​​

Content Editor

​​KPK-DATO ANIS.jpg

PERUTUSAN KETUA PENGARAH DALAM PORTAL JKDM

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Melati kuntum tumbuh melata

Sayang merbah di pohon cemara

Salam dihulur pemula kata

Tutur diungkap pembuka bicara

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya jua, portal rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia ini masih terus dapat memberikan khidmat khususnya kepada pemegang taruh dan pelanggan jabatan yang budiman.

Terlebih dahulu saya mengucapkan Selamat Datang kepada semua pelayar Portal Rasmi JKDM dan tahniah serta syabas kepada pentadbir portal yang tidak jemu berusaha memastikan portal rasmi ini sentiasa terkini dan berinformasi.

Tanggungjawab JKDM sebagai pentadbir cukai tidak langsung di negara ini tidak hanya untuk melaksanakan aktiviti penguatkuasaan ke atas perundangan semata-mata, akan tetapi JKDM juga berperanan untuk membantu pelanggan luar mendapat kefahaman yang baik berkenaan cukai sekali gus meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan mereka. Kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan 'core business' merupakan dasar signifikan ke arah pungutan hasil yang baik demi mendepani era pasca normal yang penuh gelora dalam konteks ekonomi dunia secara keseluruhan.

Dengan mengambilkira intipati Gagasan Malaysia MADANI yang dilancarkan oleh YAB Dato'Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri sebagai ikhtiar untuk mengemudi bahtera negara melayari lautan penuh gelora. Prinsip-prinsip yang memandu perjalanan masyarakat dan negara menuju pembentukan sebuah negara bangsa terletak pada enam Rukun MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, penghormatan, keyakinan dan ihsan. Matlamatnya kelak ialah sebuah negara bangsa yang bersatu, aman dan sejahtera. Di akhirnya nanti, sebuah negara bangsa bertamadun tinggi akan terbentuk menerusi kekuatan leluhur bangsa dan budaya kerja berkelas pertama. 

Rentetan impak kerangka ekonomi baru, portal rasmi ini disediakan sebagai platform untuk memenuhi keperluan orang ramai dan pelanggan membuat rujukan berkenaan hal ehwal percukaian semasa dan juga mendapatkan pelbagai perkhidmatan percukaian yang ditawarkan.

Mudah-mudahan harapan saya kepada semua pelayar portal ini agar setiap maklumat yang diperolehi dapat dimanfaatkan sebaiknya dan memenuhi fungsinya sebagai sumber rujukan dan ilmu yang berguna.

Akhir kata, sebagai sebuah agensi yang dilabelkan sebagai 'wira ekonomi' sentiasa menitikberatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan, saya amat mengalu-alukan cadangan mahu pun pandangan yang bernas daripada pelayar portal sekalian. Cadangan dan pandangan tersebut boleh menghubungi kami:

Jabatan Kastam Diraja Malaysia,
Kompleks Kementerian Kewangan No 3,
Persiaran Perdana,
Presint 2,
62596, Putrajaya.

  • 1300 888 500 (Pusat Panggilan Kastam)​
  • 1800 888 855 (Aduan Penyeludupan)
  • 03-8882 2100/2300 (Ibu Pejabat)
  • ccc@customs.gov.my

Segala cadangan akan diteliti dan dipertimbangkan pelaksanaannya mengikut kesesuaian dan keperluan semasa.

Dibilang kata disebut adat

Adat Melayu bersendi syarak

Sebarang kerja patut berhemat

Cermat laku budi berakhlak

 

YBHG. DATO' ANIS RIZANA BINTI MOHD ZAINUDIN @ MOHD ZAINUDDIN
KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA​


​​