Skip Ribbon Commands
Skip to main content
Navigate Up

Maklumat Berita

MALAYSIA SERTAI PERSIDANGAN KASTAM SERANTAU ASIA PASIFIK KE-26 WCO DI HONG KONG

Tarikh: 27/05/2025

MALAYSIA SERTAI PERSIDANGAN KASTAM SERANTAU ASIA PASIFIK KE-26 WCO DI HONG KONG

Oleh: PPK Noor Syahira binti Hiri, Unit Kerjasama Antarabangsa, Cawangan Hal Ehwal Antarabangsa, Bahagian Perancangan Korporat Ibu Pejabat


HONG KONG, 19 MEI 2025 – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menyertai Persidangan Ketua-Ketua Pentadbiran Kastam Rantau Asia Pasifik ke-26 Pertubuhan Kastam Dunia (26th WCO Asia-Pacific Regional Heads of Customs Administrations Conference - WCO RHCA) yang berlangsung dari 18 hingga 22 Mei 2025 di Hong Kong, China.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan), YBrs. Puan Hajah Siti binti Mang, yang hadir mewakili Ketua Pengarah Kastam. Kehadiran beliau dalam persidangan ini mencerminkan komitmen berterusan JKDM dalam menyokong agenda serantau yang berkaitan dengan keselamatan sempadan, pemudahcaraan perdagangan dan kerjasama penguatkuasaan kastam.

Persidangan ini menghimpunkan 35 Ketua-Ketua Pentadbiran Kastam dari negara-negara anggota WCO rantau Asia Pasifik bagi membincangkan strategi dan halatuju kastam serantau. Pelbagai isu penting telah dibincangkan termasuk perkembangan teknologi terkini dalam pengurusan sempadan, kerjasama rentas sempadan, pengurusan risiko, serta pembangunan kapasiti anggota.

Hong Kong, China yang kini memegang jawatan Naib Pengerusi (Vice-Chair) WCO Asia Pasifik untuk penggal 2024–2026 bertindak selaku tuan rumah persidangan kali ini setelah mengambil alih peranan tersebut daripada Australia. Sebagai tuan rumah, Hong Kong Customs telah menyediakan sesi perbincangan yang padat dan produktif serta aktiviti sampingan yang memperkukuh hubungan dua hala antara negara peserta.

Dalam persidangan ini, Malaysia turut mengambil peluang untuk berkongsi amalan terbaik dalam bidang penguatkuasaan dan pematuhan, termasuk pendekatan strategik dalam menangani penyeludupan dan mempertingkatkan integriti perkhidmatan. Delegasi Malaysia juga menyatakan sokongan padu terhadap usaha WCO dalam memperkasa peranan kastam dalam rantaian bekalan global serta memperkukuh kerjasama serantau.

Penyertaan Malaysia dalam persidangan ini jelas membuktikan kesungguhan JKDM dalam memperkukuh peranan sebagai rakan strategik dalam landskap keselamatan dan perdagangan global yang semakin mencabar.


CEKAP, TANGKAS DAN INTEGRITI


image.png