Content Editor

Bagaimana CBP Dilaksanakan

Perniagaan yang membuat pembekalan bercukai perlu berdaftar di bawah CBP jika nilai pusing tahunan mereka telah melebihi nilai ambang yang ditetapkan. Hanya orang berdaftar boleh mengena dan memungut CBP ke atas pembekalan barang dan perkhidmatan bercukai yang dibuat olehnya. CBP dikenakan ke atas nilai atau harga jualan produk. Jumlah CBP yang ditanggung ke atas input (cukai input) boleh ditolak daripada jumlah CBP yang dikenakan (cukai output) oleh orang berdaftar.

Jika jumlah cukai output adalah lebih daripada cukai input dalam tempoh bercukai yang berkaitan, perbezaan itu hendaklah diremitkan kepada Kerajaan. Bagaimanapun, jika cukai input adalah lebih daripada cukai output, perbezaan akan dipulangkan oleh Kerajaan.

Apa yang anda perlu buat

CBP menghendaki perniagaan-perniagaan yang telah melebihi nilai ambang yang ditetapkan untuk berdaftar dan menyimpan rekod cukai input dan output. Perniagaan ini melaporkan tanggungan mereka di dalam tempoh tertentu yang dipanggil tempoh bercukai.

Kaji bahagian-bahagian berikut untuk memahami tanggungjawab dan kewajipan sebagai orang berdaftar CBP.

  • Pendaftaran perniagaan
  • Mengeluarkan invois cukai
  • Perakaunan untuk CBP
  • Mengemukakan penyata CBP
  • Mekanisma kredit cukai input
  • Tuntutan bayar balik CBP
  • Pembayaran CBP
  • Kesalahan-kesalahan
  • Semakan semula dan rayuan

    1. Mendaftar perniagaan


    Langkah pertama untuk bersiap sedia untuk CBP adalah mendaftar untuk nombor pendaftaran CBP. Anda perlu pastikan samada anda dikehendaki untuk berdaftar atau memilih untuk berdaftar secara sukarela.

    Seseorang yang perniagaannya mempunyai nilai pusingan tahunan melebihi RM500,000 bertanggungan untuk berdaftar CBP. Seseorang itu termasuk individu, pemilik tunggal, pengkongsian, syarikat, pemegang amanah, pertubuhan, estet, kesatuan, kelab persatuan atau mana-mana pertubuhan termasuk jabatan kerajaan atau pihak berkuasa tempatan yang terlibat di dalam perniagaan yang membuat pembekalan bercukai di Malaysia.

    Nilai pusingan bercukai tahunan boleh ditentukan berdasarkan salah satu daripada berikut:

    • Jumlah pembekalan bercukai bulan semasa dan sebelas (11) bulan sebelumnya, atau
    • Jumlah pembekalan bercukai bulan semasa dan jangkaan sebelas (11) bulan seterusnya.

    Adalah perlu untuk menentukan jenis pendaftaran yang terbaik untuk perniagaan anda:
    • Pendaftaran secara sukarela
    • Pendaftaran kumpulan
    • Pendaftaran cawangan/bahagian

    Pembatalan Pendaftaran

    Permohonan bagi pembatalan pendaftaran perniagaan hendaklah dibuat dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh berlakunya keadaan-keadaan berikut:
    • Perniagaan telah ditamatkan
    • Tidak lagi memenuhi syarat-syarat pendaftaran

    Pendaftaran Secara Sukarela

    • Seseorang yang membuat pembekalan bercukai dan nilai pusingan bercukai tahunannya RM 500,000 dan ke bawah tidak dikehendaki berdaftar. Bagaimanapun anda boleh memohon untuk berdaftar secara sukarela. Pendaftaran secara sukarela di benarkan tetapi hendaklah kekal berdaftar sekurang-kurangnya bagi tempoh dua (2) tahun.
    • Setelah berdaftar, mereka perlu mengena dan memungut CBP ke atas pembekalan bercukai dan pada masa yang sama berhak untuk mendapat tuntutan kredit cukai input dan layak untuk mendapat kemudahan-kemudahan yang disediakan di bawah perundangan CBP.

    Pendaftaran Kumpulan

    Pendaftaran kumpulan adalah satu kemudahan yang membenarkan beberapa syarikat untuk berdaftar sebagai satu kumpulan dan memusatkan pentadbiran mereka untuk tujuan pengakaunan CBP. Setiap syarikat hendaklah didaftarkan secara berasingan sebelum mereka boleh berdaftar dan setiap syarikat hendaklah membuat pembekalan bercukai sepenuhnya.

    Syarat-syarat untuk pendaftaran kumpulan

    • Syarikat-syarikat adalah layak untuk pendaftaran kumpulan jika satu syarikat mengawal satu syarikat lain. Satu syarikat dianggap mengawal syarikat lain jika syarikat yang pertama itu memegang secara langsung, atau tidak secara langsung melalui subsidiari atau bersama-sama secara langsung atau tidak langsung melalui subsidiari, lebih dari 50% modal saham yang dikeluarkan oleh syarikat kedua.
    • Seorang anggota hendaklah dicalonkan oleh kumpulan untuk menjadi anggota wakil kumpulan.
    • Pembekalan bercukai yang dibuat oleh atau kepada anggota kumpulan hendaklah dikira sebagai pembekalan oleh atau kepada anggota wakil kumpulan.
    • Pembekalan di antara anggota kumpulan tidak diambilkira sebagai pembekalan.
    • Setiap anggota kumpulan adalah perlu menyimpan rekod dengan sempurna kerana mereka bertanggungan secara bersesama dan berasingan.

    Pendaftaran Cawangan/Bahagian

    Orang kena cukai yang menjalankan perniagaannya di dalam beberapa cawangan atau bahagian atas permohonan dan tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat yang ditetapkan, boleh berdaftar di atas nama cawangan atau bahagian tersebut. Kemudahan ini disediakan untuk orang kena cukai yang mempunyai beberapa unit pengakaunan kendiri untuk mendaftar setiap unit secara berasingan untuk CBP.

    Setiap cawangan/bahagian akan diberikan nombor pendaftaran CBP secara berasingan dan mengemukakan penyatanya sendiri. Bagaimanapun orang kena cukai kekal bertanggungan ke atas semua tanggungan CBP untuk semua cawangan/bahagian.

    2. Mengeluarkan invois cukai


    Apabila anda mengenakan CBP, adalah perlu untuk mengeluarkan invois cukai yang mengandungi amaun CBP dan harga pembekalan secara berasingan. Invois cukai mesti dikeluarkan dalam tempoh dua puluh satu (21) hari setelah masa pembekalan.

    Maklumat yang mesti ditunjukkan di dalam invois cukai:

    • Perkataan ‘invois cukai’ di tempat yang ketara;
    • Nombor siri invois cukai;
    • Tarikh pengeluaran invois cukai;
    • Nama (atau nama perdagangan), alamat dan nombor pengenalan CBP pembekal;
    • Nama dan alamat orang yang menerima pembekalan barang atau perkhidmatan;
    • Diskripsi barang atau perkhidmatan yang dibekalkan;
    • Kuantiti atau jumlah barang atau perkhidmatan yang dibekalkan contohnya berapa liter petrol, berapa kilo daging atau berapa jam buruh;
    • Apa-apa diskaun yang ditawarkan;
    • Jumlah amaun kena dibayar tidak termasuk cukai, kadar cukai dan jumlah cukai dikenakan ditunjukkan secara berasingan;
    • Jumlah amaun kena dibayar termasuk jumlah cukai dikenakan.

    Ketua Pengarah Kastam boleh, atas permohonan, membenarkan invois cukai berbeza dari di atas sama ada dari segi maklumat di dalam invois cukai atau jenis invois cukai yang berbeza iaitu invois cukai dipermudah.

    Invois Cukai Dipermudah

    Invois cukai dipermudah tidak mengandungi semua butiran seperti dalam invois cukai standard dan tertakluk kepada kelulusan Ketua Pengarah Kastam. Invois cukai dipermudah boleh digunakan oleh orang berdaftar untuk menuntut ITC dengan syarat nilai invois (termasuk CBP) tidak melebihi RM500.00.

    Ketua Pengarah Kastam boleh membenarkan invois cukai dipermudah dikeluarkan mengandungi maklumat seperti berikut:

    • Nama (atau nama perdagangan), alamat dan nombor pengenalan CBP pembekal;
    • Tarikh invois dikeluarkan;
    • Nombor siri invois;
    • Diskripsi barang atau perkhidmatan yang dibekalkan;
    • Jumlah amaun kena dibayar termasuk jumlah cukai yang dikenakan; dan
    • Untuk setiap kadar cukai yang dikenakan, amaun kena dibayar, termasuk cukai dan kadar cukai dikenakan.

