Skip Ribbon Commands
Skip to main content
Navigate Up

Maklumat Berita

KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA MERASMIKAN MAJLIS TAMAT LATIHAN KURSUS ASAS PERKASTAMAN SIRI 1/2025 DI AKADEMI KASTAM DIRAJA MALAYSIA MELAKA.

Tarikh: 15/04/2025

KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA MERASMIKAN MAJLIS TAMAT LATIHAN KURSUS ASAS PERKASTAMAN SIRI 1/2025 DI AKADEMI KASTAM DIRAJA MALAYSIA MELAKA.

 

Disediakan oleh PPK Mohd Hanaffi bin Harun, PPA AKMAL

MELAKA, 10 April 2025 – Sejarah dilakar sempena Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Perkastaman Siri 1/2025 apabila buat julung kalinya majlis tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Anis Rizana binti Mohd Zainudin, Ketua Pengarah Kastam Malaysia di Stadium Tan Sri Irwan (STSI), Akademi Kastam Diraja Malaysia.

Dalam ucapannya, Ketua Pengarah Kastam menzahirkan penghargaan terhadap komitmen para peserta dan menegaskan peranan penting Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan ekonomi negara. Beliau turut menekankan tiga perkara penting yang perlu dijadikan panduan sebagai penjawat awam iaitu bekerja mengikut undang-undang (Rule of Law), bekerja dengan cekap dan berkesan dan akhir sekali Knowledge is Power dimana penguasaan pengetahuan amat penting dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Acara diteruskan dengan perbarisan lintas hormat dalam suasana penuh disiplin dan kebanggaan diiringi oleh alunan muzik daripada Pasukan Pancaragam Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang menaikkan semangat dan memberi aura perbarisan yang megah disaksikan oleh kira-kira 1,200 orang pengunjung yang hadir di kalangan ibu bapa dan ahli keluarga.

Perbarisan melibatkan kontinjen Penguasa Kastam WK9 Siri 2/2024 dengan kekuatan seramai 76 orang pegawai kanan, yang diketuai oleh Tuan Muhamad Shukri Bin Mat Daud. Bagi kontinjen Pembantu Penguasa Kastam Gred WK1 Siri 2/2024 pula, kekuatan kontinjen adalah seramai 116 orang pegawai manakala bagi kontinjen Pembantu Penguasa Kastam Gred WK1 Siri 3/2024 pula adalah seramai 106 orang. Dengan jumlah keseluruhan 298 orang pegawai, kesemua kontinjen ini telah berjaya melengkapkan Kursus Asas Perkastaman selama 6 bulan di Akademi Kastam Diraja Malaysia.

Ketua Pengarah Kastam turut berbesar hati menyampaikan sijil dan anugerah kepada peserta-peserta kursus yang telah berjaya mengharungi ujian sepanjang kursus berlangsung dengan cemerlang. Anugerah yang disampaikan antaranya Kawad Terbaik, Renang Terbaik, Tempur Tanpa Senjata Terbaik, Akademik Terbaik dan Keseluruhan Terbaik.

Acara diserikan dengan pelbagai persembahan menarik yang mencerminkan kecekapan dan semangat juang tinggi anggota kastam. Dimulakan dengan persembahan Tempur Tanpa Senjata (TTS) oleh peserta kursus berjaya memukau para hadirin dengan ketangkasan dan teknik pertahanan diri yang mantap.

Kemuncak majlis turut menampilkan pertunjukan daripada pasukan elit COBRA (Customs Operational Battle Ready Action) yang mempamerkan aksi taktikal penuh bertenaga. Suasana majlis semakin hangat apabila unit 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas, Polis Diraja Malaysia melakukan demonstrasi payung terjun yang mengagumkan, mendarat dengan penuh bergaya di lokasi majlis.

Majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan para peserta, tetapi juga menjadi simbol kekuatan dan kesiapsiagaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam menjalankan tugas mempertahankan kedaulatan negara dari sudut ekonomi dan keselamatan sempadan.

Di akhir majlis, YBhg. Dato’ Anis Rizana binti Mohd Zainudin, Ketua Pengarah Kastam Malaysia sempat merakamkan gambar kenangan dan beramah mesra bersama peserta-peserta kursus yang telah berjaya mengharungi cabaran selama berada di Akademi Kastam Diraja Malaysia.

 

”Empowering Success Towards Centre of Excellence”

​​ CEKAP, TANGKAS DAN INTEGRITI

image.png