CUKAI PERKHIDMATAN 6%

Berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011

  • Kadar cukai perkhidmatan dinaikkan dari 5% kepada 6%; dan
  • Cukai perkhidmatan akan dikenakan atas perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar

Yang Berhormat Menteri Kewangan melalui Ucapan Bajet 2011 telah mengumumkan bahawa kadar cukai perkhidmatan atas semua perkhidmatan bercukai akan dinaikkan daripada 5% kepada 6% berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011 kecuali kad kredit dan kad caj. Pengenaan cukai baru ini hendaklah dikenakan kepada pelanggan hanya  mulai 1 Januari, 2011.

Selain itu Yang Berhormat Menteri Kewangan juga telah mengumumkan bahawa cukai perkhidmatan akan dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar yang juga akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011.  Dengan ini Cukai perkhidmatan pada kadar 6% hanya akan dikenakan ke atas yuran langganan bulanan perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar berkenaan mulai 1 Januari, 2011. (Rujuk Lampiran 15 dan 16 Ucapan Bajet 2011)

Perundangan (Peraturan dan Perintah) berkaitan sedang dalam proses pewartaan.  Garis panduan pelaksanaannya akan dikeluarkan oleh Bahagian Cukai Dalam Negeri, Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia.

KAJIAN SEMULA KADAR CUKAI PERKHIDMATAN

Kedudukan Semasa

Cukai perkhidmatan dikenakan oleh penyedia perkhidmatan pada kadar 5% bagi semua perkhidmatan bercukai. Kadar ini tidak terpakai kepada perkhidmatan kad kredit di mana cukai perkhidmatan dikenakan pada kadar spesifik RM50 setahun bagi kad utama dan RM25 setahun bagi kad tambahan.

Cadangan

Bagi mengkaji semula kadar cukai perkhidmatan sedia ada dan menjana hasil cukai tambahan untuk pembangunan negara, adalah dicadangkan kadar cukai perkhidmatan bagi semua perkhidmatan bercukai dinaikkan daripada 5% kepada 6%.

Tarikh Kuat Kuasa

Mulai 1 Januari 2011.

CUKAI PERKHIDMATAN KE ATAS PERKHIDMATAN PENYIARAN TELEVISYEN BERBAYA

Kedudukan Semasa

Cukai perkhidmatan telah dikenakan ke atas semua perkhidmatan telekomunikasi seperti telefon, faksimili, leased line dan bandwidth mulai 1 Januari 2001. Perkhidmatan telekomunikasi mengguna pakai aplikasi satelit seperti perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar adalah tidak tertakluk kepada cukai perkhidmatan.

Cadangan

Bagi meluaskan asas cukai, adalah dicadangkan cukai perkhidmatan pada kadar 6% dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar. Cukai perkhidmatan ini adalah dikenakan ke atas yuran langganan bulanan perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar tersebut.

Tarikh Kuat Kuasa

Mulai 1 Januari 2011.

​​​
​​