Skip Ribbon Commands
Skip to main content
Navigate Up

Maklumat Pengumuman

PERUTUSAN KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA BERSEMPENA HARI KEBANGSAAN 2017 DAN HARI RAYA AIDILADHA 1438H

Tarikh: 30/08/2017

PERUTUSAN

KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA

BERSEMPENA

HARI KEBANGSAAN 2017 DAN HARI RAYA AIDILADHA 1438H

 

Tanggal 31 Ogos 1957 sentiasa menjadi tarikh keramat tertubuhnya sebuah negara bangsa yang bebas merdeka. Pada tahun ini, genaplah enam puluh tahun bumi bertuah Malaysia, mengecapi nikmat kemerdekaan. Marilah kita berganding bahu, bergabung tenaga, bersama-sama menyemarakkan semangat sehati sejiwa demi mengukuhkan pasak-pasak binaan "Tanah Tumpahnya Darahku", Malaysia. Teguhkanlah hati dengan nilai kesetiaan dan perpaduan disulami amalan integriti yang mantap agar anugerah keharmonian ini dapat dinikmati juga oleh generasi seterusnya. Jangan kita jatuh dek lalai, jangan kita rebah dek alpa. Ayuh, gagahkan diri, sematkan tekad, bersama-sama kita mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta ini.

 

Ketibaan Hari Kebangsaan pada tahun ini adalah istimewa kerana sehari selepas itu, Umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia akan menyambut kedatangan 10 Zulhijjah, iaitu Hari Raya Aidiladha. Sambutan Aidiladha merupakan antara sambutan terpenting di dalam kalendar Umat Islam. Sebagai rakyat Malaysia yang bebas merdeka, marilah kita bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Aidiladha dengan menghayati serta mensyukuri erti pengorbanan dan kesetiaan generasi terdahulu. Kepada warga Jabatan Kastam yang berkesempatan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, saya mendoakan kesejahteraan dan kesihatan sepanjang perjalanan anda semua. Semoga segala urusan dipermudahkan dengan sebaiknya.

 

Di kesempatan ini, kiranya masih belum terlambat untuk saya menzahirkan rasa penuh bangga dah sekalung tahniah kepada Tuan Adli Hafidz Mohd Pauzi, wira Kastam yang telah berjaya menyumbang kilauan perak kepada Malaysia melalui acara tinju pada temasya Sukan SEA KL2017. Nilai pengorbanan dan semangat juang yang ditonjolkan telah menjadi bukti taat dan setia yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air tercinta. Mudah-mudahan usaha murni beliau "Berjasa Pada Nusa" umpama seni kata yang sering kita laungkan dalam lagu Jabatan Kastam, sentiasa menjadi dorongan utuh kepada seluruh warga jabatan untuk bersatu hati, bertaut jiwa, bersama-sama memperkasakan nama Jabatan Kastam Diraja Malaysia. 

 

Akhir kalam daripada saya, Selamat Hari Kebangsaan 2017 dan Salam Aidiladha 1438H. Negaraku, Sehati, Sejiwa, Selamanya.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

DATO' SRI SUBROMANIAM THOLASY,

KETUA PENGARAH KASTAM MALAYSIA.

TARIKH : 30 OGOS 2017​