​​(No translations are available)


1. Syarikat GPB dibenarkan mengeksport barang siap ke luar negara melalui pihak ketiga. Terdapat dua kaedah pelaksanaan;

1.1        Pihak ketiga yang membeli dan mengeksport terus dari kilang tanpa memindahkan barang berkenaan ke Kawasan Utama Kastam (KUK).
​Dalam keadaan di mana barang berduti tidak dipindahkan ke Kawasan Utama Kastam tetapi dieksport terus, nama pengeksport dalam Borang Kastam No.2 berkenaan boleh dibuat atas nama pihak ketiga berkaitan. Di dalam Borang Kastam No. 2 tersebut juga hendaklah dinyatakan nama syarikat GPB dan nombor lesen GPB syarikat pembekal serta nombor rujukan kelulusan Pengarah Kastam Negeri.

​1.2         Pihak ketiga yang membeli dan kemudian memindahkannya kepada premis yang dibenarkan di KUK sebelum dieksport.
Jika barang-barang yang dibeli oleh pihak ketiga itu hendak dipindahkan ke premisnya, pengikraran hendaklah dibuat di dalam Borang Kastam No.9. Pengecualian duti import hendaklah dituntut di bawah butiran 92, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017 dan pengecualian cukai jualan di bawah Butiran 57, Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan Daripada Pembayaran Cukai) 2018 tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

2. Pihak ketiga yang ingin menggunakan kemudahan ini hendaklah mengemukakan permohonan kepada Cawangan Perindustrian di Stesen Kastam yang terdekat.

3. Dokumen- dokumen yang perlu dikemukakan adalah seperti berikut:

3.1 Surat permohonan untuk mendapat kemudahan pengecualian.

3.2 Salinan Borang A untuk perniagaan yang didaftar dengan Pendaftaran Perniagaan dan Borang-borang 49 dan 24 bagi syarikat yang didaftar oleh Pendaftaran Syarikat.

3.3​ Pelan lokasi (secara lakaran adalah memadai) di mana ruang untuk menyimpan barangan siap sebelum dieksport.

3.4 ​​Borang permohonan seperti di Lampiran P perlu dikemukakan pada setiap kali kemudahan dipohon.

3.5 ​​Permohonan hendaklah juga disertakan dengan purchase order / contract aggrement daripada pembeli luar negara.

4. Kelulusan adalah berdasarkan kepada kuantiti tempahan sebenar untuk tempoh selama enam (6) bulan dari tarikh kelulusan dan tidak boleh dilanjutkan. Sekiranya tempoh sahlaku sesuatu kelulusan itu telah luput sebelum ia dapat digunakan atau sebelum selesai digunakan, pihak ketiga hendaklah mengemukakan permohonan yang baharu.

5. Sekiranya terdapat baki barang siap yang tidak dapat dieksport selepas tempoh enam (6) bulan dari tarikh pembelian atau yang tidak dapat diakaunkan, duti/cukai terlibat hendaklah dijelaskan.

6. Pihak ketiga hendaklah mengemukakan penyata imbangan seperti di Lampiran P2 setelah selesai pengekportan dilakukan. Pembuktian ke atas barang-barang yang telah dieksport adalah terletak di bawah tanggungjawab pemohon (pihak ketiga).