KANGAR, 7 Januari 2025 – YAB Tuan Abu Bakar Hamzah, Menteri Besar Perlis ke-9 telah menyampaikan Amanat Menteri Besar kepada seluruh penjawat awam Negeri Perlis dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Dewan 2020, Perlis. Majlis tersebut dihadiri oleh Barisan Kepimpinan Negeri, Ketua-ketua Jabatan serta Penjawat Awam daripada pelbagai Agensi.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negeri Perlis, Negaraku dan Lagu Perkhidmatan Awam, diikuti bacaan ikrar penjawat awam oleh wakil agensi beruniform. JKDM Perlis telah diwakili oleh Tuan Nur ‘Azam bin Mohd Bahari, Penolong Pengarah Kastam bagi bacaan ikrar tersebut.
Dalam amanatnya, YAB Menteri Besar menegaskan agar penjawat awam melaksanakan tugas secara profesional, pantas dan berintegriti serta mengamalkan pendekatan membantu dan memudahkan urusan rakyat dan pelabur. Beliau turut menekankan usaha menghapuskan budaya “Little Napoleon”, menghentikan budaya “keluar makan” ketika waktu bekerja serta memaklumkan bahawa setiap jabatan akan dinilai berdasarkan KPI bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Majlis turut disusuli dengan penyampaian sumbangan kepada pemenang pingat Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) serta penyampaian sijil penghargaan kepada wakil agensi yang terlibat dalam operasi pengurusan bencana banjir di Negeri Perlis. Turut hadir ialah YBrs Tuan Haji Ismail bin Hashim Pengarah Kastam Negeri Perlis bersama barisan kepimpinan dan pegawai JKDM Perlis.
CEPAT.TANGKAS.INTEGRITI





