Rekod bertulis yang terawal berkaitan kewujudan Jabatan Kastam di Sarawak tercatat di dalam Sarawak Gazette pada 17 Jun 1873 iaitu berkenaan dengan perlantikan serta pemberian kuasa oleh HRH Rajah Brooke kepada dua orang anak tempat, En. Ersat dan En. Buyong sebagai pemungut duti import di Kuching.

Stesen pemeriksaan Kastam yang pertama terletak di hulu Sungai Boyan, Kuching.  Stesen ini kemudiannya dikenali sebagai “Pengkalan Persinggahan Encik Omar” sempena dengan nama Pegawai Kastam yang pertama mengetuai stesen berkenaan iaitu, Omar bin Abdul Majid.

Selepas itu pejabat Kastam telah diletakkan di dalam bangunan Pejabat Pos Kuching.  Post Master General pada ketika itu, F.G Day juga dilantik sebagai “Superintendent of Customs and Shipping”

Pada tahun 1912, Pejabat Kastam dan Perkapalan berpindah ke bangunan baru di tebingan Sungai Sarawak yang Kemudiannya dikenali sebagai Chinese Chambers of Commerce dan kini diubahsuai menjadi Muzium di Kuching Waterfront.  Beberapa bangunan Pemeriksaan Kastam telah didirikan bersebelahan dengan gudang The Sarawak Steamship Company di kawasan Main Baazar.

Pada tahun 1929, sebuah bangunan yang dikenali sebagai Customs House telah didirikan sebagai Pejabat Kastam yang baru.  Malangnyabangunan ii telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek Kuching Waterfront. Walau bagaimanapun, pintu Gudang No. 8 masih dikekalkan dan diabadikan sebagai warisan sejarah.

Pada 13 November 1979 Ibu Pejabat Kastam telah berpindah ke bangunan baru di Jalan Gedong, yang kekal hingga ke hari ini.  Pada ketika itu Customs House masih digunakan sebagai Pejabat Kastam Bahagian Pertama dan Kedua sehingga awal tahun 1980-an.

Seiring dengan perubahan peranan, Jabatan Kastam Sarawak dikenali dengan berbagai nama.  Pada peringkat awal penubuhannya ianya pernah dikenali sebagai Monopolis and Customs Department kerana pada ketika itu Jabatan turut bertanggungjawab mentadbir pemprosesan serta jualan candu dan arak.

Pada 16 Disember 1923 Jabatan Kastam telah dinamakan sebagai Department of Customs and Trade melalui Sarawak Government Order No. XXXVIL of 1924.  Ianya diketuai oleh seorang Commissioner of Customs and Trade yang bertanggungjawab terus kepada Rajah atau kepada Administrative Council yang dipengerusikan oleh StateSecretary semasa ketiadaan Rajah.

Di peringkat Bahagian, pentadbiran Kastam diketuai oleh seorang Superintendent. Pada tahun 1924 misalnya, Mr. J.S. Mudford ditempatkan di Bahagian Pertama (Kuching) dan Mr. H. Jacques di Bahagian Ketiga (Sibu).

Commisioner of Customs and Trade yang pertama ialah J.A.H. Hardie.  Selepas itu jawatan ini telah disandang oleh enam orang Commissioner yang terdiri dari pegawai Inggeris sehingga Sarawak mencapai kemerdekaan.  Mereka ialah :-

                                               H.M. Calvert ( 1929 )

                                               L.D. Kennedy ( 1939 )

                                               G.A.C. Field ( 1954 )

                                               J.A.G. Benson ( 1959 )

                                               R.E. Charter ( 1959 )

Selepas Merdeka, Jabatan Kastam Sarawak diketuai oleh anak-anak tempatan dari Sarawak atau Semenanjung Malaysia.  Anak tempatan pertama yang mengetuai Jabatan ini ialah Tuan Hj. Rakawi Bin Nur (Datuk) pada tahun 1966.  Beliau kemudianya diganti oleh Tuan Hj. Hassim bin Ahmad pada tahun 1972.  Anak-anak tempatan lain yang mengetuai Jabatan Kastam Sarawak ialah:-

                                             Tuan Hj. Wan Abu Bakar Bin Tuanku Muhammad (Datuk Seri) (1975)

                                             Tuan Hj. Madehi Bin Hj. Kolek (1980)

                                             Encik Sani Bin Hassan (1989)

                                             Tuan Hj. Ibrahim  Bin Mat (Dato’) (1993)

                                             Encik Frankie Jurem Nyombui (1997)

                                             Tn Hj. Mohamed Khalid bin Hj. Yusuf (2000) (Dato’ Sri - kini Ketua Pengarah Kastam Malaysia)

Semasa pemerintahan British, undang-undang yang komprehensif yang julung-julung kalinya iaitu Customs Ordinance 1947 telah diperkenalkan.  Undang-Undang tersebut diluluskan oleh Counsil Negeri pada 9 Disember 1947 dan diperkenankan oleh TYT Governor C.N. Arden Clarke pada 13 Disember 1947 dan berkuatkuasa mulai 2 Januari 1948.  Kandungan serta prinsip asas undang-undang berkenaan masih kekal di dalam Sarawak Customs Ordinance 1955 dan Akta Kastam 1967 yang dipakai hingga ke hari ini.

Pada 29 Oktober 1963, Jabatan Kastam dan Eksais telah dianugerahkan dengan gelaran “Diraja” oleh Seri Paduka Banginda Yang Dipertuan Agong serta dikenali sebagai Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia.

Gelaran “Commissioner” kemudiannya ditukar kepada “Controller-General” mulai 2 Januari 1948 selepas pembentukan Malaysia, ianya diganti dengan “Pengarah Kastam Wilayah (Regional Director)” dan kini dikenali sebagai “Pengarah Kastam Negeri”.

Pada 25 Januari 2002 Kabinet Persekutuan telah meluluskan pengguguran perkataan “dan Eksais” dalam nama Jabatan.  Pengguguran tersebut telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.  Dengan itu nama Jabatan kini dikenali sebagai “Kastam Diraja Mala​ysia” sahaja.

Kini Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak mempunyai seramai 1,152 orang kakitangan yang bertugas di 6 stesen utama, 7 stesen kecil dan 11 pos sempadan.  Purata kutipan hasil tahunan berjumlah RM1.063 billion.  Di samping memungut hasil, Kastam Diraja Malaysia juga bertanggunjawab untuk membanteras penyeludupan serta membantu pertumbuhan sektor perindustrian melalui pelbagai kemudahan dan insentif. ​