    3. Pengakaunan untuk CBP


    Umumnya, setiap orang kena cukai hendaklah mengakaun CBP berdasarkan pengakaunan pada asas terakru (invois) iaitu setiap cukai output dan cukai input perlu diakaun dan dituntut berdasarkan pada masa invois dikeluarkan atau diterima.

    Bagaimanapun terdapat kategori orang kena cukai dibenarkan mengguna pengakaunan pada asas bayaran (tunai). Kemudahan ini boleh diberi kepada perniagaan yang menjalankan aktiviti mereka hanya dengan asas bayaran tunai.

    Setiap rekod perniagaan dan pengakaunan yang berkaitan dengan transaksi CBP perlu disimpan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris dalam tempoh tujuh (7) tahun.


    4. Mengemukakan Penyata CBP


    Penyata CBP hendaklah dikemukakan ke pejabat CBP tidak lewat daripada hari terakhir bulan berikutnya selepas berakhirnya tempoh bercukai.

    Tempoh bercukai adalah jurang masa yang tetap yang mana orang kena cukai adalah bertanggungan untuk mengakaun dan membayar CBP kepada Kerajaan. Tempoh bercukai standard adalah berasaskan suku tahun. Bagaimanapun orang berdaftar boleh memohon untuk diberikan tempoh bercukai yang lain (bulanan atau setiap enam (6) bulan) tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

    Kategori Tempoh Syarat-syarat
    Tempoh bercukai standard Tiga bulan
    • Perolehan bercukai tidak melebihi RM5 juta
    Tempoh bercukai tidak standard Satu bulan
    • Perolehan bercukai melebihi RM5 juta
    • Atas permintaan dan tertakluk kepada kelulusan
    Enam bulan
    • Kes-kes khas


    5. Mekanisma kredit cukai input


    Perniagaan perlu mengena dan memungut CBP atas setiap pembekalan barang dan perkhidmatan kepada pengguna. Hanya perniagaan yang berdaftar CBP boleh mengena dan memungut CBP. Perniagaan ini dibenarkan untuk menuntut apa-apa amaun CBP yang telah dibayar untuk input perniagaan secara offset terhadap cukai output.
    • Lebihan cukai output hendaklah dibayar kepada kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.
    • Di dalam keadaan jumlah cukai input tidak boleh diperolehi secara keseluruhan, perniagaan tersebut boleh membuat tuntutan bayar balik dari kerajaan.


    Nota:
    • Tempoh masa maksima cukai input itu boleh dituntut adalah enam tahun dari tarikh pembekalan.
    • Kredit cukai input tidak boleh dituntut ke atas input disekat seperti CBP dibayar ke atas motokar penumpang, yuran kelab, premium insuran perubatan dan kemalangan peribadi, perbelanjaan perubatan, faedah keluarga, perbelanjaan hiburan kepada seseorang selain daripada pekerja.
    • Kaedah pengagihan perlu digunakan apabila orang kena cukai yang membuat pembekalan bercampur.

    6. Tuntutan bayar balik CBP


    Tuntutan bayar balik cukai input boleh dibuat secara offset dengan CBP, duti kastam dan eksais yang belum dibayar. Bayaran balik akan dibuat kepada penuntut dalam tempoh empat belas (14) hari bekerja untuk tuntutan yang dikemukakan secara eletronik atau dua puluh lapan (28) hari jika tuntutan dikemukakan secara manual.

    7. Pembayaran CBP


    Jika cukai output melebihi cukai input, perbezaan tersebut perlu dibayar kepada Kerajaan bersama-sama penyata CBP tidak lewat daripada hari terakhir bulan berikutnya selepas berakhirnya tempoh bercukai. Pembayaran di atas talian adalah melalui:
    • Bank (akan dilantik).
    • Kemudahan internet.

