KPK RASMIKAN MAKMAL FORENSIK DIGITAL JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA
Oleh : PaK Muhammad Shafuan bin Md Zan, PPA JKDM Ibu Pejabat
DENGKIL, 9 APRIL 2025 – Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan kerjasama Technology Depository Agency Berhad (TDA) dan Lembah Sari Sdn. Bhd. telah menganjurkan majlis perasmian Makmal Forensik Digital JKDM dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kastam, YBhg. Dato’ Anis Rizana binti Mohd Zainudin di Kompleks Penguatkuasaan Dengkil, JKDM Ibu Pejabat, di sini.
Makmal Forensik Digital ini memainkan peranan penting dalam menjalankan pemeriksaan, menganalisis dan mengeluarkan laporan pemeriksaan forensik digital bagi eksibit seperti peranti digital, komputer dan telefon pintar yang telah disita semasa operasi. Makmal ini juga dilengkapi dengan teknologi terkini untuk mengesan dan memulihkan bukti digital seterusnya membantu proses penyiasatan dan pendakwaan dengan lebih berkesan.
YBhg. Dato’ Anis Rizana dalam ucapannya melahirkan rasa bangga atas perasmian makmal ini serta merakamkan penghargaan kepada para pemegang taruh dan rakan strategik JKDM yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan tugas pegawai di lapangan dapat dijalankan dengan lebih efisien dan efektif.
Hadir sama dalam perasmian tersebut, Puan Norlela binti Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman / Cukai Dalam Negeri), Puan Siti binti Mang, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan / Pematuhan), Puan Almirulita binti Mohd Yusoff, Penolong Ketua Pengarah Kastam (Cukai Dalam Negeri), Puan Raizam binti Setapa @ Mustapha, Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Wakil Kementerian Kewangan Malaysia, Pengarah-Pengarah Ibu Pejabat, Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Ketua Pegawai Eksekutif Lembah Sari Sdn. Bhd., Kumpulan Kerja Forensik Digital Malaysia, barisan pegawai Kastam dan Wakil-wakil agensi.
CEKAP, TANGKAS DAN INTEGRITI