PERUTUSAN
KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI
1436 HIJRAH
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bismillahir rahmanir rahim.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.
1. PERTAMA-TAMANYA marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana telah memberi rahmat kesihatan untuk kita merasai nikmat berpuasa di bulan Ramadhan seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama Islam dan seterusnya menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ia dinamai 'idulfitri' atau Hari Raya Fitrah kerana setiap manusia sesungguhnya perlu kembali kepada fitrah kejadian asalnya yang suci, bersih dan tulus, yang perlu dijaga sebaik-baik mungkin agar tidak tercemar dengan kejahatan, dosa serta kelalaian yang boleh merosakkan. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ruum, ayat 30:
Maksudnya:
"(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
2. Fitrah yang dicemari hawa nafsu akan mendorong manusia melanggar batasan, yakni melanggar hak-hak Allah SWT dan hak-hak manusia. Justeru, timbullah gejala-gejala yang tidak baik seperti tidak amanah, khianat serta pelbagai kejahatan lain. Alhamdulillah, melalui amalan berpuasa di bulan Ramadhan, ia telah membersihkan fitrah, mentarbiyyah rohani dan menguji fizikal serta menyambut 1 Syawal ini sebagai satu kemenangan mujahadah yang tertinggi pengertiannya seperti disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai jihad bagi melawan nafsu.
Saudara dan Saudari yang saya hormati sekalian,
3. Justeru, beberapa iktibar perlu diambil pada menjelangnya hari kemenangan 1 Syawal ini, antaranya ialah perlu sabar dan istiqomah dalam melakukan amalan baik. Umpamanya dalam melaksanakan
corebusiness Kastam, kejayaan kita menunaikan amanah rakyat tidaklah dicapai dengan mudah, sebaliknya, ia diraih setelah kita menempuh dengan sabar dan istiqomah pelbagai cabaran, antaranya dengan cara membangunkan ilmu, meningkatkan kemahiran teknologi, melakukan inovasi serta memantapkan nilai insaniah.
4. Semua ini kita laksanakan sejajar dengan kesungguhan Kerajaan yang melakukan pengislahan demi pengislahan secara konsisten dalam aspek meningkatkan kemajuan negara supaya mampu bersaing dan setanding dengan negara-negara maju yang lain.
5. Sehubungan itu sempena hari yang mulia ini saya menyeru seluruh warga Kastam memperkukuhkan nilai-nilai sabar dan istiqomah, serta itqan yakni tekun, taa'wun iaitu budaya tolong menolong, berhikmah atau bijaksana dan taqwa. Kesemua nilai ini sangat mustahak dalam usaha kita bergerak ke arah perkhidmatan Kastam bertaraf dunia serta menyumbang dalam usaha negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Seluruh warga Kastam juga harus sentiasa bertransformasi, bersiap siaga, melihat jauh ke hadapan, serta mampu berupaya menunaikan harapan pemimpin-pemimpin negara demi kemakmuran bersama.
6. Susulan itu, tidak sesekali saya lupakan segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh semua pihak dalam membangunkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, khasnya kepada warga Kastam yang bertugas pada hari yang mulia ini, serta kepada mereka yang telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan kita. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa merahmati kita dan ahli keluarga.
Saudara dan Saudari yang saya hormati sekalian,
7. Pada kesempatan ini juga, saya dengan penuh rasa tawaduk di hati, menyusun jari nan sepuluh memohon ampun kemaafan zahir dan batin bagi pihak diri, isteri serta seisi keluarga saya atas segala kesalahan dan apa jua kekhilafan. Buangkan segala yang masih kusut, perbetulkan mana yang silap, jernihkanlah apa yang keruh, rapatkanlah saf untuk sama-sama bergerak ke hadapan dengan semangat
esprit de corps yang kukuh.
8. Akhir kalam, saya berdoa semoga Allah SWT mengurniakan kesejahteraan ke atas seluruh warga Kastam serta umat Islam untuk menyambut perayaan ini dengan penuh rasa kegembiraan bersama-sama keluarga dan rakan.
9. Selamat Hari Raya Aidilfitri.
10. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
DATO' SRI KHAZALI BIN HJ AHMAD,
Ketua Pengarah Kastam,
Malaysia.
1 Syawal 1436 Hijrah.