Teks Ucapan Sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke 30

Tarikh : 26 Januari 2012
Venue  : Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelana Jaya, Selangor

YB  Dato’ Seri Ahmad Husni bin Hanadzlah,

Menteri Kewangan II Malaysia

Y.Bhg Dato’ Dr. Mohd Irwan Serigar bin Abdullah,

Timb. Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar)

Kementerian Kewangan

Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Jabatan dan Agensi

Mantan-mantan Ketua Pengarah Kastam,

Y.Bhg Tan Sri/Puan Sri, Dato/Datin, dif-dif jemputan, tuan-tuan dan puan-puan  yang dihormati sekalian.

Salam sejahtera, Salam 1Malaysia, Salam 1Kastam
Mukadimah
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan inayah dan izinNya dapat kita berhimpun pada pagi ini bersempena dengan majlis sambutan Hari Kastam Sedunia ke 30. Saya atas nama peribadi dan juga bagi pihak seluruh warga Kastam ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada YB Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan II, di atas kesudian YB Dato’ Seri hadir menerima undangan kami merasmikan majlis sambutan Hari Kastam Sedunia pada kali ke 30 ini. Sesungguhnya, kehadiran YB menambah seri lagi majlis kami dan seluruh warga kastam amat menghargainya.

2. Seterusnya saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran ketua-ketua Jabatan, wakil-wakil kementerian, dif-dif kehormat, jemputan khas pihak swasta, tuan-tuan dan puan-puan serta mengucapkan terima kasih kerana turut serta untuk memeriahkan lagi majlis sambutan Hari Kastam Sedunia ke 30 pada pagi ini.

Pendahuluan

3. Untuk makluman hadirin sekelian, Hari Kastam Sedunia disambut dan diraikan pada 26 Januari setiap tahun oleh sebilangan besar daripada 177 buah negara anggota Pertubuhan Kastam Sedunia atau World Customs Organization (WCO). Ianya sebagai memperingati perasmian mesyuarat pertama Sesi Majlis Customs Cooperation Council (CCC) pada 26 Januari 1953. Pada tahun ini WCO telah bersedia untuk menyambut diamond anniversary iaitu ulangtahun ke 60 Majlis CCC, namun sambutan Hari Kastam Sedunia di Malaysia diadakan secara sederhana sahaja tetapi tidak kurang meriahnya. Ini adalah sebagai menyahut seruan Kerajaan supaya sentiasa berusaha berbelanja secara berhemah dan menitikberatkan konsep value for money.

Tema Perayaan

4. Sebagaimana pada tahun-tahun sebelumnya, pentadbiran Pertubuhan Kastam Sedunia yang berpangkalan di Brussels  akan memilih tema sambutan Hari Kastam Sedunia.  Pada tahun ini, tema yang dipilih ialah Borders Divide, Customs Connects atau Sempadan Pemisah, Kastam Penghubung. Tema ini adalah selaras dengan peranan WCO sebagai penghubung yang menyatukan 177 buah negara anggota kearah mempertingkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan pentadbiran kastam. Pelbagai kaedah dan pendekatan diambil untuk mengukuhkan jaringan kerjasama diantara kastam dengan kastam, meningkatkan perkongsian bistari diantara kastam dengan swasta, serta kerjasama diantara kastam dengan lain-lain agensi kerajaan (OGA). Tema ini juga adalah seiring dengan hasrat WCO untuk mewujudkan globally networked customs, iaitu salah satu daripada 10 building blocks bagi pentadbiran Kastam moden sepertimana terkandung dalam dokumen dasar WCO “Customs  in the 21st Century”.

5. Pemilihan tema ini juga merupakan suatu pengiktirafan betapa signifikannya peranan serta sumbangan kastam dalam hubungan bilateral mahupun multilateral di peringkat antarabangsa khususnya berkaitan dengan usaha untuk mempermudah urusan perdagangan dan perindustrian, menggalak pelaburan dana asing serta membanteras pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan.

Mesej Setiausaha Agung WCO

6. Kesalinghubungan atau connectivity yang dimaksudkan dalam tema HKS merangkumi tiga tonggak utama iaitu: perhubungan diantara orang; antara institusi dan jaringan maklumat. Untuk menterjemah tema tersebut menjadi suatu realiti, ianya menuntut usaha bersungguh-sungguh kearah memperkukuhkan koordinasi, kerjasama, dan komunikasi diantara pentadbiran kastam negara anggota WCO. Ini lebih mudah disebut secara rhetoric daripada melaksanakannnya. Banyak halangan dan cabaran bakal dihadapi seperti kata Setiausaha Agung WCO, Mr.Kunio Mikuriya dalam ucapannya:

“..Borders are synonymous with division and the main challenges for WCO members is to find the best methods to increase connectivity, which refers to people-to-people, institutional, and information linkages that underpin and facilitate the achievement of objectives”

Hubungan Secara Tradisi

7. Hubungan di antara pentadbiran kastam seluruh dunia sudah lama terjalin kerana wujudnya tradisi semangat kekitaan dan persaudaraan (customs brotherhood), kebersamaan dalam nilai dan budaya kerja, misi dan objektif yang hendak dicapai serta keperluan untuk saling bantu-membantu bagi faedah bersama. Hubungan ini bertambah kukuh lagi apabila pentadbiran kastam seluruh dunia bersama-sama terlibat secara langsung dalam peranan mereka memberi fasilitasi kepada perdagangan antarabangsa di samping melaksanakan tanggungjawab melindungi keselamatan rantaian bekalan. Negara-negara yang berjaya mengeratkan hubungan akan dapat berkongsi bersama manfaat daripada hasil kerjasama dalam pelbagai bidang pembangunan ekonomi.

