Rabu, Julai 23, 2014
  facebook twitter rss
   
Text Size

Keratan Akhbar

Kastam Sabah Kutip Hasil Berjumlah RM428 Juta

Berita - Keratan Akhbar

Rating Pengguna: / 2
Kurang BaikTerbaik 
TAWAU, 24 Nov (Bernama) -- Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sabah berjaya mengutip hasil berjumlah RM428 juta antara Januari lepas sehingga semalam, yang merupakan peningkatan RM72 juta atau 16 peratus lebih tinggi berbanding kutipan yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarahnya Datuk Md Yusop Mansor berkata kejayaan itu merupakan hasil kerja kuat dan dedikasi anggota KDRM Sabah serta kecekapan petugas agensi berkenaan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Angka ini menunjukkan bahawa kami sudah memintas Wilayah Persekutuan dari segi hasil kutipan," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis malam mesra sempena penutupan Patroli Kordinasi Kastam Malaysia-Indonesia Borneo ke-8, di sini Isnin.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis itu Md Yusop berkata peningkatan hasil kutipan KDRM Sabah saban tahun itu juga menandakan keyakinan tinggi ahli-ahli perniagaan dalam dan luar negara terhadap keupayaan KDRM menjaga kepentingan perniagaan mereka.

Sementara itu ketua Kantor Wilayah Derektoran Jeneral Bea & Cukai Bahagian Kalimantan Timur, Nassir Adenan pula berkata masih banyak aspek yang boleh diperbaiki dalam konteks kerjasama antara Kastam Malaysia dan Indonesia.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Ketua Pengarah KDRM Datuk Md Hassim Pardi.
 

Operasi Bersama Malaysia-Indonesia Berjaya Kurangkan Penyeludupan

Berita - Keratan Akhbar

Rating Pengguna: / 2
Kurang BaikTerbaik 
TAWAU, 23 Nov (Bernama) -- Kerjasama padu antara Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Kastam Indonesia berjaya mengurangkan aktiviti penyeludupan di sempadan perairan kedua-dua negara.

Penolong Ketua Pengarah KDRM Datuk Md Hassim Pardi berkata kerjasama yang terjalin termasuk menjalankan operasi bersama dan pertukaran maklumat banyak menyumbang kepada kejayaan itu.

"Melalui operasi bersama, kita dapat bertukar-tukar maklumat berkaikan penyeludupan ke arah membanteras aktiviti seperti itu melalui laut," katanya ketika merasmikan penutup operasi Patroli Kordinasi Kastam Malaysia-Indonesia (PETKORKASTIMA) Borneo ke-8 di sini.

Operasi bersama itu melibatkan tiga kapal ronda KDRM dengan kekuatan 30 anggota dan empat kapal dengan 50 anggota dari Kastam Indonesia yang beroperasi di kawasan masing-masing.

Sepanjang tempoh operasi bersama yang bermula 10 Nov lepas di Tarakan, Indonesia, kedua-dua pihak berjaya mematahkan beberapa cubaan menyeludup masuk rokok ke Malaysia melalui Tawau.

Sementara itu, Kepala Kantor Wilayah Derektoran Jeneral Bea & Cukai Bahagian Kalimantan Timur, Nassir Adenan berkata pihaknya juga mengambil berat mengenai penyeludupan dan akan terus meningkatkan kerjasama dengan Malaysia untuk membanteras aktiviti haram itu.

-- BERNAMA
 

103 Bilah Senjata Tajam Antara Barangan Dirampas Kastam Di CIQ Tawau

Berita - Keratan Akhbar

Rating Pengguna: / 2
Kurang BaikTerbaik 
TAWAU, 23 Nov (Bernama) -- Seratus tiga bilah pelbagai jenis senjata tajam adalah antara barangan yang berjaya dirampas Jabatan Kastam di sini sejak tiga minggu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Md Hassim Pardi berkata daripada jumlah berkenaan 61 bilah adalah parang, 26 keris, 12 pedang samurai dan lima bilah badik.

"Biasanya kita dapati seorang (penumpang) membawa sebilah sahaja. Bukannya membawa banyak. Mungkin untuk digunakan di kebun.

"Kita memang memandang berat dan memberi perhatian serius terhadap perkara ini. Barangan lain yang turut kita diberi perhatian ialah penyeludupan masuk kain sarung dan ubat-ubatan termasuk jamu," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Menurut Md Hassim senjata-senjata tajam berkenaan dirampas pihak kastam di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sini daripada penumpang feri yang tiba dari negara jiran.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai termasuk rakyat Malaysia supaya tidak membawa senjata tajam ini apabila kembali dari negara jiran. Untuk membawa senjata tajam seperti itu perlukan permit polis," katanya.

