Isnin, 23 November 2009 15:46
SINGAPURA, 13 Nov (Bernama) - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pusat pemeriksaan barangan kargo di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Malaysia-Singapura di Tambak Johor akan dibuka 24 jam.
Perdana Menteri berkata langkah itu diambil bagi mengurangkan kesesakan kenderaan yang sering berlaku di tambak itu yang menghubungkan bandaraya Johor Baharu dan Woodlands.
Bercakap pada persidangan akhbar untuk media Malaysia yang meliputi mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di sini, Najib berkata kesesakan itu kerap berlaku kerana pusat pemeriksaan barangan kargo kastam itu hanya dibuka dari waktu pagi hingga ke 12 tengah malam.
Selepas tengah malam, kenderaan pengangkutan terpaksa berhimpun untuk menunggu sehingga pusat itu dibuka semula di sebelah pagi dan susur jalan ke pusat itu juga sempit kerana ia menguncup di hujung jalan, katanya.
Sebelum itu, Najib bertemu dengan sebilangan pelabur berpotensi dari Singapura termasuk dari Fairmont Hotel Group, Harvey Norman, dan syarikat penerbangan tambang murah Jetstar.
Katanya pelabur Singapura itu berminat memperkembangkan perniagaan mereka di Malaysia, seperti Fairmont yang akan membuka hotel barunya, Raffles Hotel di Pavilion di Kuala Lumpur tidak lama lagi dan berhasrat membuka lebih banyak lagi hotelnya di Malaysia.
Menurutnya, Harvey Norman yang mempunyai beberapa kedai di Malaysia juga berhasrat memiliki sebuah bangunan sendiri untuk produk jualannya, manakala, Jetstar pula ingin menambah jumlah bilangan penerbangannya ke beberapa destinasi di Malaysia.
Perdana Menteri juga berkata pelabur dari Singapura juga ada membangkitkan soal jenayah dan keselamatan di kawasan Iskandar Malaysia dan kerajaan juga akan menangani isu tersebut segera bagi meyakinkan para pelabur asing dan penduduk Singapura yang sering ke Johor bahawa keselamatan mereka adalah terjamin.
-- BERNAMA
Isnin, 23 November 2009 15:34
KLANG: Melihat dari luar, ia adalah sebuah kontena biasa yang diisytiharkan membawa basikal, namun pemeriksaan Bahagian Penguatkuasaan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Selangor mendapati ia mengandungi 100 motosikal berkuasa bateri yang belum dibenarkan penggunaannya di negara ini.
Motosikal berkuasa 75 CC dan mempunyai kelajuan sehingga 80 kilometer sejam itu diimport dari China dan dipercayai akan dijual pada harga antara RM2,000 hingga RM2,500 sebuah kepada orang ramai terutama mereka di kawasan pedalaman.
Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Selangor, Chik Omar Chik Lim, berkata motosikal terbabit dirampas sebaik kontena yang membawanya tiba di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, kira-kira jam 4 petang, Isnin lalu.
Menurutnya, rampasan itu adalah kali pertama dilakukan di Selangor dan KDRM kini membuat pemantauan lanjut termasuk siasatan bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian itu.
“Motosikal menggunakan kuasa bateri yang diimport dari China ini tanpa lesen import sah dan kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Motosikal ini belum diuji, dikhuatiri ia tidak selamat digunakan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan atau membeli motosikal ini,” katanya di sini, semalam.
Beliau ditemui selepas mengetuai operasi bersepadu di seluruh negara bagi tujuan mencegah penyeludupan di darat dan laut.
Operasi itu bermula pada 14 November lalu dan fokus utamanya dengan memeriksa premis kecil yang menjual barangan yang belum dilulus KDRM terutama rokok dan minuman keras.
Anggaran motosikal yang dirampas itu bernilai RM175,000 manakala cukai dianggarkan RM113,000.
Sementara itu, Chik Omar berkata, sehingga 20 November lalu Bahagian Penguatkuasaan KDRM Selangor berjaya membongkar 436 kes bernilai RM50 juta dan duti/cukai sebanyak RM53 juta.
Menurutnya, operasi yang dijalankan di Taman Sentosa, Kampung Jawa, di sini semalam, pihaknya berjaya merampas rokok putih pelbagai jenama, minuman keras yang belum diluluskan dianggarkan bernilai RM5,000 manakala cukai keseluruhan RM12,000.
“Sehingga hari ini (semalam) sebanyak 162 kes membabitkan premis kecil diperiksa,” katanya.
KDRM juga meminta kerjasama orang ramai mempunyai maklumat penyeludupan sama ada rokok, minuman keras dan mercun supaya menghubungi talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855 atau 03-31792321.
Mengenai JKDM 