Pengurusan Sempadan Bersama

8. Terdapat banyak negara di dunia ini yang berkongsi tanggungjawab mengurus sempadan. Dengan meningkatnya pergerakan lintas batas melibatkan orang serta pelbagai jenis kenderaan dan barang dagangan, pejabat-pejabat CIQS yang beroperasi di pintu keluar masuk sempadan perlu berubah serta memperkenalkan pendekatan yang lebih dinamik dan berkesan dalam menangani isu dan cabaran semasa dalam pengurusan sempadan. Menurut peribahasa Inggeris “good neighbours mend fences”. Justeru itu negara yang mengurus sempadan bersama perlu meningkatkan jaringan kerjasama secara bilateral dan juga komunikasi ke arah mengharmonisasi dan mempermudah sistem dan proses pelepasan kastam untuk kepentingan dan faedah bersama. Tugas-tugas kastam boleh menjadi hambatan kepada perdagangan jika tiada kerjasama yang jitu di antara agensi terkait serta semangat perkongsian bestari dan sokongan pihak swasta.

Globalisasi Perdagangan

9. Proses globalisasi telah membawa bersama-samanya gelombang liberalisasi perdagangan dunia dan mewujudkan keadaan saling kebergantungan antara negara. Negara-negara yang menutup pintu ekonominya akan mundur dan ketinggalan dalam arus perdana pembangunan ekonomi. Barang-barang dagangan, dan dana pelaburan  mengalir dengan pantas dan lancar di antara negara seakan-akan tiada wujud sempadan. Sebagai agensi barisan hadapan yang terlibat dengan pelepasan dagangan dan kemasukan dana asing, pihak kastam dituntut untuk memberi perkhidmatan yang cekap serta tidak menjadi hambatan yang boleh meningkatkan kos urusan perniagaan. Hanya negara-negara yang kompetitif dan responsif kepada perubahan persekitaran akan dapat menikmati faedah daripada proses globalisasi perdagangan.

10. Justeru, persepsi terhadap kualiti dan kecekapan perkhidmatan kastam diambil kira dalam empat indeks utama penarafan tahap kompetitif negara-negara di dunia iaitu Global Competitiveness Report (GCR),  Enabling Trade Index (ETI), Logistics Performance Index (LPI),  dan Doing Business Report (DBR). Jabatan perlu bertindak secara proaktif  dalam mengurus persepsi pihak stakeholders dan pelanggan agar tahap penarafan kompetitif negara semakin kukuh dan berupaya menarik pelaburan asing. Dalam konteks ini, Jabatan kastam mempunyai peranan penting bukan sahaja dalam meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatannya tetapi perlu mengeratkan lagi jalinan hubungan kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat agar negara terus menjadi destinasi terpilih untuk pelaburan.

Penguatkuasaan Jenayah Rentas Sempadan

11. Ledakan dalam volume serta nilai perdagangan antarabangsa bukan sahaja membuka peluang untuk sesebuah negara memajukan ekonomi masing-masing tetapi membawa bersamanya ancaman keselamatan akibat kegiatan keganasan antarabangsa serta pelbagai jenayah rentas sempadan. Dalam merangka strategi penguatkuasaan, kerjasama dan usaha saling bantu-membantu (mutual assistance in criminal matters) melalui pertukaran pengalaman serta maklumat risikan adalah penting bagi meningkatkan keberkesanan program penguatkuasaan kastam di samping turut mengeratkan lagi silaturahim dan hubungan antara negara. Setakat ini Malaysia telah memeterai 12 perjanjian/MoU manakala 9 lagi masih dalam proses rundingan dalam rangka kerjasama dan bantuan  bersama hal-hal perkastaman dan frod perdagangan. Di peringkat WCO jalinan kerjasama antara negara anggota dizahirkan dalam bentuk Convention seperti Johannesburg Convention berkaitan International Convention on Mutual Administrative Assistance In Customs Matters; dan Nairobi Convention berkaitan International Convention on Mutual Administrative Assistancefor the prevention, investigation and repression of Customs offences.

