Pengecualian Perbendaharaan adalah satu kemudahan pengecualian duti/cukai ke atas barang-barang yang diberikan oleh Kementerian Kewangan Malaysia menurut Seksyen 14(2) Akta Kastam 1967, Seksyen 10 Akta Cukai Jualan 1972 dan Seksyen 11(2) Akta Eksais 1976 kepada syarikat/individu bagi membantu pertumbuhan industri di Malaysia dalam menghadapi era perindustrian yang lebih global. Objektif kemudahan ini ialah untuk mengurangkan kos pembelian bagi bahan mentah, komponen, mesin, peralatan, aksesori yang tidak dapat diperoleh dari sumber-sumber tempatan, menggalakkan pertumbuhan industri tempatan yang berorientasikan eksport dan mengurangkan kos pengeluaran barang-barang supaya dapat bersaing di pasaran antarabangsa.

Kemudahan pengecualian ini adalah diberi bersama syarat dan peraturan yang ditetapkan. Jabatan Kastam Diraja Malaysia adalah dipertanggungjawabkan untuk mengawal syarikat/individu yang menikmati kemudahan ini. Prosedur pengimportan adalah sebagaimana ditetapkan. 

Permohonan boleh dikemukakan kepada pihak MIDA (Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia). Permohonan akan dikemukakan seterusnya kepada Kementerian Kewangan Malaysia untuk pertimbangan. Pemohon akan diberi proses dalam tempoh 28 hari dari tarikh permohonan diterima oleh MIDA.

LEMBAGA KEMAJUAN PERINDUSTRIAN MALAYSIA (MIDA)

MIDA Headquarters
Malaysian Investment Development Authority (MIDA)
Block 4, Plaza Sentral
Jalan Stesen Sentral 5
Kuala Lumpur Sentral
50470 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel: 603-2267 3633
Fax: 603-2274 7970
Email: investmalaysia@mida.gov.my

BARANG-BARANG

  1. Mesin, peralatan dan aksesori yang tidak dapat diperoleh di pasaran tempatan dan digunakan secara langsung dalam proses pengilangan sama ada baru atau terpakai. Bagi mesin/alat-alat yang diperoleh daripada pengilang tempatan, pengecualian cukai jualan layak dituntut.
  2. Bahan mentah, komponen dan bahan pembungkusan yang digunakan secara langsung dalam proses pengilangan untuk menghasilkan barang siap dan tidak dapat diperoleh dalam negara.
  3. Barang-barang yang diluluskan oleh Menteri Kewangan

Pengecualian duti kastam di bawah Seksyen 14(2) Akta Kastam 1967

Seksyen 14 Kuasa Menteri Untuk Mengecualikan

(2)    Menteri dalam apa-apa hal tertentu-

(a) mengecualikan mana-mana orang daripada membayar keseluruhan atau mana-mana bahagian duti kastam atau apa-apa fee atau caj lain yang ditetapkan yangkena dibayar oleh orang itu ke atas apa-apa barang ; atau

(b) mengarahkan dibayar balik kepada mana-mana orang keseluruhan atau mana-mana bahagian duti kastam atau apa-apa fee atau caj lain yang ditetapkan yang telah dibayar oleh orang itu ke atas apa-apa barang-barang,

Dan dalam memberi pengecualian sedemikian atau mengarahkan pembayaran balik sede,ikian, mengenakan apa-apa syarat sebagaimana yang difikirkan patut.

Pengecualian duti eksais di bawah Seksyen 11(2), Akta Eksais 1976

Seksyen 11 - Kuasa

(1)   Menteri boleh dengan perintah mengecualikan, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu sebagaimana ia fikir sesuai dikenakan, sebarang kelas barang atau orang daripada pembayaran ke semua atau sebahagian daripada duti-duti eksais yang kena bayar.

Pengecualian cukai jualan di bawah Seksyen 10, Akta Cukai Jualan 1972

Seksyen 10 - Kuasa Menteri Untuk Mengecualikan Dan Memulangkan Balik

(1)   Menteri boleh dalam suatu hal tertentu tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkan patut dikenakan -

(a)  Mengecualikan mana-mana orang atau golongan orang daripada membayar kesemua atau apa-apa bahagian daripada cukai jualan yang, jika tidak, tetap kena dibayar oleh orang itu atau golongan orang itu.

(b)  mengecualikan mana-mana orang atau golongan orang daripada membayar kesemua atau mana-mana bahagian daripada cukai jualan yang, jika tidak, akan kena dibayar oleh orang itu atau golongan orang itu; atau

(c)  mengarahkan supaya dipulangkan balik kepada manamana orang atau golongan orang kesemua atau manamana bahagian daripada penalti yang telah dibayar oleh orang itu atau golongan orang itu.

