Isnin, Mei 21, 2012
  facebook twitter rss
   
Text Size

Mesyuarat Bahagian Pengurusan Pematuhan 2010

EDARAN CENDEKIA BIL 17/2010 | 21 JULAI 2010

logo

TEKS UCAPTAMA TKP KASTAM (PENGUATKUASAAN/ PEMATUHAN)
Majlis : MESYUARAT BAHAGIAN PENGURUSAN PEMATUHAN 2010
Tarikh : 21 JULAI 2010
Tempat : JKDM, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

 

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh

Y.Bhg. Dato’ Hj. Shaharuddin bin Ibrahim

Pengarah Bahagian Pengurusan Pematuhan

Y.Berusaha, Pn Mokhtiar Bibi binti Sher Mohd wakil Pengarah JKDM WPKL

Dato’-Dato’ Timbalan Pengarah, Ketua-ketua Bahagian Pengurusan Pematuhan,

Semua ahli mesyuarat dan para hadirin yang dihormati sekalian.

 

Pendahuluan

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas penghormatan yang diberi kepada saya untuk menyampaikan ucapan ringkas di Mesyuarat Bahagian Pengurusan Pematuhan Tahun 2010 pada pagi ini. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Ahli Jawatankuasa yang terlibat untuk menganjurkan mesyuarat pada kali ini. Semoga objektif mesyuarat tercapai hendaknya. Sebagai kesinambungan usaha yang sama pada tahun lepas, mesyuarat ini memberi peluang untuk kita mengimbas kembali tahap pelaksanaan komitmen dan resolusi yang telah dibuat di samping mengenalpasti isu-isu serta cabaran yang baru muncul bagi menetapkan hala tuju masa depan Bahagian Pematuhan.

Pengurusan Pematuhan

2. Hadirin sedia maklum bahawa Pengurusan Pematuhan atau Compliance Management merupakan bidang baru yang dipertanggungjawabkan kepada Kastam. Pendekatan tugas-tugas skrutini dan pemeriksaan akaun cara dahulu sudah tidak lagi begitu relevan dan perlu disesuaikan dengan kehendak perubahan semasa. Umumnya, dasar kawalan Jabatan menjurus kepada menggalak pematuhan secara sukarela dikalangan pelanggan dan pelesen kerana jika tahap pematuhan itu tinggi, tugas kastam akan menjadi lebih mudah dan kebocoran hasil akan berkurangan. Walau bagaimanapun, peningkatan pematuhan melalui penguatkuasaan dan tindakan punitif adalah langkah terakhir yang perlu diambil jika keadaan menghendakinya.

3. Prinsip teras kepada pengurusan pematuhan adalah kawalan berasaskan audit (audit-based control) dan pengurusan risiko (risk management). Ia merupakan dua pendekatan utama yang telah diperaku dan diberi penekanan oleh WCO sebagai kaedah yang berkesan dalam menangani pelbagai bentuk penyelewangan dan frod kastam.

4. Kastam mempunyai sumber yang terhad untuk mengawal pelepasan kargo yang kian meningkat serta mengawal bilangan pelesen yang bertambah seiring dengan kepesatan pembangunan negara. Keperluan untuk mempercepatkan proses pelepasan kastam bagi mengurangkan kos transaksi, Konsep Pensyarikatan Malaysia dan Konsep Perkongsian Bistari dibawah SAFE FoS menuntut agar Kastam mengubahsuai sistem dan prosedur kerjanya. Dengan memindahkan akauntabiliti kepada pengimport dan pelesen melalui pindaan undang-undang, kawalan kastam boleh dilaksanakan secara auditan pasca import dan pasca transaksi.

5. Pada hari ini saya ingin menyentuh 5 perkara sahaja yang perlu diberi perhatian serta digunakan sebagai input atau food for thought semasa perbahasan sepanjang perjalanan mesyuarat.

Program Bina Upaya (Capacity Building)

6. Untuk menggalas tanggungjawab baru yang lebih berat dan mencabar, Bahagian Pematuhan perlu melaksanakan program bina upaya secara berterusan. Aspek yang perlu diberi perhatian antara lainnya termasuk usaha mempertingkatkan kompetensi pegawai, prasarana dan persekitaran yang lebih kondusif, sistem dan prosedur kerja yang telus dan mantap, peralatan dan kelengkapan yang sesuai dan mencukupi dan penggunaan teknologi terkini kearah mempertingkatkan kualiti dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan.