Peranan Dalam Komuniti Ekonomi

12. Kegagalan beberapa siri rundingan perdagangan di bawah naungan WTO telah mengakibatkan kemunculan dengan banyaknya perjanjian perdagangan bebas secara dua hala (FTAs). Setakat ini Jabatan kastam telah terlibat secara langsung dalam sepuluh(10) Free Trade Agreement iaitu dengan Jepun, Pakistan, India, Chile, New Zealand, dan China, dan enam(6) lagi FTA yang masih dalam peringkat rundingan melibatkan Turkey, Australia, European Union (EU), negara anggota OIC, negara anggota D-8 dan Trans-Pacific. Sebagai sebuah agensi barisan hadapan Jabatan kastam merupakan nadi dalam setiap siri rundingan dan berperanan membina jambatan untuk merapatkan kerjasama di antara semua pihak yang terlibat.

Peluasan Bidang Tugas Kastam

13. Dengan berkembangnya fungsi kastam meliputi bidang baru seperti penggubahan wang haram, anti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran (ATIPSOM), jenayah alam sekitar, penyeludupan barang-barang strategik dua-guna, kemasukan barang-barang tiruan, penyeludupan bahan-bahan pre-cursors dan senjata kimia menuntut agar pentadbiran kastam memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama yang sedia ada secara tidak formal mahupun formal ke arah menjamin keberkesanan strategi dan tindakan penguatkuasaan. Kastam Malaysia sentiasa mendukung inisiatif yang diselaras oleh WCO  dengan menyertai operasi-operasi seperti Project Global Shields (chemicals); Max55 (IPR); Cocair (cocaine); Skyhole Patching (ozone depletion) dan banyak lagi.

Prestasi Tahun 2011

14. Seyogia juga saya memaklumkan kepada hadirin sekalian bahawa dalam sejarah Kastam Diraja Malaysia, prestasi pungutan hasil tidak pernah melewati tembok RM 30 billion. Prestasi pungutan hasil tertinggi yang pernah tercapai sebelumnya berjumlah RM 28.6 billion iaitu pada tahun 2008. Pada tahun 2011, Jabatan Kastam telah berjaya melakar suatu sejarah dengan memungut hasil sebanyak RM30.4 billion iaitu amaun yang tertinggi pernah dikutip dengan peningkatan sebanyak RM 2.05 billion atau 7.24% berbanding tahun sebelumnya. Manakala Bahagian Penguatkuasaan pula telah berjaya merampas barang-barang kontraban dan larangan bernilai RM 524.9 juta berbanding dengan RM 507.7 juta tahun sebelumnya. Ini juga merupakan satu pencapaian yang tertinggi pernah dicatat dalam sejarah penguatkuasaan dan iannya telah berjaya menyelamatkan hasil cukai berjumlah RM 471. Kesemua ini telah dapat dihasilkan melalui usaha gigih seluruh warga kastam dengan kerjasama melalui perkongsian bistari dengan pihak swasta dan juga sokongan padu orang awam dalam menyampaikan maklumat.

 15. Saya ingin mengambil kesempatan disini untuk menyampaikan setinggi-tinggi pengharagan dan ucapan berbanyak terima kasih kepada semua pihak diatas sumbangan masing-masing. Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya berpuashati atau leka dengan pencapaian semasa. Saya ingin memetik kata-kata mutiara daripada seorang pemain bolasepak Amerika bernama Mia Hamm, yang menyatakan:

"Celebrate what you’ve accomplished, but raise the bar a little higher each time you succeed."

Justeru, pada tahun 2012 ini Jabatan Kastam telah meningkatkan sasaran pungutan hasil sebanyak RM 31.1 billion. Nothing is impossible if you have confidence, perseverance and courage to do things.

Pengiktirafan

16. Sebagai tanda pengiktirafan kepada mereka yang telah memberi perkhidmatan cemerlang dan sumbangan yang besar kepada Jabatan, sekali lagi pada tahun ini akan disampaikan sepuluh anugerah WCO Certificate of Merit  iaitu: 8 untuk warga kastam dan dua untuk pihak swasta. Disamping itu, akan disampaikan juga anugerah kepada Negeri yang berprestasi tinggi dan syarikat-syarikat yang telah memberi sumbangan besar mengikut kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan. Acara kemuncak pengiktirafan pada hari ini ialah penganugerahan gelaran “Tokoh Kastam” kepada individu diatas sumbangan khidmat bakti yang unggul kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia khususnya dan negara amnya. Identiti penerimanya akan diumumkan sebentar nanti.

Penutup

17.  Adalah menjadi harapan saya, supaya semua warga Jabatan Kastam dapat menghayati maksud yang tersirat dalam tema sambutan tahun ini. Ianya perlu diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas harian ke arah kecemerlangan perkhidmatan kastam. Sebagai mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya dan seluruh warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB  Dato’ Seri Ahmad Husni Bin Hanadzlah, Menteri Kewangan II dan para tetamu  jemputan diatas kesudian untuk hadir memeriahkan lagi majlis sambutan Hari Kastam Sedunia pada pagi ini. Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada ahli jawatankuasa dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran majlis ini. Semoga Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa baik Dato’-dato’, tuan-tuan dan puan-puan.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.