Skip Ribbon Commands
Skip to main content
Navigate Up

Maklumat Berita

LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI KEWANGAN KE SABAH: TINJAU OPERASI JKDM DAN PELABUHAN SEPANGGAR

Tarikh: 17/06/2025

Oleh: PaK Zulhilmi Bin Munir, PPA JKDM Zon Sabah

Kota Kinabalu, 5 Jun 2025 – Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, YB Puan Lim Hui Ying, telah mengadakan lawatan kerja ke Sabah dengan mengunjungi dua lokasi utama iaitu JKDM Zon Sabah dan Pelabuhan Sepanggar. Lawatan ini bertujuan meninjau keberkesanan pelaksanaan dasar percukaian dan penguatkuasaan hasil negara di lapangan.

Ketibaan YB Timbalan Menteri disambut oleh YB Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah merangkap ADUN Luyang, serta Dr Ahmad Taufik bin Sulaiman, Pengarah Kastam Negeri Sabah bersama barisan pegawai kanan JKDM. Dalam sesi taklimat, beliau dimaklumkan tentang status kutipan hasil serta cabaran penguatkuasaan di peringkat negeri.

YB Lim Hui Ying turut menekankan peranan penting JKDM dalam menjamin kutipan hasil yang cekap dan berintegriti, di samping menyatakan keyakinan terhadap kesiapsiagaan JKDM Sabah dalam pelaksanaan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Di Pelabuhan Sepanggar, beliau meninjau keberkesanan mesin pengimbas dan sistem kawalan pintu masuk yang digunakan dalam mempercepatkan proses logistik serta mencegah aktiviti penyeludupan. Beliau turut menegaskan bahawa teknologi pengimbasan dan sistem digital merupakan barisan hadapan dalam menjamin keselamatan ekonomi negara.

Lawatan ini mencerminkan komitmen Kementerian Kewangan dalam menyokong pelaksanaan dasar percukaian dan memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan hasil negara di peringkat negeri.


CEKAP, TANGKAS DAN INTEGRITI