Content Editor

Apakah Yang Perlu Dilakukan

CBP menghendaki perniagaan-perniagaan yang telah melebihi nilai ambang yang ditetapkan untuk berdaftar dan menyimpan rekod cukai input dan output. Perniagaan ini melaporkan liabiliti mereka di dalam tempoh tertentu yang dipanggil tempoh bercukai.   

Rujuk bahagian-bahagian berikut untuk memahami tanggungjawab dan kewajipan sebagai orang berdaftar CBP.  

  • Pendaftaran perniagaan
  • Mengeluarkan invois cukai 
  • Perakaunan untuk CBP
  • Mengemukakan Penyata CBP 
  • Mekanisma kredit cukai input 
  • Tuntutan bayar balik CBP 
  • Pembayaran CBP 
  • Kesalahan-kesalahan
  • Kajian semula dan rayuan  

Daftar Perniagaan Anda

Langkah pertama ke arah kesediaan CBP adalah pendaftaran CBP. Adalah perlu untuk dipastikan samada wajib didaftarkan atau memilih untuk pendaftaran secara sukarela.   

Seseorang adalah dikehendaki untuk berdaftar di bawah CBP jika perolehan bercukai tahunannya melebihi RM 500,000. Seseorang itu termasuk individu, pemilik tunggal, perkongsian, syarikat, pemegang amanah, pertubuhan, kesatuan, kelab persatuan atau mana-mana organisasi termasuk jabatan kerajaan atau pihak berkuasa tempatan yang terlibat di dalam perniagaan yang membuat pembekalan bercukai di Malaysia. 

Perolehan bercukai tahunan boleh ditentukan berdasarkan salah satu daripada berikut:

  • Nilai pembekalan bercukai bagi bulan semasa dicampur dengan nilai pembekalan bercukai bagi sebelas (11) bulan sebelumnya.
  • Nilai pembekalan bercukai bagi bulan semasa dicampur dengan nilai pembekalan bercukai yang dijangka bagi sebelas (11) bulan seterusnya.

Adalah perlu untuk menentukan jenis pendaftaran yang terbaik untuk perniagaan anda: 

  • Pendaftaran secara sukarela 
  • Pendaftaran kumpulan
  • Pendaftaran cawangan/bahagian  

Pembatalan Pendaftaran

Permohonan bagi pembatalan pendaftaran perniagaan hendaklah dibuat dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh berlakunya perkara-perkara berikut:

  • Perniagaan telah ditamatkan
  • Tidak lagi memenuhi syarat-syarat yang perlu untuk didaftarkan

Pendaftaran Secara Sukarela

  • Seseorang yang membuat pembekalan bercukai dan perolehan bercukai tahunannya kurang RM 500,000 tidak perlu didaftarkan. Walau bagaimanapun dia boleh memohon untuk berdaftar secara sukarela. Pendaftaran secara sukarela di benarkan tetapi hendaklah kekal berdaftar sekurang-kurangnya bagi tempoh dua (2) tahun.
  • Setelah berdaftar, mereka perlu mengenakan dan memungut CBP ke atas pembekalan bercukai dan pada masa yang sama berhak untuk membuat tuntutan kredit cukai input dan layak untuk mendapat kemudahan-kemudahan yang disediakan di bawah undang-undang.  

Pendaftaran Kumpulan

Pendaftaran kumpulan adalah satu kemudahan yang membenarkan dua atau lebih syarikat untuk berdaftar sebagai satu kumpulan dan memusatkan pentadbiran mereka untuk tujuan perakaunan CBP. Setiap syarikat hendaklah didaftarkan secara individu sebelum mereka yang berkaitan mendaftar sebagai satu kumpulan dan setiap syarikat hendaklah membuat pembekalan bercukai sepenuhnya.  

Syarat-syarat untuk pendaftaran kumpulan 

  • Syarikat-syarikat adalah layak untuk pendaftaran kumpulan jika satu syarikat mengawal satu syarikat lain. Satu syarikat dianggap mengawal syarikat lain jika syarikat tersebut memegang secara langsung, atau tidak secara langsung melalui subsidiari atau bersama-sama secara langsung atau tidak langsung melalui subsidiari lebih dari 50% modal saham yang dikeluarkan oleh syarikat kedua. 
  • Seorang anggota hendaklah dicalonkan oleh kumpulan untuk menjadi anggota wakil kumpulan.
  • Apa-apa pembekalan bercukai yang dibuat oleh atau kepada anggota kumpulan hendaklah dianggap sebagai pembekalan oleh atau kepada anggota wakil kumpulan. 
  • Pembekalan di antara anggota kumpulan tidak dianggap sebagai pembekalan.
  • Setiap anggota kumpulan adalah perlu menyimpan rekod dengan sempurna kerana mereka bertanggungan secara bersesama dan berasingan.  

