​​​(Maklumat dikemaskini sehingga 29 Mei 2019)


Zon bebas diwujudkan bertujuan untuk memberi kemudahan kepada aktiviti pengilangan yang berorientasi eksport dan untuk menggalakkan aktiviti perdagangan termasuklah berniaga, memecah pukal, menggred, pembungkusan semula dan melabel. Dalam masa yang sama ia bertujuan untuk menarik pelabur, pelancong asing dan pelancong tempatan. Barang-barang dan perkhidmatan yang dibawa masuk, dihasilkan, dikilangkan atau dibekalkan dalam suatu zon bebas dikecualikan daripada bayaran duti kastam, duti eksais, cukai jualan atau cukai perkhidmatan.

Zon bebas adalah disifatkan sebagai suatu tempat di luar Malaysia.

Mengikut seksyen 2(1A) Akta Kastam 1967:

"Bagi maksud-maksud Akta ini (selain daripada seksyen 31), zon bebas hendaklah disifatkan sebagai suatu tempat di luar Malaysia."

dan terdapat dua kategori zon bebas sebagaimana yang dinyatakan di dalam seksyen 2 Akta Zon Bebas 1990:

"Zon Bebas ertinya mana-mana bahagian Malaysia yang diisytiharkan di bawah peruntukan subseksyen (1) seksyen 3 menjadi suatu zon perdagangan bebas atau zon perindustrian bebas."

Mengikut seksyen 3(1) Akta Zon Bebas 1990:

"Menteri boleh, melalui pemberitahuan dalam warta, mengisytiharkan mana-mana kawasan dalam Malaysia sebagai suatu zon perdagangan bebas atau zon perindustrian bebas dan setiap pemberitahuan itu hendaklah mentakrifkan had zon itu."

Walaubagaimanapun, barang-barang dan perkhidmatan yang tersenarai di bawah Perintah Zon Bebas (Pengecualian Barang dan Perkhidmatan) 1998 adalah tidak dikecualikan daripada duti / cukai apabila memasuki zon bebas.

​​​
PERINTAH ZON BEBAS
(PENGECUALIAN BARANG DAN PERKHIDMATAN) 1998​

​1. Forklift
1A. Kren
2. Bahan dan Peralatan Binaan/Bangunan
3. Peralatan Pejabat/Perabot
4. Alat Pencegah Kebakaran/Pengawal Pencemaran​​
5. Kenderaan dan Alat Ganti
6. Petroleum dan Hasil Keluaran Petroleum
7. Tayar
8. Bahan Letupan dan Bahan Kimia
9. Peralatan Pendingin Udara
10. Bahan Sokongan Pengilangan
11. Semua barang dan perkhidmatan yang tidak digunakan secara langsung dalam aktiviti yang diluluskan di bawah Jadual Pertama dan Kedua, Akta Zon Bebas, 1990 
12. Liquor yang memabukkan, produk tembakau dan rokok terpakai hanya bagi Kawasan Bebas Cukai Tasik Kenyir.


Permit hendaklah dikemukakan bagi barang-barang yang tertakluk di bawah Perintah Duti Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan Perintah Duti Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017.

Sesebuah kawasan tidak boleh beroperasi sebagai sebuah zon bebas sehingga kawasan tersebut diisytiharkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan di bawah seksyen 3(1) Akta Zon Bebas 1990.