‚Äč

Pelan Strategik JKDM 2015-2019

Peranan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebagai pemungut hasil negara, memberi fasilitasi perdagangan dan penguatkuasaan undang-undang menuntut JKDM bertindak secara proaktif dan strategik untuk mencapai kecemerlangan perkhidmatan yang diharapkan oleh rakyat dan stakeholders. Kecemerlangan ini akan dapat direalisasikan melalui perancangan strategik yang digubal secara holistik. Pelan strategik merupakan dokumen rasmi bertulis jabatan yang mengandungi dasar dan program strategik bagi mencapai matlamat organisasi mengikut tempoh yang ditetapkan. Komponen utama pelan strategik merangkumi visi, misi, isu-isu strategik, teras strategik, strategi dan pelan tindakan. Pelan Strategik JKDM 2015-2019 adalah kesinambungan kepada pelan-pelan strategik yang lalu. Pelan ini dibangunkan bagi memeta hala tuju, rangka dasar agenda pembangunan, pemodenan pengurusan dan sistem penyampaian perkhidmatan bagi tempoh lima tahun akan datang. Untuk memenuhi hasrat ini, sekali lagi JKDM melakukan transformasi terhadap visi, misi, nilai bersama dan slogan supaya relevan dengan perubahan semasa bagi memartabatkan JKDM sebagai agensi yang terunggul dan bertaraf dunia.