Content Editor

Selamat datang ke Laman Web Rasmi

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)

 ​

Suasana persekitaran global yang serba mencabar, khususnya bagi lapangan ekonomi dan kesihatan bukan sahaja dapat melumpuhkan kelancaran aktiviti harian, malah turut merencatkan pertumbuhan ekonomi serantau. Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sebagai sebuah agensi barisan hadapan yang berkhidmat demi menjamin kelangsungan janaan hasil negara, sentiasa bersiap siaga dan melangkah sehaluan dengan senario semasa bagi memastikan kelancaran pergerakan dagangan dan penumpang, serta kawalan ke atas barangan larangan. Usaha dinamik berpaksikan dasar yang telah direncana kerajaan ini adalah perlu demi memangkin pelaksanaan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang tertumpu kepada tiga matlamat utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsangkan ekonomi. Justeru, warga Kastam perlu sehati dan sejiwa dalam mendepani sebarang tempoh luar jangkaan supaya setiap perancangan yang telah kita atur berjaya dicapai mengikut garis masa yang telah dirangka.

Bagi merealisasikan aspirasi ini, aspek pemerkasaan integriti harus dijulang sebagai tunjang utama perkhidmatan. Usaha menyemarakkan nilai integriti dalam kalangan warga Kastam bukanlah sebuah usaha baharu, malah telah diperjuangkan secara komprehensif dan holistik sejak sekian lama. Seluruh barisan Pengurusan Tertinggi JKDM tidak akan sesekali berkompromi mahupun bertolak-ansur dengan mana-mana pegawai Kastam yang terlibat dengan apa jua salah laku yang melibatkan integriti. Warga Kastam juga perlu sentiasa berwaspada dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau pendapat berkaitan JKDM di mana-mana saluran media, khususnya melalui media sosial peribadi. Pandangan berunsur negatif dan tindakan yang bercanggah dengan dasar serta polisi jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib. Sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab, warga Kastam wajar berfikiran matang berteraskan Etika Perkhidmatan Kastam; Amanah Berkhidmat, Ikhlas, dan Dedikasi. Laksanakan amanah dengan sebaik mungkin. Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah. Bergerak ke hadapan, marilah kita memacu keunggulan prestasi JKDM secara seiringan dan bersama-sama. Komitmen dan kerjasama padu setiap warga dalam memastikan kelancaran kesinambungan perkhidmatan Kastam adalah perlu demi menjamin setiap strategi yang telah digariskan dalam Pelan Tindakan Strategik, berjaya kita zahirkan secara holistik. Warga Kastam perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan dan tatacara kerja semasa berlandasan amalan norma baharu termasuklah memperkasa penggunaan Artificial Intelligence (A.I.) dan Big Data Analysis dalam urusan kerja. Jalinan kerjasama erat antara agensi dan peranan Petugas Barisan Hadapan JKDM yang bertugas di bahagian-bahagian kritikal seperti import, eksport, penumpang, pintu masuk dan jajaran sempadan wajar diperhalusi ke arah mengurangkan sebarang risiko kesihatan mahupun keselamatan. Para pegawai juga diingatkan untuk mengikis sikap “Little Napoleon”, khususnya buat mereka yang bertugas di pintu-pintu masuk utama negara.

Bangkitlah warga Kastam, bergeraklah seiringan ke hadapan demi mencapai satu hasrat keramat bak ungkapan lirik yang sering kita laungkan dalam Lagu Kastam; Berjasa Pada Nusa! Mudah-mudahan kita dapat berganding bahu sebagai satu pasukan yang mantap dalam melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan ini. Tanamkan perasaan bangga dan tidak sombong dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan dalaman, luaran dan juga pihak yang berkepentingan. Pamerkanlah kesungguhan dan motivasi yang tinggi semasa menjalankan tugas demi membuktikan bahawa pelaburan pihak kerajaan kepada Jabatan Kastam adalah tidak sia-sia dan kita berupaya menyemarakkan imej JKDM di mata dunia demi Berkhidmat Memakmurkan Negara.​

DATO' SRI ABDUL LATIF BIN ABDUL KADIR
KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA