LANGKAWI, 22 MEI 2025 – Sempena penganjuran program dwitahunan Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2025, Pejabat Kastam Langkawi telah menerima lawatan kerja daripada Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan), YBrs. Tuan Abu Bakar @ Salleh bin Jambol, dalam rangka memperkukuh semangat kebersamaan dan melihat sendiri kemudahan serta kesiapsiagaan pasukan di lapangan. Turut mengiringi beliau dalam lawatan ini ialah Pengarah Kastam Negeri Kedah, YBrs. Puan Wan Marini binti Wan Hamzah, dan Pengarah Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) Melaka, YBrs. Puan Zuraini binti Othman.
Lawatan bermula di Pejabat Narkotik Tanjung Rhu, di mana Tuan Abu Bakar telah meninjau fasiliti berkaitan seperti sangkar anjing, kawasan latihan dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang digunakan bagi memantau keselamatan dan keberkesanan operasi.
Seterusnya, lawatan diteruskan ke Pejabat Kastam di Tanjung Lembong. Di sini, beliau melihat mesin pengimbas yang baharu, yang merupakan inisiatif penambahbaikan untuk meningkatkan kecekapan pemeriksaan bagasi dan turut meninjau kawasan penghantaran parcel yang sedang dinaik taraf demi mempercepatkan urusan logistik serta menjamin keselamatan perkhidmatan.
Sebagai penutup lawatan, rombongan telah dibawa ke Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) Langkawi. Di sini, Tuan Abu Bakar berkesempatan meninjau kemudahan latihan sedia ada termasuk dewan, bilik penginapan, bilik kuliah serta surau. Kemudahan ini mencerminkan komitmen jabatan dalam memastikan latihan yang holistik dan selesa bagi para pegawai dan kakitangan.
Tuan Abu Bakar merakamkan penghargaan atas usaha gigih yang ditunjukkan oleh semua warga Kastam di Langkawi. Beliau turut menyuarakan harapan agar semangat kerja berpasukan dan iltizam yang tinggi ini akan terus dikekalkan, selari dengan aspirasi jabatan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara.
JKDM Kedah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian YBrs. Tuan Abu Bakar @ Salleh Bin Jambol untuk turun padang, sekaligus menyuntik semangat kepada semua warga kastam untuk terus cemerlang dan berintegriti.
CEKAP, TANGKAS DAN INTEGRITI