Content Editor

1. Apa itu ketetapan kastam?

Ketetapan kastam adalah satu ketetapan yang disediakan oleh Jabatan Kastam berikutan dari permohonan oleh pedagang, agen atau oleh orang perseorangan, Ia satu ketetapan yang mengikat, dikeluarkan secara bertulis oleh Ketua Pengarah Kastam dan dapat dijadikan panduan berkaitan dengan tanggungan duti yang terlibat hasil dari aktiviti-aktiviti perniagaan seperti urusan impot atau ekspot dibawah Akta Kastam 1967, pengeluaran atau pengilangan barangan, dibawah Akta Cukai Jualan 1972, Akta Eksais 1976 dan perkhidmatan bercukai dibawah Akta Cukai Perkhidmatan 1975.

Ketetapan kastam dikeluarkan untuk :

· Klasifikasi barang

· Prinsip-prinsip yang perlu diguna pakai bagi maksud penentuan nilai sesuatu barangan.

· Penentuan orang kena cukai berkaitan dengan pengeluaran atau pengilangan barangan; dan

· Penentuan perkhidmatan bercukai.

2. Faedah-faedah ketetapan kastam

Ketetapan kastam membolehkan pedagang mengetahui terlebih dahulu dengan yakin akan tanggungan duti bagi pelepasan barangan, pengeluaran atau pengilangan barangan dan perkhidmatan bercukai bagi memudahkan pematuhan peraturan-peraturan kastam dan lain-lain pihak berkuasa.

3. Siapa yang boleh memohon

Semua permohonan bagi ketetapan kastam hendaklah dibuat secara bertulis, menggunakan borang yang telah ditetapkan, ditanda tangani oleh wakil pemohon yang diberi kuasa dan dihantar kepada Bahagian Teknikal, Pejabat Kastam diperingkat negeri atau kepada Urusetia Ketetapan Kastam di Ibu Pejabat, Putrajaya. Setiap permohonan mestilah dihadkan kepada satu-satu produk, aktiviti atau perkhidmatan sahaja.

4. Maklumat yang diperlukan dari pemohon.

Pemohon hendaklah mengemukakan maklumat yang lengkap dan terperinci termasuk dokumen tambahan yang berkaitan dengan permohonan ini. Bagi mengelak sebarang kelewatan yang tidak wajar dalam memproses permohonan ketetapan kastam, pemohon hendaklah mempastikan semua maklumat yang berkaitan telah dikemukakan, Ketua Pengarah Kastam boleh untuk tidak mengeluarkan ketetapan kastam sekiranya pemohon gagal mengemukakan maklumat tambahan dalam tempuh masa yang telah ditetapkan.

5. Bayaran yuran bagi ketetapan kastam

· Yuran memproses ketetapan kastam sebanyak RM200.00 akan dikenakan bagi setiap permohonan.

· Yuran analisis akan dikenakan kepada pemohon jika perkara berkaitan ketetapan kastam perlu kepada analisis yang dikendalikan oleh pihak ketiga.

· Pemilik ketetapan kastam boleh meminta salinan yang diakui sah dengan bayaran yuran sebanyak RM50.00

6. Permohonan untuk ketetapan kastam

Permohonan bagi mendapat ketetapan kastam boleh dibuat di Bahagian Teknikal , pejabat Kastam disetiap negeri atau kepada pejabat kastam peringkat negeri atau kepada Urusetia Ketetapan Kastam di Ibu Pejabat, Putrajaya. Setiap permohonan untuk ketetapan kastam mesti dibuat secara bertulis dengan menggunakan borang yang telah ditetapkan beserta dengan bayaran yuran proses RM 200. Permohonan hendaklah mengandungi maklumat yang lengkap atau dokumen yang berkaitan dengan urusniaga dan perkara yang berkaitan dengan kehendak ketetapan.Pemohon boleh menarik balik permohonan pada bila-bila masa sebelum sesuatu ketetapan kastam dibuat dan apa-apa bayaran yang berhubungan dengan permohonan ketetapan kastam itu hendaklah dilucuthak oleh Ketua Pengarah K astam.

7. Membuat ketetapan kastam

Ketetapan kastam akan dikeluarkan dalam tempuh sembilan puluh hari setelah permohonan diterima. Dimana sesuatu perkara yang berkaitan permohonan ketetapan kastam memerlukan analisis yang akan dikendalikan oleh pihak ketiga, tambahan masa diperlukan dan ketetapan tersebut akan dikeluarkan dalam tempuh enam puluh hari dari tarikh terima lapuran analisis , dan yuran analisis telah dibayar. Ketetapan kastam akan dikeluarkan dalam borang yang telah ditetapkan.

8. Tempuh sah laku ketetapan kastam

Ketetapan kastam adalah mengikat (binding) dan sah laku selama tiga tahun dari tarikh ketetapan kastam dikeluarkan.

9. Pindaan, perubahan atau penolakan ketetapan kastam

Ketetapan kastam boleh diubah atau ditolak jika –

· Terdapat kesilapan dalam ketetapan kastam yang memerlukan pembetulan.

· Ketetapan kastam adalah diasaskan kepada kesilapan fakta atau perundangan

· Terdapat perubahan perundangan yang berkaitan; atau

· Terdapat perubahan kepada bahan fakta (material fact) atau keadaan dimana ketetapan itu diasaskan.

10. Pembaharuan ketetapan kastam.

Setiap permohonan bagi pembaharuan ketetapan kastam boleh dibuat dalam borang yang telah ditetapkan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tarikh ketetapan kastam berkenaan berakhir. Ketetapan kastam yang telah diperbaharui hendaklah sahlaku bagi tempuh dua tahun lagi bermula dari tarikh luput asalnya, dimana selepas tu pemohon dikehendaki membuat permohonan baru. Borang-borang berkaitan ketetapan kastam

1. Jadual A Borang permohonan untuk ketetapan kastam

2. Jadual B Ketetapan kastam

3. Jadual C Borang permohonan untuk memperbaharui ketetapan kastam

Sebarang pertanyaan boleh dibuat kepada

1. Puan Siti Fatimah binti Othman - 03-88822497

2. Puan Noorhayati binti Wahab - 03-88822869

3. Puan Hasniza binti Zulkefli - 03-88822878

4. Puan Haizatulza binti Zainal - 03-88822136

Pejabat Bahagian Perkhidmatan Teknikal Di Malaysia

Lokasi Pejabat No.Telefon

Selangor 03-31693888

W. P. Kuala Lumpur 03-78840991

Pulau Pinang 04-2636370

Johor 07-2225666

Perak 05-5274322

Pahang 09-5163515

Sabah 088-231411

Sarawak 082-333461

Negeri Sembilan 06-6793700

Melaka 06-2312355

Kedah 04-7721212

Perlis 09-9761420

Terengganu 09-6221077

Kelantan 09-7439252

W.P. Labuan 087-412087

P.C.K.P 02-62221444

​​