    Pembayaran secara manual

    • Pembayaran melalui cek/ deraf bank/ kiriman wang perlu dibuat atas nama Ketua Pengarah Kastam dan dihantar ke::
        Ketua Pengarah Kastam Malaysia
        Jabatan Kastam Diraja Malaysia
        Kompleks Kastam Kelana Jaya
        No.22 Jalan SS6/3
        Kelana Jaya 47301
        Petaling Jaya, Selangor
      Atau
    • Bayar di mana-mana kaunter pejabat CBP dari 8.00am – 5.00pm atau dengan menggunakan perkhidmatan bank yang dilantik.

    8. Kesalahan


    Penalti boleh dikenakan ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan seperti berikut:
    • Apa-apa kekurangan pada cukai bersih yang perlu dibayar .
    • Tidak mengemukakan penyata CBP.
    • Penyata CBP dikemukakan dengan tiada atau kurang bayaran;
    • Apa-apa bayaran balik yang dituntut secara tidak benar
    • Kegagalan untuk berdaftar.

    9. Semakan semula dan rayuan


    Mana-mana individu yang terkilan dengan keputusan pegawai CBP boleh memohon untuk semakan semula kepada Ketua Pengarah Kastam dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh pemberitahuan keputusan. Selain dari itu dia juga boleh membuat rayuan terus kepada Tribunal Rayuan CBP dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh keputusan yang dipertikaikan.

    Orang kena cukai boleh membentangkan kes rayuannya sendiri atau melantik mana-mana pihak membentangkan kes rayuan bagi pihaknya. Prosiding perbicaraan akan dijalankan secara tertutup melainkan kedua-dua pihak bersetuju untuk perbicaraan secara terbuka.

Pembekalan Berkadar Standard

Pembekalan berkadar standard adalah barang dan perkhidmatan yang dikenakan CBP pada kadar standard. CBP dipungut oleh perniagaan dan dibayar kepada Kerajaan. Mereka boleh menuntut kembali kredit pada input mereka. Jika cukai input mereka adalah lebih besar daripada cukai output, mereka boleh menuntut kembali perbezaan tersebut.

Bagaimana CBP dikenakan di setiap peringkat rantaian pembekalan berkadar standard:




Bagaimana CBP dikenakan dan dipungut di peringkat pemborong untuk pembekalan berkadar standard:




Pengiraan CBP di semua tingkat rantaian untuk pembekalan berkadar standard:


Tingkat Pembekalan Harga Jualan (termasuk CBP 6%) Bayaran pada Kerajaan
Pembekal bahan mentah Harga Jualan = RM50.00
CBP = RM3.00
Jumlah Harga Jualan = RM53.00
CBP dipungut = RM3.00
Tolak: CBP dibayar =RM0.00
CBP dibayar = RM3.00
Pengilang Harga Jualan = RM100.00
CBP = RM6.00
Jumlah Harga Jualan = RM106.00
CBP dipungut = RM6.00
Tolak: CBP dibayar =RM3.00
CBP dibayar = RM3.00
Pemborong Harga Jualan = RM125.00
CBP = RM7.50
Jumlah Harga Jualan = RM132.50
CBP dipungut = RM7.50
Tolak: CBP dibayar =RM6.00
CBP dibayar = RM1.50
Peruncit Harga Jualan = RM156.00
CBP = RM9.36
Jumlah Harga Jualan = RM165.36
CBP dipungut = RM9.36
Tolak: CBP dibayar =RM7.50
CBP dibayar = RM1.86

Pembekalan Berkadar Sifar

Ini adalah bekalan yang dikenakan cukai yang tertakluk kepada kadar sifar. Perniagaan adalah layak untuk menuntut kredit cukai input dalam memperolehi bekalan ini, dan mengenakan CBP pada sifar kadar kepada pengguna

Bagaimana CBP berfungsi pada bekalan berkadar sifar:




Bagaimana CBP berfungsi di peringkat pemborong pada pembekalan berkadar sifar:




Pengiraan CBP di semua peringkat rantaian untuk pembekalan berkadar sifar:

Tingkat Pembekalan  Harga Jualan (termasuk CBP 4%) Bayaran pada Kerajaan
Pemborong Harga Jualan = RM100.00
CBP = RM0.00
Jumlah Harga Jualan = RM100.00
CBP dipungut = RM0.00
Tolak: CBP dibayar =RM0.00
CBP dibayar = RM0.00
Peruncit Harga Jualan = RM125.00
CBP = RM0.00
Jumlah Harga Jualan = RM125.00
CBP dipungut = RM0.00
Tolak: CBP dibayar =RM0.00
CBP dibayar = RM0.00

Nota:

  • Dalam contoh di atas, pembekalan oleh pemborong adalah pembekalan berkadar sifar. Tiada CBP dikutip oleh pemborong pada jualan kepada pengguna tetapi dia berhak untuk menuntut semua CBP input ke atas overhead, jentera dan pembungkusan.
  • Bagaimanapun, bagi ilustrasi di atas, input lain diabaikan. Harga akhir pengguna perlu membayar RM125.00 (tiada CBP).

