Tuan Ahmad Yasir di atas bantuan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang berkhidmat di Kedutaan Besar Malaysia di Belgium.
Semoga dengan pelantikan ini, Pejabat Atase Kastam Brussels akan terus mencapai kecemerlangan dalam memperkukuh fungsi jabatan di arena antarabangsa sambil memelihara kedaulatan negara.