Md Hassim juga berkata sepanjang tempoh tiga minggu berkenana Kastam Tawau berjaya merampas 1,832 paket barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung bernilai RM3,194 yang cuba diseludup keluar dari negara ini melalui Tawau.

Lain-lain barangan yang cuba diseludup masuk ke Tawau ialah 185 helai sarung batik, 177 keping video cakera padat, 13 unit topi keledar tanpa cop Sirim dan tujuh kotak pelbagai ubat-ubatan.

Sementara itu, Pengarah Kastam Sabah Datuk Md Yusop Mansor berkata sehingga bulan ini jabatan itu berjaya merampas barangan bernilai RM28.5 juta termasuk cukai iaitu meningkat sebanyak sebanyak 45 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

-- BERNAMA
   

Kastam Terima 10 Bot Laju Dan 14 Alat Pengimbas Dari JICA Tahun Depan

Berita - Keratan Akhbar

Rating Pengguna: / 2
Kurang BaikTerbaik 

JOHOR BAHARU, 20 Nov (Bernama) -- Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan menerima 10 buah bot laju dan 14 alat pengimbas ringan dari kerajaan Jepun tahun depan, kata Pengarah Kastam Datuk Seri Ibrahim Jaafar.

"Bot laju dan alat pengimbas itu akan diberikan oleh kerajaan Jepun yang menyokong kita dalam usaha membanteras penyeludupan dan operasi mencegah aktiviti-aktiviti haram di perairan kita," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Katanya bot dan alat pengimbas itu diberikan di bawah satu geran bantuan bernilai RM25 juta menerusi Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

Ibrahim berkata demikian selepas majlis penyerahan satu daripada empat buah bot berkuasa tinggi diberi nama Perantas KB90 oleh pengeluarnya Destination Marine Services Sdn Bhd pada Jumaat.

Tiga lagi bot berkuasa tinggi sepanjang 16.5 meters panjang itu seberat 17.5 tan dan mampu mencapai kelajuan maksimum 65 knot akan diserahkan kepada KDRM menjelang akhir tahun ini membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM22.52 juta.

Ibrahim berkata bot yang diserahkan hari ini akan ditempatkan di sini manakala yang lain di Mersing; Kuantan, Pahang dan Pulau Pinang.

Katanya dengan perolehan baru aset itu KDRM mampu mengawal keselamatan perairan negara dengan lebih baik bersama-sama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Polis Marin.

-- BERNAMA

 


 

Pusat Pemeriksaan Kargo Kastam Di Tambak Johor Akan Dibuka 24

Berita - Keratan Akhbar

Rating Pengguna: / 2
Kurang BaikTerbaik 
SINGAPURA, 13 Nov (Bernama) - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pusat pemeriksaan barangan kargo di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Malaysia-Singapura di Tambak Johor akan dibuka 24 jam.


Perdana Menteri berkata langkah itu diambil bagi mengurangkan kesesakan kenderaan yang sering berlaku di tambak itu yang menghubungkan bandaraya Johor Baharu dan Woodlands.

Bercakap pada persidangan akhbar untuk media Malaysia yang meliputi mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di sini, Najib berkata kesesakan itu kerap berlaku kerana pusat pemeriksaan barangan kargo kastam itu hanya dibuka dari waktu pagi hingga ke 12 tengah malam.

Selepas tengah malam, kenderaan pengangkutan terpaksa berhimpun untuk menunggu sehingga pusat itu dibuka semula di sebelah pagi dan susur jalan ke pusat itu juga sempit kerana ia menguncup di hujung jalan, katanya.

Sebelum itu, Najib bertemu dengan sebilangan pelabur berpotensi dari Singapura termasuk dari Fairmont Hotel Group, Harvey Norman, dan syarikat penerbangan tambang murah Jetstar.

Katanya pelabur Singapura itu berminat memperkembangkan perniagaan mereka di Malaysia, seperti Fairmont yang akan membuka hotel barunya, Raffles Hotel di Pavilion di Kuala Lumpur tidak lama lagi dan berhasrat membuka lebih banyak lagi hotelnya di Malaysia.

Menurutnya, Harvey Norman yang mempunyai beberapa kedai di Malaysia juga berhasrat memiliki sebuah bangunan sendiri untuk produk jualannya, manakala, Jetstar pula ingin menambah jumlah bilangan penerbangannya ke beberapa destinasi di Malaysia.

Perdana Menteri juga berkata pelabur dari Singapura juga ada membangkitkan soal jenayah dan keselamatan di kawasan Iskandar Malaysia dan kerajaan juga akan menangani isu tersebut segera bagi meyakinkan para pelabur asing dan penduduk Singapura yang sering ke Johor bahawa keselamatan mereka adalah terjamin.

-- BERNAMA


   

page 2 of 5

Login untuk staf
Jabatan Kastam Diraja Malaysia