PROGRAM PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI
( CERAMAH INTEGRITI DAN AKAUNTABILITI)
Pada 3 November 2011 telah berlangsung satu Program Penerapan Nilai-nilai Murni ( Ceramah Integriti dan Akauntabiliti) pada jam 9.00 pagi bertempat di Dewan Semarak Jati, Aras 2 Selatan,JKDM Ibu Pejabat anjuran Bahagian Perancangan Korporat, Cawangan Agama. Penceramah jemputan bagi program ini adalah Al-Fadhil Ustaz Mohd Hariri bin Haji Mohamad Daud, Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan ceramah yang bertajuk “Jati Diri Asas Integriti”.
Program ini diadakan adalah bertujuan untuk memberikan satu semangat dan motivasi untuk meningkatkan sahsiah dan jati diri warga jabatan agar menjadi insan yang kamil. Antara intipati yang boleh diambil daripada ceramah tersebut ialah jika kita memiliki jati diri yang teguh dan utuh, walau siapa pun diri kita; sama ada mempunyai kedudukan ataupun tidak didalam organisasi mahupun dimata masyarakat, sekiranya kita memiliki akhlak yang mulia maka di mana sahaja kita berada, kita akan diterima, dihargai dan disanjung oleh masyarakat sekeliling.
Dengan menerapkan nilai agama, bangsa dan negara dalam diri kita maka kita dapat menjadikan diri kita begitu bernilai dan berharga dan dapat memancarkan nilai-nilai murni yang baik seperti amanah, ikhlas, patuh dan taat, adil dan sebagainya. Ini adalah selaras dengan menjadikan kerja sebagai suatu jihad kerana dengan meletakkan diri kita sebagai pejuang bangsa dan negara , kita seharusnya berani tampil sebagai seorang pemimpin yang bersifat dengan sifat-sifat yang mulia disamping aspek-aspek yang lain.
Ceramah ini dihadiri oleh peserta dari setiap bahagian dari JDKM Ibu Pejabat. Semoga Program sebegini akan menjadi pemacu kepada kemantapan dan keutuhan Integriti penjawat awam umumnya dan warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia khususnya.
Oleh : Cawangan Perhubungan Awam, Ibu Pejabat, Putrajaya




