‚Äč

1. Syarikat GPB hendaklah melaporkan sebarang kes kebakaran, bencana alam, kecurian dan kehilangan yang melibatkan bahan mentah / komponen, bahan pembungkusan, barang siap dan mesin-mesin yang diperolehi dengan pengecualian duti / cukai kepada Pengarah Operasi Zon / Pengarah Kastam Negeri selewat-lewatnya dalam tempoh 14 hari dari tarikh kejadian.

2. Laporan tersebut hendaklah disertakan dengan dokumen-dokumen berikut:

2.1 maklumat barang, kod tarif, nilai, kuantiti serta duti dan cukai yang terlibat,
2.2 laporan siasatan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat,
2.3 laporan Polis,
2.4 maklumat insurans dan tuntutan,
2.5 gambar-gambar kejadian.

3. Syarikat GPB boleh mengemukakan permohonan untuk meremit duti / cukai ke atas barang yang musnah akibat kebakaran dan bencana alam selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 65AB(2) Akta Kastam 1967 dan seksyen 41(1) Akta Cukai Jualan 2018. Permohonan hendaklah dikemukakan kepada stesen kastam yang mengawal syarikat.

4. Permohonan remisi ke atas duti / cukai bagi barang yang terlibat dengan kebakaran dan bencana alam yang berlaku selepas dilepaskan daripada kawalan kastam hendaklah dikemukakan terus kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan Y.B. Menteri selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 14A Akta Kastam 1967 dan seksyen 41(1) Akta Cukai Jualan 2018.

5. Bahan mentah / komponen, barang siap atau mesin yang rosak akibat kebakaran dan bencana alam boleh dimusnahkan dengan kelulusan Pengarah Operasi Zon / Pengarah Kastam Negeri dan diselia oleh pegawai kanan kastam, setelah selesai siasatan oleh pihak yang berkaitan seperti Jabatan Bomba, Polis, Syarikat Insuran dan lain-lain.

6. Jabatan Kastam Diraja Malaysia boleh menuntut duti / cukai terlibat bagi kes kecurian dan kehilangan di dalam GPB berdasarkan peruntukan di bawah seksyen 65AB(1) Akta Kastam 1967 dan seksyen 27(9) Akta Cukai Jualan 2018.