Alat Kebolehcapaian

KUNJUNGAN HORMAT PESURUHJAYA TINGGI KANADA KE MALAYSIA DAN CANADA BORDER SERVICES AGENCY (CBSA) KEPADA KETUA PENGARAH KASTAM

Oleh: PKPK II, Asmarliyana binti Mohd Noh, Cawangan Hal Ehwal Antarabangsa, Bahagian Perancangan Korporat

PESURUHJAYA TINGGI KANADA KE MALAYSIA

PUTRAJAYA, 09 JULAI 2026 – YBhg. Dato' Haji Amran bin Haji Ahmad, Ketua Pengarah Kastam telah menerima kunjungan hormat daripada Her Excellency Jodi Robinson, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, bersama delegasi Canada Border Services Agency (CBSA) iaitu Mr. Mark Forde, Liaison Officer.

Delegasi Kanada telah disambut oleh YBhg. Dato' Ketua Pengarah Kastam, bersama pegawai-pegawai kanan JKDM yang terdiri daripada YBrs. Tuan Durairajoo A/L Muniandy, Pengarah Kastam Bahagian Perancangan Korporat serta Tuan Aminuddin bin Hamzah, Timbalan Pengarah Kastam, Cawangan Hal Ehwal Antarabangsa.

Kunjungan hormat ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama strategik yang telah sekian lama terjalin antara JKDM dan CBSA, di samping membincangkan perkembangan terkini kerjasama dua hala dalam bidang pembangunan kapasiti, perkongsian maklumat, penguatkuasaan kastam serta fasilitasi perdagangan.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah kemajuan pelaksanaan Mutual Recognition Arrangement (MRA) on Authorised Economic Operator (AEO) antara Malaysia dan Kanada yang kini berada di peringkat semakan perundangan dalaman sebelum dimuktamadkan. Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan rundingan Customs Mutual Administrative Assistance Agreement (CMAA) yang dijangka memperkukuh kerjasama dalam pertukaran maklumat serta membanteras kesalahan kastam dan jenayah rentas sempadan.

Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Kanada dalam memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pentadbiran kastam serta memperluas kerjasama dalam aspek keselamatan sempadan, fasilitasi perdagangan dan pembanterasan jenayah rentas sempadan.

CEKAP • TANGKAS • INTEGRITI
logo CPA