Oleh: PPK Faridatul Husna binti Ahmad Faiz, CPA BCDN Ibu Pejabat
PUTRAJAYA, 19 OGOS 2026 – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), melalui Bahagian Cukai Dalam Negeri (CDN) Ibu Pejabat, telah menganjurkan Webinar Cukai Pelancongan (TTx) khusus buat pegawai Subject Matter Expert (SME) bagi tahun 2026. Webinar julung kali diadakan ini merupakan cetusan idea YBrs. Tuan Haji Ismail bin Hashim, Penolong Ketua Pengarah Kastam (Cukai Dalam Negeri), yang menjadi inisiatif penting dalam meningkatkan kefahaman dan memperkukuh kompetensi pegawai berhubung pelaksanaan serta pengoperasian Cukai Pelancongan di lapangan. Usaha ini turut menjadi sebahagian daripada persediaan ibu pejabat terhadap para pegawai negeri bagi melaksanakan sesi taklimat serta program hand-holding kepada pihak berkepentingan, pengendali berdaftar dan pengendali baharu, lantas menyokong capaian sasaran 43 juta pelawat antarabangsa bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Webinar Cukai Pelancongan ini telah menghimpunkan lebih 100 orang peserta, termasuk 60 orang pegawai negeri dan stesen yang telah dikenal pasti sebagai pegawai SME Cukai Pelancongan. Selain menjadi pakar rujuk teknikal dan khidmat nasihat, para pegawai SME ini akan menjadi penggerak utama dalam melaksanakan serta menguruskan isu-isu berbangkit berkaitan Cukai Pelangcongan, serta bertindak sebagai pegawai perhubungan negeri. Secara keseluruhan, penyertaan yang memberangsangkan, malah melibatkan pegawai daripada bahagian selain CDN, mencerminkan komitmen serta minat tinggi warga Kastam terhadap Cukai Pelancongan. Di samping menjadi platform perkongsian ilmu yang signifikan, penganjuran webinar sebegini dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan, serta memastikan pelaksanaan Cukai Pelancongan yang efisien dan seragam di seluruh negara, sekali gus memperkasa pematuhan dan memperkukuh pungutan hasil JKDM.
KOMPETEN • INTEGRITI • TEGAS




