TEKS UCAPTAMA TKPK (PENGUATKUASAAN/ PEMATUHAN

SEMPENA
 
MAJLIS PELANCARAN PROGRAM JOM BACA @ PERPUSTAKAAN DAN SUDUT GST  
 
PADA
 
9 OGOS 2010
 
BERTEMPAT DI

PERKARANGAN PERPUSTAKAAN, IBU PEJABAT JKDM     PUTRAJAYA

 

Terima kasih saudara/saudari Pengacara Majlis

 

Bismillahirrahmamirrahim

 

Assalamualaikum WBT.

 

Salam Sejahtera, Salam Salam 1 Malaysia dan 1 Kastam 

 

Y.Berbahagia Dato’ Khazali bin Haji Ahmad,

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan),

 

Y.Berbahagia Dato’ Haji Md. Yusuf bin Haji Mansor,

Timbalan Ketua Pengarah Kastam

 (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri),

 

Y.Berbahagia Datuk Md. Hassim bin Pardi,

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan),

 

Y.Berbahagia Dato’ Hajjah Zaleha binti Hamzah,

Penasihat Kastam

 

Y.Berbahagia Dato’-Dato’ Pengarah-Pengarah Bahagian Ibu Pejabat

 

Pegawai-Pegawai Kanan Ibu Pejabat,

 

Tetamu jemputan dari Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Kementerian Kewangan dan Perpustakaan Jabatan Akauntan Negara.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

 

Alhamdulillah, ucapan syukur yang tidak terhingga saya panjatkan ke hadrat Allah S.W.T. di atas nikmat usia dan kesihatan yang diberikan kepada kita dan dengan limpah rahmat dan izinNya, kita bersama-sama dapat hadir ke Majlis Pelancaran Program Jom Baca @ Perpustakaan dan Sudut GST pada hari ini.

 

2. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada warga kastam di Unit Latihan dan Pembangunan Sumber Manusia, Ibu Pejabat khususnya Unit Perpustakaan di atas daya usaha yang gigih untuk menganjurkan majlis ini serta memastikan ianya berjalan dengan lancar.

 

3. Perpustakaan JKDM telah berpindah dari lokasi asalnya di Aras 2 Utara ke Aras 1 Utara pada bulan Mei 2010. Sehubungan dengan perpindahan ini, Program Jom Baca @ Perpustakaan dianjurkan bertujuan untuk memperkenalkan lokasi baru perpustakaan yang lebih mesra pengguna dan lebih accessible kerana terletak di aras bawah dan dengan demikian mudah dikunjungi oleh semua warga Jabatan. Selain itu, ianya bertujuan untuk memupuk semangat membaca di kalangan warga Jabatan dan sebagai menyahut Kempen Membaca Kebangsaan yang diadakan pada bulan Julai setiap tahun. Amalan membaca sepatutnya tidak asing lagi bagi warga Kastam beragama Islam jika kita menghayati serta mengambil iktibar perintah Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W. supaya

membaca (Iqra’) seperti yang tarkandung dalam Surah Al-Alaq (ayat 1 hingga 19) iaitu antara ayat-ayat Al-Quran yang pertama diturunkan. 

 

4. Program Jom Baca @ Perpustakaan ini adalah hasil kerjasama dengan pihak Perpustakaan Negara Malaysia. Melalui kerjasama ini, 300 buah buku bacaan ringan pelbagai genre telah disediakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia untuk bacaan warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Antara koleksi bacaan yang disediakan adalah novel, motivasi, agama serta bacaan untuk kanak-kanak.

 

5.  Sebenarnya Program Jom Baca ini telah bermula pada 1 Julai 2010 yang lepas dan akan berakhir pada 31 Ogos 2010. Sambutan warga Jabatan terhadap program ini amat menggalakkan.  Statistik menunjukkan, bahawa dalam tempoh sebulan sahaja ianya dianjurkan, sebanyak 275 buah buku telah dipinjam oleh para pembaca Jabatan. Jumlah ini meningkatkan 7 kali ganda dari jumlah peminjam pada bulan Jun 2010. Atas sambutan yang menggalakkan ini, Program ini akan dilanjutkan sehingga Disember tahun ini. Semoga dengan pelanjutan ini, warga Jabatan Kastam khususnya dapat membudayakan amalan membaca bagi meningkatkan ilmu masing-masing.

 

6. Program Jom Baca @ Perpustakaan memberi peluang bukan sahaja kepada mereka yang minat membaca tetapi kepada semua warga Jabatan. Semoga dengan adanya program ini, warga Jabatan dapat memanfaatkannya serta mendorong mempelbagaikan bahan yang dibaca. Budaya membaca wajar diterapkan secara berterusan kerana nilai tambah kepada tahap ilmu pengetahuan bagi mereka yang mengamalkannya.

 

7. Dasar JKDM adalah menggalak penerapan budaya ilmu di kalangan warganya. Jabatan menyedari betapa pentingnya budaya pembelajaran sepanjang hayat diterapkan sebagai salah satu faktor penting yang boleh menyumbang ke arah membangun sebuah organisasi berprestasi tinggi.  Dasar ini terkanding dalam Perintah Am Jabatan Bil. 95, iaitu Penerapan Budaya Ilmu Di Kalangan Warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Melalui perintah ini, usaha-usaha penerapan budaya ilmu perlu diterapkan dari masa ke semasa untuk membangunkan Jabatan agar lebih berdaya maju dan berprestasi tinggi. Tiada jalan pintas ke arah ini melainkan warga Jabatan sanggup menimba ilmu melalui amalan membaca.

 

8.  Melalui pembacaan, minda kita akan terbuka luas dan maklumat yang diperolehi amat berfaedah bukan sahaja kepada individu itu sendiri tetapi kepada organisasi serta masyarakat. Masyarakat yang bermaklumat dan berbudaya ilmu tinggi adalah masyarakat yang dihormati dan berjaya. Di dalam usaha kerajaan untuk menuju ke arah negara maju, ilmu pegetahuan merupakan tunjang utama untuk merealisasikannya.

 

9. Kita semua sedia maklum, pada 16 Disember 2009 lalu, Rang Undang-Undang berhubung pengenalan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan II untuk bacaan kali pertama dalam sidang Dewan Rakyat. Walaupun belum lagi dimuktamadkan tarikh kuatkuasa pelaksanaannya, besar kemungkinan ianya akan dilaksanakan pada pertengahan tahun 2011. 

 

10. Melalui outreach program yang telah adakan untuk mempertingkatkan tahap kesedaran seluruh lapisan masyrakat, pelbagai persepsi dan maklum balas telah diperolehi mengenai Pelaksanaan GST daripada orang ramai. Ini merupakan salah satu cabaran utama warga Jabatan dalam meyakinkan orang awam mengenai kebaikan GST. Saya berpendapat, semua warga Jabatan perlu berganding bahu untuk meyakinkan rakyat mengenai kebaikan GST dengan membantu menyebarkan seluas-luasnya maklumat yang tepat mengenai GST kepada orang awam.

 

11. Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang telah diberi tanggungjawab sebagai agen pelaksana GST perlu bekerja keras untuk memberi pemahaman kepada rakyat mengenai kelebihan GST berbanding system percukaian consumption yang diguna sekarang. Dalam usaha memberi maklumat kepada orang awam, kita harus pastikan semua warga Jabatan sudah benar-benar memahami GST supaya dapat menyampaikan maklumat yang tepat. 

 

12. Pelbagai program-program sedang giat dilaksanakan oleh Unit GST Jabatan untuk memberi kesedaran dan pemahaman mengenai GST kepada warga Jabatan dan juga orang awam/pihak industri. Berdasarkan Kajian Kesedaran Kakitangan JKDM Terhadap Pelaksanaan GST yang diadakan oleh Urus setia Jawatankuasa Persediaan Pelaksanaan GST (JPPGST), Bahagian Cukai Dalam Negeri Ibu pejabat,  28.83%  kakitangan JKDM Ibu Pejabat tidak mempunyai maklumat atau pengetahuan yang cukup mendalam mengenai GST.

 

13. Usaha mewujudkan Sudut GST di perpustakaan, Ibu Pejabat merupakan satu idea yang baik. Perpustakaan yang sinonim dengan gedung ilmu merupakan tempat yang amat sesuai untuk menyebarkan maklumat mengenai GST kepada warga Jabatan khususnya.

 

14.  Melalui Sudut GST ini, keratan-keratan akhbar, buku serta risalah mengenai GST dapat dirujuk oleh semua kakitangan. Saya berharap, Sudut ini akan dimanfaat sepenuhnya oleh kakitangan dalam usaha memantapkan serta memperkasakan diri dengan maklumat mengenai GST.  

 

15. Saya amat berharap persepsi perpustakaan yang hanya perlu dikunjungi bila tiba waktu-waktu tertentu sahaja seperti menjelang peperiksaan perlulah dikikis. Pada dasarnya, banyak ilmu yang boleh kita perolehi dengan pembacaan yang meluas seperti bak kata peribahasa, selangkah ke perpustakaan, sejuta pengetahuan.

 

16. Di negara-negara maju wujud apa yang dipanggil electronic library. Semasa mengunjungi Customs College China Customs, saya kagum apabila diperkenalkan electronic library yang canggih walau pun perpustakaan tradisional mereka masih lagi dipelihara dengan baik. Saya berharap JKDM juga mula berusaha secara bertahap untuk membangunkan electronic library. Adalah menjadi harapan saya agar kemudahan yang disediakan dalam perpustakaan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya dan usaha untuk mengemaskini serta memantapkan lagi perpustakaan kita dapat dilaksanakan secara berterusan.

 

17. Sebagai mengakhiri ucapan, saya dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim merasmikan Program Jom Baca @ Perpustakaan dan Sudut GST.

 

Sekian, Wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.  Terima kasih.

​​​