Oleh: PPK Azwar bin Muhammad Noor, PPA JKDM Pulau Pinang

SERI MUTIARA, 06 OGOS 2026 – YBrs. Tuan Hasbollah bin Din, Pengarah Kastam Negeri Pulau Pinang bersama barisan Timbalan Pengarah Kastam Negeri telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Seri Mutiara.
Kunjungan penuh bermakna ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Pulau Pinang dalam memperkukuh hubungan institusi serta menjalin kerjasama yang erat dengan Pejabat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri. Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh muhibah itu menjadi wadah untuk bertukar pandangan mengenai peranan strategik JKDM sebagai agensi pemungut hasil utama negara, di samping memperkenalkan kepimpinan negeri yang baharu.
Dalam sesi kunjungan tersebut, YBrs. Tuan Hasbollah bin Din turut berkongsi perkembangan semasa jabatan, inisiatif yang sedang dilaksanakan serta aspirasi JKDM Negeri Pulau Pinang dalam memperkasakan tadbir urus, mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkukuh penguatkuasaan undang-undang kastam dan memudah cara perdagangan demi kemakmuran ekonomi negara.
Kunjungan hormat ini bukan sahaja memperlihatkan hubungan yang kukuh antara JKDM Negeri Pulau Pinang dengan institusi Yang di-Pertua Negeri, malah menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat dalam mendukung agenda pembangunan negeri serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam yang berteraskan profesionalisme, integriti dan kecemerlangan.
Semoga jalinan hubungan strategik yang terpelihara ini akan terus diperkasakan demi memastikan JKDM kekal sebagai sebuah organisasi yang diyakini, dihormati dan sentiasa relevan dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat, kemajuan Negeri Pulau Pinang serta kemakmuran Malaysia.





