Selamat datang ke Laman Web Rasmi
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) wajar menjadi penyampai
perkhidmatan yang cepat dan berkesan kepada masyarakat khususnya buat
pemegang taruh dan para pelanggan jabatan. Kecekapan sistem
penyampaian perkhidmatan merupakan dasar signifikan ke arah menzahirkan
janaan pungutan hasil yang unggul serta menjamin kelangsungan
pertumbuhan ekonomi yang mampan. JKDM sedar bahawa masyarakat dan komuniti perniagaan amat dahagakan
perkhidmatan yang pantas khususnya dalam mendepani norma baharu dalam
era globalisasi ini. Warga Kastam perlu menyesuaikan diri dengan
persekitaran kerja serba baharu melalui pemerkasaan kemahiran teknologi
digital dan komunikasi maklumat berlandaskan Analitis Data Raya dan
Teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (A.I). Pelaksanaan program pembangunan jabatan secara holistik berpaksikan
Pelan Strategik JKDM 2020-2024, adalah menjadi teras utama pihak
pengurusan dalam memacu usaha merealisasikan slogan keramat,
“Berkhidmat Memakmurkan Negara”, senada dengan aspirasi dan wawasan
kerajaan. Mudah-mudahan warga JKDM sentiasa memberikan perkhidmatan
yang terbaik kepada masyarakat seterusnya berupaya menjulang
kecemerlangan imej Kastam di persada dunia.
'DATO' HAJI ZAZULI BIN JOHAN
KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA