Import Sementara merupakan kemudahan untuk mengimport secara sementara tanpa bayaran duti kastam ke atas barang yang diimport untuk tujuan dieksport semula diperuntukan di bawah Seksyen 97 Akta Kastam 1967. Permohonan import sementara ini tertakluk kepada syarat-syarat danprosedur yang ditentukan bagi memberi kemudahan untuk mengimport barangan secara sementara dengan mengemukakan jaminan bank/cagaran bagi melindungi duti yang terlibat. Barangan yang diimport sementara hendaklah dieksport semula dalam tempoh 3 bulan dari tarikh ianya diimport. Tempoh lanjutan boleh dipohon dan kelulusan akan diberi oleh stesyen dimana permohonan dibuat untuk tempoh sehingga 12 bulan lagi, sekiranya mempunyai sebab-sebab yang boleh dipertimbangkan. Sekiranya tempoh lanjutan berikutnya masih diperlukan, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Bahagian Perkastaman) melalui Pengarah Kastam Negeri yang berkenaan untuk pertimbangan Ibu Pejabat Kastam. Walau apapun, kegagalan untuk mengeksport semula dalam tempoh yang dibenarkan, cagaran atau jaminan bank yang didaftarkan di pejabat kastam akan dituntut atau ditunaikan untuk menjelaskan duti/cukai terlibat. Dalam tempoh tersebut, sekiranya barangan hendak dijual, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Kastam Negeri berkenaan dan duti/cukai hendaklah dijelaskan terlebih dahulu selepas kelulusan diberi. Permohonan Import Sementara boleh dibuat secara bertulis kepada Pejabat Pengarah Kastam Negeri di mana barangan akan diimport mengikut borang yang ditetapkan. Borang yang disertakan boleh dicetak untuk tujuan permohonan.
1. Kategori Kelayakan Menggunakan kemudahan Import Sementara
2. Kategori barangan yang layak mendapat kemudahan Import Sementara
3. Syarat Penggunaan kemudahan Import Sementara
|
Sebab-sebab yang boleh dipertimbangkan
Seksyen 97 - Pelepasan daripada duti ke atas barang-barang yang diimport untuk sementara
Jika Ketua Pengarah berpuas hati bahawa barang-barang diimport hanya untuk sementara dengan suatu maksud pengeksportan semula yang berikut, dia boleh membenarkan barang-barang itu diserah ketika pengimportan tanpa pembayaran duti tertakluk kepada pembayaran suatu deposit senilai dengan tidak kurang daripada amaun duti yang akan kena dibayar jika barang-barang itu diimport bagi kegunaan tempatan atau cagaran diberi dengan memuaskan hati Ketua Pengarah bagi pembayaran duti itu. Deposit itu hendaklah dibayar balik atau cagaran itu dikembalikan jika barang-barang itu dieksport semula dalam masa tiga bulan dari tarikh pengimportan atau dalam apa-apa tempoh tambahan yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah.