1. KONSEP

Cukai Jualan adalah merupakan cukai seperingkat (single stage taxation) iaitu dikenakan sekali sahaja sama ada di peringkat bahan mentah (input) atau barang siap (output). Ianya dikenakan ke atas semua barangan bercukai yang dikilang di Persekutuan atau yang diimport untuk kegunaan dalam negeri.

2. BARANG-BARANG BERCUKAI JUALAN

  • Semua barang atau produk sama ada yang dikilang di Persekutuan atau yang diimport adalah bercukai jualan melainkan dikecualikan khusus oleh Menteri Kewangan di bawah Seksyen 8 Akta Cukai Jualan 1972 melalui Perintah Cukai Jualan (Pengecualian) 2008.
  • Penentuan kod tarif ke atas barangan sama ada bercukai jualan atau sebaliknya adalah berpandukan kepada Perintah Duti Kastam (Customs Duty Order) 2007.

3. JENIS-JENIS FASILITASI 

a. Pengecualian Cukai Jualan

  • Cukai jualan dikecualikan melalui Perintah Cukai Jualan (Pengecualian) 2008.Jadual A – Senarai barang-barang yang dikecualikan dari cukai jualan. Barang-barang yang tersenarai adalah berdasarkan nombor kod tarif dan diskripsi yang terdapat dalam Perintah Duti Kastam semasa. Kedua-dua perintah hendaklah digunakan bagi menentukan sama ada sesuatu barang itu dikecualikan atau tidak. Pendekatan yang digunakan adalah semua barang bercukai melainkan dikecualikan di bawah Jadual A. 
  • Jadual B – Senarai orang (Kementerian / jabatan kerajaan / pertubuhan / pengimport / pengilang dan lain-lain) yang dikecualikan cukai jualan ke atas pembelian atau pengimportan barang-barang tertentu sebagaimana yang dinyatakan. 
  • Jadual C – Senarai pengilang / pengusaha yang mengilang barang-barang terpilih yang dikecualikan cukai jualan semasa pembelian atau pengimportan bahan-bahan mentah / komponen dan bahan pembungkusan. 
b. Kemudahan

Pengilang berlesen boleh mendapatkan bahan mentah, komponen dan bahan pembungkusan bebas cukai jualan di bawah Akta Cukai Jualan 1972 melalui 3 cara iaitu sistem ring, sistem pulangbalik dan sistem kredit.  

i. Kemudahan Sistem Ring (Seksyen 9 Akta Cukai Jualan 1972)

  • Kemudahan ini boleh dipohon melalui borang-borang:
  • CJ No.5 – digunakan oleh pengilang berlesen.
  • CJ No.5A – digunakan oleh peniaga bagi pihak pengilang berlesen.
  • CJ No.5B – digunakan bagi proses pengilangan selanjutnya (sub-contract) diantara pengilang berlesen.

ii. Kemudahan Pulangbalik (Seksyen 31 Akta Cukai Jualan 1972)

Akta membenarkan seseorang peniaga (vendor) mendapatkan kemudahan pulangbalik cukai jualan ke atas bahan mentah / komponen yang dijual kepada pengilang berlesen. Dalam sistem ini peniaga tersebut telah membayar cukai jualan semasa pengimportan atau pembelian bahan mentah / komponen dan menjualkannya tidak termasuk cukai jualan kepada pengilang berlesen yang mempunyai kemudahan CJ No.5. Permohanan boleh dibuat melalui borang JKED No.2.  

iii. Sistem Kredit (Seksyen 31A Akta Cukai Jualan 1972)

Akta membenarkan seseorang pengilang berlesen menggunakan sistem kredit kerana tidak mempunyai pilihan lain melainkan memperolehi atau mengimport bahan mentah / komponen termasuk cukai jualan. Kemudahan ini diberi kepada pengilang berlesen yang tidak dapat menggunakan kemudahan sistem ring atau sistem pulangbalik dan untuk mengelak cukai jualan dibayar dua kali. Pengilang berlesen dibenarkan menolak cukai semasa mengemukakan penyata membayar cukai.

​​