Profil Bahagian

AKMAL mula ditubuhkan pada tahun 1956 di atas sebidang tanah seluas 11 ekar di Jalan Penghulu Abas, Bukit Baru, Melaka. Pada peringkat awal ianya dikenali dengan nama Pusat Latihan Kastam Persekutuan yang terdiri daripada dua blok bangunan bagi pejabat, kelas dan bangunan asrama.

Pada tahun 1957, Pusat latihan ini bertukar nama kepada Sekolah Latihan Kastam Persekutuan yang mengendalikan kursus-kursus bercorak ulangkaji untuk Pegawai-pegawai Kastam. Dalam tahun 1960 fungsinya telah diperluaskan dengan melatih Penolong Penguasa Kastam.

Dengan penganugerahan gelaran Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 2 April 1963 nama Sekolah Latihan Kastam Persekutuan telah ditukar kepada Maktab Latihan Kastam Diraja Malaysia.

Pada tahun 1987 nama Maktab latihan ditukar kepada nama Maktab Kastam Diraja Malaysia seiring dengan peranannya yang semakin penting. Bangunan pejabat, asrama, bilik-bilik kuliah telah ditambah dan dinaik taraf. Kemudahan-kemudahan bagi tujuan latihan termasuk dewan, surau, gelanggang permainan, gimnasium, perpustakaan dan kolam renang dibangunkan.


Pada bulan Oktober 1989 Kastam Diraja Malaysia dinaik taraf menjadi Akademi Kastam Diraja Malaysia selaras dengan perkembangan dan kemampuannya sebagai sebuah Akademi.


Pada tahun 1990, projek Pembesaran AKMAL dimulakan yang melibatkan pembinaan pejabat, dewan syarahan, auditorium, asrama, stadium, gelanggang permainan dan makmal-makmal. Projek ini telah disiapkan pada tahun 1991 dan dirasmikan pada tahun 1993.

Dengan pembesaran AKMAL ini, kursus-kursus dapat dilaksanakan bukan sahaja untuk anggota jabatan tetapi untuk agensi-agensi lain dan Pertubuhan Kastam Sedunia.


Kampus utama AKMAL terletak di Bukit Baru Melaka. Terdapat empat (4) cawangan iaitu AKMAL Wilayah Sabah, AKMAL Wilayah Sarawak, AKMAL Wilayah Langkawi dan AKMAL Rantau Panjang.‚Äč

Piagam Pelanggan

Kami Anggota Kastam Diraja Malaysia dengan penuh iltizam menyempurnakan tugas yang dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan program latihan berkualiti kepada anggota JKDM dan orang awam yang komited dan memerlukan latihan, ke arah membangunkan insan cemerlang dan mampu memberikan perkhidmatan yang profesional.

Kami mengiktiraf hak-hak pelanggan kami seperti berikut:-
  • Mendapatkan latihan yang berkesan melalui pendekatan yang komprehensif dan penyelarasan kursus yang cekap dan teratur.

  • Mendapatkan kemudahan latihan dan peralatan yang mencukupi serta penginapan yang selesa dan sempurna.

  • Mendapatkan makanan yang bersih, berkhasiat dan bermutu serta persekitaran yang kondusif, bersih, indah dan mententeramkan.

  • Mendapat perkhidmatan terbaik dan layanan mesra, adil dan saksama.