Pendaftaran Cawangan/Bahagian

Seseorang orang kena cukai yang menjalankan perniagaannya di dalam beberapa cawangan atau bahagian boleh memohon dan tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat yang ditetapkan, berdaftar di atas nama cawangan atau bahagian tersebut. Kemudahan ini disediakan untuk orang kena cukai yang mempunyai beberapa unit perakaunan kendiri untuk mendaftar setiap unit secara berasingan untuk CBP.

Setiap cawangan/bahagian akan diberikan nombor pendaftaran CBP secara berasingan dan mengemukakan penyatanya sendiri. Walau bagaimanapun orang kena cukai kekal bertanggungan ke atas semua tanggungan CBP untuk semua cawangan/bahagian.

Pengeluaran Invois CBP

Apabila ingin mengenakan CBP, adalah perlu untuk mengeluarkan invois cukai yang mengandungi amaun CBP dan harga pembekalan secara berasingan. Invois cukai mesti dikeluarkan dalam tempoh 21 hari dari masa pembekalan.  

Maklumat yang mesti ditunjukkan di dalam invois cukai:

  • Perkataan 'invois cukai' di tempat yang ketara  
  • Nombor siri invois cukai
  • Tarikh pengeluaran invois cukai 
  • Nama (atau nama perdagangan), alamat dan nombor pengenalan CBP pembekal 
  • Nama dan alamat orang yang menerima pembekalan barang atau perkhidmatan 
  • Diskripsi barang atau perkhidmatan yang dibekalkan 
  • Kuantiti atau jumlah barang atau perkhidmatan yang dibekalkan contohnya berapa liter petrol, berapa kilo daging atau berapa jam buruh; apa-apa diskaun yang ditawarkan
  • Jumlah amaun kena dibayar tidak termasuk cukai, kadar cukai dan jumlah cukai dikenakan ditunjukkan secara berasingan 
  • Jumlah amaun kena dibayar termasuk jumlah cukai dikenakan 

Ketua Pengarah Kastam boleh atas permohonan membenarkan invois cukai berbeza dari di atas samada dari segi maklumat di dalam invois cukai atau jenis invois cukai yang berbeza iaitu invois cukai mudah. 

Invois Cukai Dipermudah 

Invois cukai dipermudah tidak mengandungi semua butir-butir yang diperlukan dalam invois cukai standard dan tertakluk kepada kelulusan Ketua Pengarah. Invois cukai dipermudah yang tidak mempunyai nama dan alamat penerima, cukai input maksima yang dituntut tidak boleh melebihi RM30.00 (6% GST). Jika penerima mahu menuntut amaun penuh cukai input (lebih daripada RM30.00), maka dia mesti meminta nama dan alamat beliau dinyatakan dalam invois cukai dipermudah.

Ketua Pengarah boleh membenarkan invois cukai dipermudah dikeluarkan mengandungi maklumat seperti berikut:

  • Nama (atau nama perdagangan), alamat dan nombor pengenalan CBP pembekal  
  • Tarikh invois dikeluarkan 
  • Nombor siri invois 
  • Diskripsi barang atau perkhidmatan yang dibekalkan
  • Jumlah amaun kena dibayar termasuk jumlah cukai yang dikenakan
  • Untuk setiap kadar cukai yang dikenakan, amaun kena dibayar, termasuk cukai dan kadar cukai dikenakan.

Perakaunan CBP

Umumnya, setiap orang kena cukai hendaklah mengakaun CBP berdasarkan perakaunan pada asas terakru (invois) iaitu setiap cukai output dan cukai input perlu diakaun dan dituntut berdasarkan pada masa invois dikeluarkan atau diterima.

Walau bagaimanapun terdapat kategori orang kena cukai dibenarkan mengguna perakaunan pada asas bayaran (tunai). Kemudahan ini boleh diberi kepada perniagaan yang menjalankan aktiviti mereka hanya dengan asas bayaran tunai.

Setiap rekod perniagaan dan perakaunan yang berkaitan dengan transaksi CBP perlu disimpan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris dalam tempoh tujuh (7) tahun.