Pembekalan Dikecualikan

Ini adalah pembekalan tanpa cukai yang tidak tertakluk kepada CBP. Perniagaan tidak layak untuk menuntut kredit cukai input dalam memperolehi bekalan ini, dan tidak boleh mengenakan cukai output kepada pengguna.

Bagaimana CBP berfungsi pada pembekalan dikecualikan:




Bagaimana CBP berfungsi pada pembekalan dikecualikan oleh penyedia perkhidmatan:




Pengiraan CBP pada pembekalan yang dikecualikan:

Tingkat Pembekalan Harga Jualan (termasuk CBP 6%) Bayaran pada Kerajaan
Pembekal bahan mentah Harga Jualan = RM50.00
CBP = RM3.00
Jumlah Harga Jualan = RM53.00
CBP dipungut = RM3.00
Tolak: CBP dibayar  =RM0.00
CBP dibayar = RM3.00
Pengilang Harga Jualan = RM100.00
CBP = RM6.00
Jumlah Harga Jualan = RM106.00
CBP dipungut = RM6.00
Tolak: CBP dibayar  =RM3.00
CBP dibayar = RM3.00
Penyedia Perkhidmatan Harga Jualan = RM131.00
CBP = RM0.00
Jumlah Harga Jualan = RM131.00
CBP dipungut = RM0.00
Tolak: CBP dibayar  =RM0.00
CBP dibayar = RM0.00

Skop dan Caj

CBP hendaklah dilevi dan dikenakan ke atas pembekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat dalam menjalankan perniagaan di Malaysia oleh orang kena cukai. CBP juga dikenakan ke atas pengimportan barang dan perkhidmatan.

Pembekalan bercukai adalah pembekalan yang berkadar standard atau berkadar sifar. Pembekalan dikecualikan dan di luar skop bukanlah pembekalan bercukai.

CBP akan dilevi dan dikenakan pada nilai pembekalan.

CBP hanya boleh untuk dilevi dan dikenakan jika perniagaan itu didaftarkan di bawah CBP. Sebuah perniagaan tidak perlu didaftarkan jika nilai pusingan untuk pembekalan pembekalan bercukai tidak mencapai nilai ambang yang ditetapkan. Oleh itu, perniagaan itu tidak boleh mengena dan memungut CBP ke atas pembekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat kepada pelanggan mereka. Bagaimanapun, perniagaan boleh memohon untuk didaftarkan secara sukarela.

Layanan CBP ke atas Perkhidmatan Kerajaan

Pembekalan yang dibuat oleh Kerajaan secara umumnya dianggap sebagai pembekalan di luar skop. Tiada CBP akan dikenakan ke atas pembekalan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti perkhidmatan penjagaan kesihatan yang disediakan oleh hospital dan klinik, perkhidmatan pendidikan untuk sekolah rendah dan menengah termasuk pendidikan tinggi, pengeluaran pasport oleh Jabatan Imigresen, pengeluaran lesen dan permit oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan lain-lain. 

Rasional:

  • Untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan objektif ekonomi Kerajaan.
  • Untuk mengekalkan status quo pada penyediaan perkhidmatan Kerajaan. 

Pembekalan kerajaan tertakluk kepada CBP 

Pembekalan tertentu seperti bekalan air oleh Kerajaan Negeri dan perkhidmatan pengiklanan oleh RTM akan tertakluk kepada CBP kerana sifat komersial perkhidmatan ini. 

Pembekalan oleh badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan 

Pembekalan yang dibuat oleh Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan akan tertakluk kepada CBP kecuali pembekalan berkenaan berbentuk pengawalseliaan dan penguatkuasaan seperti mengeluarkan lesen dan permit dan sebagainya.