SYARIKAT / INDIVIDU

  1. Syarikat yang menjalankan aktiviti pengilangan
  2. Syarikat yang menjalankan aktiviti pertanian
  3. Sesiapa yang diluluskan oleh Menteri Kewangan

SYARAT-SYARAT KEMUDAHAN

  1. Semua pertukaran alamat atau tambahan stor/kilang hanya boleh dibuat setelah kebenaran bertulis diperolehi daripada Jabatan Kastam.
  2. Syarikat dibenar mengeksport keluaran syarikat melalui pihak ketiga (peniaga) selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Kastam.
  3. Syarikat hendaklah mendapat kelulusan bertulis dari Jabatan Kastam bagi pemindahan, penjualan, pemusnahan dan eksport hampas/lebihan pengilangan, bahan mentah/komponen atau keluaran siap. Bagi jualan di pasaran tempatan, duti/cukai yang terlibat perlu dibayar terlebih dahulu dan bagi kuantiti yang dimusnahkan, duti/cukai yang terlibat akan diremitkan.
  4. Bahan mentah/komponen yang berkenaan tidak boleh dikeluarkan daripada stor dan premis kilang yang diluluskan untuk tujuan sub-kontrak kecuali dengan kelulusan bertulis dari Jabatan Kastam.

PERATURAN-PERATURAN

  • Pihak syarikat hendaklah menyediakan rekod-rekod berikut:-
  1.  
    1. Pengimportan/belian tempatan.
    2. Penggunaan bahan mentah/komponen dan hampas pengilangan.
    3. Inventori mesin/alat yang diimport atau dibeli tempatan dengan pengecualian Perbendaharaan, di Lampiran C.
    4. Barang siap yang dikilang dan dipasarkan.

Nota:   Rekod-rekod ini hendaklah sentiasa dikemaskini dan disimpan di premis syarikat. Pegawai Kanan Kastam akan memeriksanya dari masa ke semasa.

  • Menyedia dan mengemukakan pada Cawangan Perindustrian Jabatan Kastam, Penyata 3 bulan (suku tahun) pergerakan bahan mentah dan barang siap mengikut format seperti di Lampiran K selewat-lewatnya pada 30 haribulan, bulan berikutnya. Setiap penyata yang dikemukakan hendaklah ditandatangani oleh pegawai yang bertauliah atau akauntan syarikat.

 

  • Bahan mentah/komponen dan mesin/alat tidak boleh dipindah daripada premis kilang/stor yang telah ditetapkan di dalam surat pengecualian. Kelulusan bertulis untuk memindahkan bahan mentah/ komponen dan mesin/ alat untuk tujuan berikut hendaklah diperolehi daripada Pengarah Kastam Negeri (Cawangan Perindustrian) terlebih dahulu.
    1. Memberi kerja sub-kontrak (dalam Malaysia sahaja) menggunakan format khas.
    2. Menjual atau memusnah hampas pengilangan.
    3. Memusnahkan bahan mentah/ komponen dan barang siap rosak (duti/cukai terlibat boleh dipohon remisi).
    4.  Memindahkan mesin/alat untuk tujuan dibaiki atau dihantar kepada sub-kontraktor (dalam Malaysia sahaja).
    5. Pengeksportan barang keluaran siap syarikat melalui pihak ketiga (Lampiran J).
    6. Mengeksport semula bahan mentah/komponen dan hampas pengilangan.

 

  • Pihak syarikat hendaklah memaklumkan Jabatan Kastam tentang perkara-perkara berikut:-
    1. Sebarang perpindahan penambahan alamat atau pertukaran premis kilang/stor.
    2. Apa-apa kemalangan/kecurian/kebakaran yang melibatkan rekod-rekod atau barang yang dikecualikan cukai.
    3. Pertukaran nama syarikat. (Hendaklah dimaklumkan kepada Jabatan Kastam dengan mengemukakan Borang 13 daripada Jabatan Pendaftar Syarikat).
    4. Sebarang pertukaran ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat.
    5. Perlantikan Pelikwidasi (Receivership) atau pengambil-alihan syarikat.
    6. Satu ketetapan menggulung syarikat.
    7. Terlibat dalam apa-apa kes tuntutan sivil, muflis, pemberhentian, penutupan perusahaan dan sebagainya.

 

  • Permohonan bertulis hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Kastam dan disalinkan kepada stesen kastam yang mengawal bagi perkara-perkara berikut:-
    1. Berlaku sebarang perpindahan/pertukaran premis kilang/stor untuk mesin/alat.
    2. Permohonan melupuskan kawalan kastam ke atas mesin/alat yang dikecualikan yang telah diimport melebihi 5 tahun.
    3. Permohonan melupuskan (menjual,tukar milik atau eksport semula) mesin/alat yang dikecualikan cukai.

​​​ 

  • Permohonan menukar stesen import hendaklah dikemukakan kepada Unit Pengecualian Am, Bahagian Import, Jabatan Kastam stesen yang diluluskan pengimportan.
​​