There are no translations available

Akta Perdagangan Strategik 2010 telah diwartakan pada 10 Jun 2010 manakala Peraturan-Peraturan Perdagangan Strategik 2010, Perintah Perdagangan Strategik (Barang Strategik) 2010, Perintah Perdagangan Strategik (Pengguna Akhir Terhad dan Pengguna Akhir Terlarang)  2010 dan Peraturan-Peraturan Perdagangan Startegik (Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) 2010 telah diwartakan pada 31 Disember 2010.

Tujuan Akta Perdagangan Strategik 2010 adalah seperti berikut :-

  • Mengawal ke atas eksport, pemindahan, transit dan pembrokeran barang strategik, termasuk senjata dan bahan yang berkaitan, dan aktiviti lain yang akan atau boleh memudahkan reka bentuk, pemajuan dan penghasilan senjata pemusnah besar-besaran dan sistem penghantarannya (proliferation of weapons of mass destruction).
  • Melindungi pengeksport Malaysia daripada diperalatkan dan dijadikan saluran haram dalam pembekalan barang strategik bagi percambahan senjata pemusnah besar-besaran.
  • Melaksanakan obligasi antarabangsa yang lain demi memelihara kepentingan dan keselamatan negara.

Bidangkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam perundangan Akta Perdagangan Strategik 2010 adalah merangkumi mengawal dan penahanan barang strategik yang tiada permit di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 oleh pegawai JKDM di Bahagian Import / Eksport dan pintu masuk / keluar negara termasuk penyiasatan dan pendakwaan oleh pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM.

Seseorang yang hendak membawa keluar/mengeksport, memindahkan atau membawa dalam transit barang strategik yang ternyata dalam Bahagian 1 dan 2 Jadual Perintah Perdagangan Strategik (Barang Strategik) 2010 adalah dikehendaki memperolehi permit  di bawah Akta ini. Disamping itu, Permit Khas hendaklah diperolehi untuk barang strategik jika ke negara dan destinasi terhad seperti di Bahagian 3 Jadual Pertama Perintah Perdagangan Strategik (Pengguna Akhir Terhad dan Pengguna Akhir Terlarang) 2010. Semua pengembara yang meninggalkan Malaysia dengan barang strategik adalah juga dikehendaki memperolehi permit  di bawah Akta ini dan mengikrar kepada kastam di pintu keluar negara dengan menggunakan Borang Kastam No. 22.

Senarai barang strategik boleh dirujuk di laman sesawang Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan maklumat ringkas mengenai Akta Perdagangan Strategik  2010 boleh diperolehi dari www.miti.gov.my.

Kegagalan mengemukakan permit dan / atau permit khas untuk barang strategik adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 9(1), 9(2) dan 9(3) Akta Perdagangan Strategik  2010 dan apabila disabitkan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(4), 9(5) dan 9(6) Akta yang sama.

Pihak Berkuasa yang memproses permohonan permit / permit khas seperti yang tercatat dalam Perintah Perdagangan Strategik (Barang Strategik) 2010 adalah seperti berikut:-

  • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
  • Lembaga Perlesenan Tenaga  Atom
  • Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Malaysian Multimedia and Communications Commission)
  • Pharmaceutical Services Division, Ministry of Health

Semua permohonan permit boleh dibuat secara online melalui www.mytradelink.gov.my tetapi pemohon mesti mendaftar terlebih dahulu secara online dengan Dagang Net Technologies SdnBhd di www.dagangnet.com.

Pengeksport hendaklah memastikan permit telah diperolehi daripada agensi yang mengeluarkan permit itu untuk barang yang disenaraikan dalam Bahagian 1 dan 2 Jadual kepada Perintah Perdagangan Strategik (Barang Strategik) 2010 sebelum pengeksportan dibuat.

Semasa pengikraran K2 atau K8 Eksport secara online, pengeksport / agen penghantaran hendaklah membuat pengikraran secara 'Self-Declaration' di skrin antara muka (front-end) di kotak Yes bagi barangan yang dikenakan permit dan kotak No bagi barangan yang tidak dikenakan permit di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.

Sekiranya memilih Yes, maka nombor permit hendaklah dimasukkan. Nombor permit tersebut diberi oleh agensi pengeluaran permit setelah permohonan mendapatkan permit diluluskan. Nombor ini akan divalidasi oleh Sistem Maklumat Kastam (SMK) dan jika betul, SMK akan mengesahkan CUSDEC K2 / K8 Eksport. Sekiranya nombor permit tersebut tidak sah, maka sistem akan menolak dengan Kod Ralat dan orang perseorangan/pengeksport/agen hendaklah membuat pengikraran semula secara elektronik. Sekiranya pendaftaran CUSDEC K2 / K8 Eksport masih juga tidak berjaya didaftarkan maka pengekport / agen penghantaran hendaklah merujuk kepada agensi pengeluaran permit berkenaan.

​​