7. Untuk menjamin pegawai kita berupaya melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan, tahap ilmu pengetahuan dan keterampilan pegawai perlu dipertingkatkan dengan berteraskan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Di samping melantik pegawai-pegawai yang memiliki kelayakan akademik dalam bidang professional khususnya perakaunan, auditan dan undang-undang, latihan peringkat lanjutan perlu dilaksanakan secara terancang. Contohnya, melatih pegawai dalam bidang forensik perakaunan dan komputer sudah pasti akan dapat melengkapkan pegawai menghadapi cabaran yang lebih berat dalam menyelesaikan kes-kes yang lebih kompleks. Saya syorkan agar pegawai audit turut menyertai kursus Certified Financial Investigation (CFI) anjuran Bank Negara Malaysia supaya dapat menyiasat dengan lebih berkesan kes-kes melibatkan frod untuk pelarian dan pengelakan cukai, transfer pricing, money laundering dan sebagainya.

8. Prasarana asas dan keperluan logistik juga perlu diambil kira bagi memastikan pegawai memiliki peralatan serta kelengkapan yang sesuai dan terkini dalam melaksanakan tugas. Amalan bertugas dengan peralatan yang sesuai perlu dibudayakan. Ini termasuk penggunaan perisian seperti Computer Assisted Auditing Technique (CAAT), penyediaan kompendium case law dan best practices dalam mempertingkatkan keupayaan pegawai.

9. Keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan bergantung antara lainnya kepada sistem dan prosedur kerja yang mantap dan dinamik. Cara bekerja lama dan sistem yang lapuk perlu diubahsuai. Proses penambahbaikan dan rekayasa perlu dilaksanakan secara berterusan dan diperkasakan dengan keupayaan teknologi tinggi. SOP perlu dikemaskini, dipermudah dan diseragamkan bagi menjamin konsistensi dalam penyampaian perkhidmatan. Konsep one-stop center (OSC) bagi perkhidmatan kaunter dan single windows bagi perkhidmatan elektronik perlu juga diambilkira dalam usaha penambahbaikan. Banyak lagi aspek bina upaya yang tidak dapat disenaraikan di sini secara terperinci boleh difikirkan untuk diperkenalkan dalam pelaksanaan tugas. Umumnya, 10 building blocks yang terkandung dalam dokumen polisi WCO ”Customs 21st Century” boleh juga diguna sebagai asas dalam program bina upaya JKDM.

Pengurusan Risiko

10. Program bina upaya perlu didokong oleh sistem pengurusan risiko yang boleh diaplikasikan dalam semua bidang dalam organisasi. Ia dapat membantu mengurangkan kos serta membolehkan penggunaan sumber secara optimum. Melalui proses profiling dan penarafan risiko, sasaran dapat dikenalpasti sekali gus membolehkan fasilitasi diberi kepada perdagangan yang sah dan berisiko rendah serta mensasarkan yang berisiko tinggi. Dengan demikian pelaksanaan tugas dapat dilaksanakan mengikut keutamaan bagi mengelak pembaziran sumber keatas usaha-usaha yang menghasilkan output dan impak yang rendah. Tumpuan yang lebih hendaklah diberikan kepada tindakan-tindakan yang menghasilkan big and fast result.

11. Keberkesanan sistem pengurusan risiko banyak bergantung kepada data yang lengkap. Oleh demikian, aspek pengurusan statistik dan analisis data wajar diberi perhatian lebih serius. Kedudukan data JKDM yang sekarang berada dalam silos adalah tidak kondusif dan usaha untuk mengintegrasi data dan mewujudkan pusat data perlu disegerakan. Pemusatan data sangat diperlukan bagi membolehkan pewujudan National Targeting Center untuk kegunaan semua Bahagian dalam JKDM.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI)

12. Dibawah kepimpinan Dato’ Seri KPK sekarang, saya nampak bahawa JKDM bergerak di atas landasan yang betul seiring dengan perkembangan arus perdana Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).

13. Pelan Strategik JKDM 2010-2014 dan juga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah selesai digubal pada tahun lepas sedang dalam proses pelaksanaan. Sekarang Sekretariat Pemantauan Prestasi Kastam (PEMANTAU) giat berusaha merealisasikan Projek T-15 yang melibatkan warga kastam dalam aktiviti makmal ke arah memuktamadkan Customs Key Result Area (CKRA) seiring dengan National Key Result Area (NKRA) dibawah pelan transformasi kerajaan (GTP) . Warga Bahagian Pematuhan harus sedar serta mengikuti perkembangan tersebut, mengenalpasti aspek CKRA yang relevan serta bentuk tindakan yang wajar diambil kearah mendokong projek T-15.

