KANGAR, 09 OKTOBER 2023 - Satu Program Kayuhan bersama Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berlangsung dengan jayanya. Kayuhan di sekitar Kangar yang bermula pada jam 5.30 Petang dan berakhir pada jam 7.00 petang ini turut menyantuni beberapa buah rumah asnaf di sekitar Kangar. Penyampaian sumbangan berupa kotak makanan serta beras turut diberikan kepada penerima tersebut.
Program kayuhan ini diserikan lagi dengan kehadiran serta penyertaan daripada Barisan Pengurusan Tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia iaitu YBhg. Dato' Sazali bin Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) , YBhg. Dato' Aidid bin Tajuddin, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), YBrs. Tuan Nasaruddin bin Abdul Muttalib, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan), Puan Wan Saadah binti Mohamed Muhibbuddin, Penolong Ketua Pengarah Kastam (Cukai Dalam Negeri), Tuan Ribuan bin Abdullah, Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) dan Tuan Abdul Jalil bin Rejab, MTT Pengarah Bahagian Perancangan Korporat.
Pada sebelah malamnya, satu Majlis Santapan bersama DYTM Tuanku Raja Muda Perlis telah diadakan di Perumahan Kastam Kangar.Turut hadir ke majlis, YAM Tengku Temenggong Perlis, YAB Menteri Besar Perlis, YB Setiusaha Kerajaan Perlis, Ketua-ketua Jabatan Perlis, serta pegawai-pegawai JKDM.
Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah, diikuti Ucapan Menjunjung Kasih oleh YBhg. Dato’ Sazali bin Mohamad. Tuanku Raja Muda Perlis juga turut bertitah dalam majlis tersebut. Dalam titah ucapannya, Tuanku Raja Muda Perlis menzahirkan agar Jabatan Kastam Diraja Malaysia terus berkhidmat dengan penuh amanah dan berintegriti agar hasil negara dapat dipungut dan diurus dengan baik. Acara diteruskan dengan penyampaian 450 KG beras kepada Majlis Agama Islam dan Istiadat Perlis (Maips) untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf di sekitar Negeri Perlis. Majlis berakhir dengan keberangkatan pulang DYTM Tuanku sekitar jam 9.30 malam.
Seluruh warga JKDM Perlis berterima kasih kepada Barisan Pengurusan Tertinggi JKDM yang sudi hadir menjayakan program ini.
EKONOMI DIPELIHARA, SEMPADAN DIKAWAL




