Sabtu, November 01, 2014
  facebook twitter rss
   
Text Size

103 Bilah Senjata Tajam Antara Barangan Dirampas Kastam Di CIQ Tawau

Berita - Keratan Akhbar

Rating Pengguna: / 2
Kurang BaikTerbaik 
TAWAU, 23 Nov (Bernama) -- Seratus tiga bilah pelbagai jenis senjata tajam adalah antara barangan yang berjaya dirampas Jabatan Kastam di sini sejak tiga minggu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Md Hassim Pardi berkata daripada jumlah berkenaan 61 bilah adalah parang, 26 keris, 12 pedang samurai dan lima bilah badik.

"Biasanya kita dapati seorang (penumpang) membawa sebilah sahaja. Bukannya membawa banyak. Mungkin untuk digunakan di kebun.

"Kita memang memandang berat dan memberi perhatian serius terhadap perkara ini. Barangan lain yang turut kita diberi perhatian ialah penyeludupan masuk kain sarung dan ubat-ubatan termasuk jamu," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Menurut Md Hassim senjata-senjata tajam berkenaan dirampas pihak kastam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini daripada penumpang feri yang tiba dari negara jiran.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai termasuk rakyat Malaysia supaya tidak membawa senjata tajam ini apabila kembali dari negara jiran. Untuk membawa senjata tajam seperti itu perlukan permit polis," katanya.

Md Hassim juga berkata sepanjang tempoh tiga minggu berkenana Kastam Tawau berjaya merampas 1,832 paket barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung bernilai RM3,194 yang cuba diseludup keluar dari negara ini melalui Tawau.

Lain-lain barangan yang cuba diseludup masuk ke Tawau ialah 185 helai sarung batik, 177 keping video cakera padat, 13 unit topi keledar tanpa cop Sirim dan tujuh kotak pelbagai ubat-ubatan.

Sementara itu, Pengarah Kastam Sabah Datuk Md Yusop Mansor berkata sehingga bulan ini jabatan itu berjaya merampas barangan bernilai RM28.5 juta termasuk cukai iaitu meningkat sebanyak sebanyak 45 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

-- BERNAMA
Login untuk staf
Jabatan Kastam Diraja Malaysia