Penguatkuasan:

14. Tugas-tugas auditan sebenarnya berkait rapat dengan tugas penguatkuasaan. Sekiranya proses auditan telah mengesan kegiatan frod, dasar menetapkan agar siasatan dimulakan. Kedua-dua tugas auditan dan siasatan melibatkan proses pengumpulan bahan bukti kearah pendakwaan sivil untuk mendapatkan kembali cukai tertunggak ataupun tindakan kriminal atas kesalahan terhadap peruntukan undang-undang. Oleh demikian pegawai audit perlu memiliki tahap kompetensi yang tinggi dalam aspek mentakrif dan mengaplikasi peruntukan undang-undang disamping pendedahan kepada penghakiman penting dalam precedent case laws.

15. Bagi tunggakkan atau kekurangan hasil yang berjaya dikesan, bil-bil tuntutan (BOD) yang hendak dikeluarkan perlu mempunyai asas yang kukuh serta disokong oleh bahan bukti-bukti yang boleh diterima dalam prosiding mahkamah. Jelas bahawa pegawai-pegawai juga perlu mahir dalam aspek pengumpulan fakta-fakta yang relevan serta bahan bukti boleh diterima selaras dengan kehendak Akta Keterangan. Mengambil tindakan serta membuat keputusan dengan pantas adalah penting kerana wujudnya peruntukan had masa keatas proses tuntutan sivil yang boleh merugikan Kerajaan.

16. Sebenarnya, antara perkara yang telah diberi penekanan oleh pucuk pemimpin negara kita ialah kepantasan dalam membuat keputusan. Sehubungan ini, proses auditan perlulah dibuat secara komprehensif tetapi dalam tempoh masa yang munasabah supaya dapat membantu penyelia dalam proses membuat keputusan dengan pantas. Oleh demikian, KPI sedia ada yang lebih berasaskan kepada ”output” perlu dikaji semula supaya mengambilkira aspek ”outcome” seperti peningkatan dalam tahap pematuhan, kesan pencegahan atau amaun hasil yang berjaya dipungut semula. Perlu difikirkan kriteria pengukuran yang lebih adil dalam menilai kecekapan dan keberkesan tugas pegawai audit untuk diambilkira dalam penilaian prestasi tahunan serta program pembangunan kerjaya pegawai.

Anjakan Paradigma

17. Persekitaran kerja kita adalah dinamik dan sentiasa berubah mengikut arus perubahan sosio-ekonomi negara. Justeru itu, warga Kastam juga perlu dari masa ke semasa menganjak paradigma untuk keluar dari kepompong lama supaya menilai keadaan realiti semasa dan bersedia untuk menyesuaikan diri supaya perkhidmatan kita terus relevan. Kita tidak boleh alpa dan kekal dibuai oleh kejayaan silam jika kita ingin kekal diiktiraf sebagai agensi yang kompetens dalam memberi perkhidmatan yang memenuhi kehendak dan jangka harap pelanggan serta stakeholder. Kekalahan pasukan-pasukan jaguh tradisi dalam perlawanan bola sepak dunia yang lepas bukannya kerana peranan dan kuasa ”Paul” sotong kurita dalam membuat ramalan tetapi atas sebab kealpaan mereka dalam menilai keadaan realiti semasa dan kegagalan membuat penyesuaian. Sehubungan dengan ini saya ingin memetik kata-kata mutiara Charles Robert Darwin:

“It is not the strongest of the species that survives, nor the most intelligent, it is the one that is the most adaptable to change.”

Justeru itu kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan jika kita ingin Jabatan kita terus kekal memegang amanah dan tanggungjawab yang ada sekarang.

Penutup:

18. Dengan beberapa saranan dan pandangan yang saya telah utarakan diatas tadi, saya berharap agar semua para ahli mesyuarat dapat memanfaatkan peluang melalui mesyuarat selama 3 hari ini untuk mencambah pemikiran bagi membahas isu-isu semasa dan cabaran baru muncul dalam menentukan hala tuju Bahagian Pengurusan Pematuhan supaya kekal seiring dengan perkembangan arus perdana.

Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan

Mesyuarat Bahagian Pengurusan Pematuhan Se Malaysia Tahun 2010.

Selamat bermesyuarat dan terima kasih.