Senarai Syarikat Pembekal Perisian Perakaunan GST yang mendapat pengesahan JKDM adalah seperti berikut ...klik di sini

Pemfailan Penyata Cukai

Penyata CBP hendaklah dikemukakan ke pejabat CBP tidak lewat daripada hari terakhir bulan berikutnya selepas berakhirnya tempoh bercukai.

Tempoh bercukai adalah selang masa yang tetap yang mana orang kena cukai adalah bertanggungan untuk mengakaun dan membayar CBP kepada kerajaan. Tempoh bercukai standard adalah setiap suku tahun. Walau bagaimanapun orang berdaftar boleh memohon untuk diberikan tempoh bercukai yang lain (bulanan atau 6 bulan) berdasarkan syarat-syarat berikut:

Kategori Tempoh Syarat-syarat
Tempoh bercukai standard Tiga bulan
  • Perolehan bercukai tidak melebihi RM5 juta  million
Tempoh bercukai tidak standard Satu bulan
  • Perolehan bercukai melebihi RM5 juta 
  • Atas permintaan dan tertakluk kepada kelulusan
Enam bulan
  • Kes-kes khas


Mekanisma kredit cukai input 

Hanya perniagaan yang berdaftar CBP boleh mengenakan dan memungut CBP. Perniagaan ini dibenarkan untuk menuntut apa-apa amaun CBP yang telah dibayar untuk input perniagaan secara 'offset' terhadap cukai output. 

  • Lebihan cukai output hendaklah dibayar kepada kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan. 
  • Di dalam keadaan jumlah cukai input tidak boleh diperolehi secara keseluruhan, perniagaan tersebut boleh membuat tuntutan bayar balik dari kerajaan.

Nota:

  • Tempoh masa maksima cukai input itu boleh dituntut adalah enam tahun dari tarikh pembekalan.
  • Kredit cukai input tidak boleh dituntut ke atas input disekat seperti CBP dibayar ke atas motokar penumpang, yuran kelab, premium insuran perubatan dan kemalangan peribadi, perbelanjaan perubatan, faedah keluarga, perbelanjaan hiburan kepada seseorang selain daripada pekerja. 
  • Kaedah pengagihan perlu digunakan apabila orang kena cukai yang membuat pembekalan bercampur. 

Pembayaran CBP

Jika cukai output melebihi cukai input, perbezaan tersebut perlu dibayar kepada kerajaan bersama-sama penyata CBP tidak lewat daripada hari terakhir bulan berikutnya selepas berakhirnya tempoh bercukai. Pembayaran di atas talian adalah melalui:

  • Bank (akan dilantik)
  • Kemudahan internet 

Pembayaran secara manual

Pembayaran melalui cek/ deraf bank/ kiriman wang perlu dibuat atas nama Ketua Pengarah Kastam dan dihantar ke:

      Ketua Pengarah Kastam Malaysia 
      Jabatan Kastam Diraja Malaysia  
      Kompleks Kastam Kelana Jaya 
      No.22 Jalan SS6/3   
      Kelana Jaya 47301
      Petaling Jaya, Selangor

Tuntutan Bayaran Balik CBP

Tuntutan bayar balik cukai input boleh dibuat secara 'offset' dengan cukai CBP, duti import dan duti eksais yang belum dibayar. Bayaran balik akan dibuat kepada penuntut dalam tempoh 14 hari bekerja untuk tuntutan yang dikemukakan di atas talian atau 28 hari jika tuntutan dikemukakan secara manual.

Penalti

Penalti boleh dikenakan ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan seperti berikut:

  • Apa-apa kekurangan pada cukai bersih yang perlu dibayar 
  • Tidak mengemukakan penyata CBP
  • Penyata CBP dikemukakan denga tiada atau kurang bayaran
  • Apa-apa bayaran balik yang dituntut secara tidak benar
  • Kegagalan untuk berdaftar

Pertikaian Taksiran

Kajian semula dan rayuan  

Mana-mana individu yang terkilan dengan apa-apa keputusan yang dibuat oleh pegawai CBP boleh memohon untuk kajian semula dan semakan keputusan kepada Ketua Pengarah dalam tempoh 30 hari dari tarikh pemberitahuan keputusan itu. Dia juga boleh membuat rayuan terus kepada Tribunal dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan yang dipertikaikan.  

Kes rayuan boleh dibentangkan oleh pembayar cukai sendiri atau mana-mana individu yang beliau lantik. Prosiding perbicaraan akan dijalankan secara tertutup melainkan kedua-dua pihak bersetuju untuk perbicaraan secara terbuka.