PELABUHAN KLANG, 11 MAC 2023 – Satu Program Gotong-Royong Perdana mengecat dan membina lanskap pejabat di Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah telah dianjurkan dengan jayanya oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Zon Tengah Unit II (Selangor) dan PERKASA Selangor. Selain daripada penglibatan warga Kastam, program ini juga turut menyaksikan penglibatan pemain industri atau dikenali sebagai Rakan Bestari seperti Infinity Logistics & Transport, DHAS, Top Glove, SFFLA, JTI, MAFFA dan juga Westport.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh YB Steven Sim Kee Cheong, Timbalan Menteri Kewangan II. Turut hadir daripada pihak pengurusan tertinggi Dato’ Abdul Halim bin Ramli, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman & CDN) bersama isteri. Program Gotong-royong Perdana ini telah bermula dengan pra gotong-royong selama tiga hari bermula 8 Mac 2023 dan kemuncaknya adalah pada 11 Mac 2023. Selama program berlangsung, dapat dilihat ke semua warga begitu bersemangat untuk mencantikkan dan mengembalikan seri Wisma Kastam Selangor yang amat disayangi ini. Terima kasih kepada semua yang bertungkus-lumus sepanjang program ini berlangsung.




