Barang-Barang Yang Dikenakan Duti Eksais

Barang-barang yang dikenakan duti Eksais adalah minuman keras/spirit, rokok/tembakau, kenderaan (tidak termasuk kenderaan perdagangan) dan daun terup/mahjung. Kadar-kadar duti adalah seperti yang disebutkan dalan Perintah Duti Eksais 2004.

Pergerakan Barang Berduti Eksais

Seksyen 28 Akta Eksais 1976 menyebutkan bahawa tiada apa-apa barang berduti boleh digunakan dalam, atau dipindahkan daripada satu tempat berlesen di bawah seksyen 20 kecuali dengan membayar duti atasnya, di bawah bon untuk dipindahkan ke suatu gudang Eksais awam, atau gudang berlesen, atau untuk pengilangan di suatu kilang di bawah seksyen 20, atau mana-mana tempat di bawah kawalan Eksais; atau untuk dieksport.

Barang Berduti Eksais Yang Hilang, Rosak Atau Musnah Dalam Kawalan Eksais

Seksyen 14(1) menyebutkan bahawa barang-barang berduti Eksais yang rosak, musnah atau kemalangan dan hilang sebelum dipindahkan dari kawalan Eksais, maka Ketua Pengarah Kastam boleh meremit kesemua atau sebahagian duti Eksais yang kena dibayar.

Barang Keluaran Tempatan Tidak Layak Menuntut Pulangbalik Duti Eksais

Barang-barang pengilangan Eksais tempatan yang telah keluar dari kawalan Kastam dan segala duti/cukainya telah berbayar, dan kemudiannya didapati rosak atau rendah kualiti dan dipulangkan kembali ke kilang, tidak layak menuntut pulangbalik duti/cukai yang telah dibayar tersebut.

Tidak ada peruntukan undang-undang di bawah Akta Eksais 1976 yang membenarkan tuntutan berkenaan.

Barang-Barang Import Layak Menuntut Pulangbalik Duti Eksais Import

Seksyen 19D Akta Eksais 1976 adalah peruntukan bagi membolehkan barang-barang import dan berbayar duti Eksais, kemudiannya di dapati rosak atau rendah kualiti, dan seterusnya dimusnahkan dengan kehadiran KDRM boleh menuntut pulangbalik duti Eksais yang telah dibayar semasa import.

Peruntukan ini tidak terpakai atas barang-barang keluaran tempatan untuk pasaran tempatan.

Siapa Yang Meluluskan Pulangbalik Duti Eksais Bagi Barang Keluaran Tempatan

Menteri Kewangan melalui seksyen 11(2) Akta Eksais 1976 berhak menimbang atau meluluskan pulang balik duti Eksais atas barang-barang yang rosak atau rendah kualiti yang dikembalikan ke kilang. Semua pihak yang terlibat dikehendaki membuat permohonan terus ke Bahagian Anal​isa Cukai, Kementerian Kewangan untuk tujuan pulangbalik duti Eksais berkaitan. Alamat pejabat adalah seperti berikut :

​​​​​​Bahagian Analisa Cukai
Kementerian Kewangan
Kompleks Kementerian Kewangan
Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62592 Putrajaya​​

​​